Thursday, January 28, 2010

Dah tahu salah, janganlah ulang!

Bismillah...
Segala puja & puji buat-Mu, selawat & salam buat junjungan tercinta SAW...

Minggu lepas, aku menonton sebuah filem biografi, Hitler : The Rise of Evil. Filem ini menceritakan bagaimana beliau, mendapat fikrah & pemikiran beliau, bermula daripada kecil, sehinggalah beliau mampu mendapatkan pengaruh dan kuasa, seterusnya membina empayar diktatornya sendiri, iaitu NAZI.


Menggunakan kesempitan & kecelaruan hidup bangsa Jerman ketika itu yang sememangnya tertekan dengan keadaan peperangan, beliau mengambil kesempatan menyebarkan pemikirannya hanya dengan kuasa percakapan (the power of speech, power of persuasion). Mewujudkan kerajaan Jerman NAZI ketika itu yang kononnya membela bangsa Jerman, menyembelih jutaan bangsa Yahudi, mencetuskan Perang Dunia ke-2.

Apa pun, bukan itu yang aku mahu ceritakan di sini. Aku lebih berminat, bagaimana beliau melihat ibubapanya ketika kecil. Beliau dilahirkan hasil perkahwinan ayah, yang juga seorang pakcik dengan ibunya, yang juga anak saudara kepada ayahnya (an uncle married to his niece).

Ayahnya merupakan seorang penjawat awam, yang bangga dengan tinggalan kerjanya selepas bersara. Hitler ketika itu berasa begitu meluat dengan ayahnya yang kerja membanting tulang untuk orang lain. Beliau kemudian cuba untuk mengatasi ayahnya (to surpass his father) dalam semua keadaan.

Namun malangnya, beliau akhirnya, walaupun tidak semua, mengikut beberapa jejak langkah ayahnya itu. Beliau meminati anak saudaranya sendiri & ingin mengahwininya, tetapi terhalang apabila anak saudaranya itu mati (dibunuh? membunuh diri? tontonlah sendiri! =) )

Hal ini banyak berlaku dalam komuniti kita. Ada antara kita yang ketika kecil ditekan, dirotan & dididik dengan begini & begitu, dan apabila menuju ke alam dewasa, kita berazam untuk tidak melakukan perkara yang sama, malah berusaha untuk menjadi lebih baik daripada ibubapa kita.

Ataupun, dalam soal kepimpinan, kita bermula daripada bawah, kita nampak keadaan pemimpin yang berada di atas, melakukan kesalahan dalam mengatur gerak kerja, menerima rasuah, melakukan kezaliman dengan menggunakan apa jua cara untuk menutup mulut mereka yang menentang mereka walaupun mereka salah, mengutamakan kroni lebih daripada kepentingan rakyat atau ahli.

Kita nampak perkara ini salah. Kita berazam untuk berubah, memilih haluan yang lebih baik.

Belajarlah dari tanda yang ada sementara boleh belajar.
Tiada kesempatan yang kedua dalam kes di atas =)


Namun malangnya, tanpa kita sedar, terkadang kita juga melakukan perkara yang sama pada akhirnya. Apabila kita menjadi ayah atau ibu, perlakuan yang sudah tertanam dalam fizikal kita terkeluar secara semulajadi, respon ke atas perlakuan anak kita, yang sama seperti kita dahulu.

Kita naik menjadi pimpinan, kita kalut, lantas menggunakan formula yang sama seperti mereka yang melakukan kesalahan yang terdahulu.

Maka apakah bezanya kita dengan mereka yang kita katakan salah satu masa dahulu? Kitalah yang memusingkan roda sejarah itu. Kita juga berlaku zalim seperti mereka. Sedangkan satu masa dulu, kitalah yang lantang mengkritik, mengutuk & mengecam perlakuan yang sama.

Belajar dari sejarah. Belajarkah kita?

Persoalan yang perlu kita masing-masing jawab.


Wallahu'alam.

-Syphoon-
Irbid, Jordan.

2 comments:

Anonymous said...

Ada orang kata : sebab mak bapak aku buat gitulah aku jadi "manusia" . Kalau tak follow the foot step entah anak jadi hantu apa agaknya....

syphoon said...

bro, yg tu betul gak. tapi kategori lain.

yang baik dari mana-mana pun, kita ambil, yang buruk, kita tolak jauh-jauh. tak kiralah dari siapa.

tak kisahlah, ibubapa, cikgu, lecturers, bosses. kita akan ada 2 perasaan, nak jadi lebih baik daripada mereka, dan taknak ulang kesilapan yang mereka buat.

takkan ada yang boleh sama.