Monday, January 12, 2009

Hilang dalam bayu salju...

Bismillah...
Segala puja & puji buat-Mu, selawat & salam buat junjungan tercinta SAW...

Aku pening & runsing. Dek kerana mesej yang tiba-tiba masuk. Sebagai seorang makhluk Mars aku mencari rasional dalam mesej tersebut. Bahasa Venus yang sukar untuk aku fahami...


Iaitu mereka yang beriman & hati mereka menjadi tenang dengan mengingati Allah, Ingatlah, hanya dengan mengingati Allah dapat memberikan ketenangan hati - Surah Ar-Ra'ad : 28

Moga bisa bayu salju menjadi benteng utuh buat mujahidin Ghaza, seperti angin yang bertiup tatkala Perang Khandaq.

Moga bisa bayu salju ini, membawa pergi bahang-bahang kerunsingan diri ini...

Moga bisa bayu salju membawaku kepada-Nya...

Tenangkan hati ini Ya Allah... Hanya kepada-Mu aku berserah diri....

-Syphoon-
Irbid, Jordan

Sunday, January 11, 2009

Palestin: Isu Apa Sebenarnya?

Bismillah...
Segala puja & puji buat-Mu, selawat & salam buat junjungan tercinta SAW...

Sudah masuk hari yang ke-16 Ghaza dibedil oleh rejim laknat Zionis. Tanpa belas kasihan. Tanpa mempedulikan siapa, kanak-kanak mahupun tentera.

Demonstari di Universiti Yarmouk

Pelbagai kaedah yang boleh dilakukan untuk membantu umat Islam di Ghaza. Tabung derma Palestin dilancarkan, demonstrasi di jalanan, doa disatukan, peningkatan kesedaran, boikot besar-besaran & bantuan kemanusiaan serta perubatan.

Semuanya betul. Namun atas dasar semangat, kemanusiaan, belas kasihan sahaja tidak mencukupi.


Berjihad dengan harta & wang ringgit.

Berjihad dengan menulis memberi kesedaran.

Berjihad dengan berdoa memohon bantuan kepada Allah SWT.

Berjihad dengan tenaga sekadar yang mampu dilakukan.

Palestin & penduduk Islam di sana tidak memerlukan bantuan kewangan atau kemanusiaan, tapi mereka memerlukan kesatuan JIHAD umat Muslim di atas muka bumi ini. Belas kasihan tidak mereka perlukan, mereka telah pun bersedia untuk syahid, kerana mereka yakin yang syahid natijahnya syurga. Tahniah buat para syuhada', kerana mereka telah pun mengetahui nasib mereka di sana.

Bersama Fauzi yang begitu bersemangat

Tapi bagaimana dengan kita?

Andai kita MENDERMA untuk Palestin, maka kita telah tersilap. Menderma satu perkara yang TIDAK WAJIB, tetapi berlainan dengan JIHAD.

Apabila kita merasakan ianya satu bentuk JIHAD, serta merta ia menjadi WAJIB. Andai kita punyai 10 qirsy / 10 sen sekalipun ketika itu, maka itulah JIHAD kita.

Wahai golongan yang beriman, mahukan Aku tunjukkan kamu satu jual-beli yang dapat menyelamatkan kamu daripada azab yang pedih? - Surah As-Soff : 10

Derma atau sedekah akan mendapat balasan 10 kali ganda. Namun JIHAD merupakan jual beli kita dengan Allah SWT.


(Yaitu) kamu beriman kepada Allah & Rasul-Nya serta berjihad di jalan-Nya dengan harta & diri kamu; Itulah yang lebih baik bagi kamu sekiranya kamu mengetahui. - Surah As-Soff : 11

Berjihad dengan diri & juga harta benda akan dibeli oleh Allah SWT dengan harga yang lebih mahal...

Nescaya Allah akan mengampunkan dosa-dosa kamu & memasukkan kamu ke dalam syurga yang mengalir di bawahnya sungai & (memasukkan kamu) ke tempat tinggal yang baik di Syurga 'Adn, dan itulah kemenangan yang besar. - Surah As-Soff : 12

Dan hanya selepas berjuang & JIHAD, Allah SWT akan menurunkan pertolongan & membuka jalan kepada kemenangan.

Dan kurnia lain yang kamu sukai, itulah pertolongan daripada Allah SWT & kemenangan yang hampir; khabarkanlah kepada mereka yang beriman - Surah As-Soff : 13

Maka sahutlah perintah-Nya, menjadi sebahagian daripada pejuang-pejuang yang berJIHAD di jalan-Nya.

Hai orang-orang yang beriman, jadilah kamu penolong (agama) Allah sebagaimana Isa ibnu Maryam Telah Berkata kepada pengikut-pengikutnya yang setia: "Siapakah yang akan menjadi penolong-penolongku (untuk menegakkan agama) Allah?" pengikut-pengikut yang setia itu berkata: "Kamilah penolong-penolong agama Allah", lalu segolongan dari Bani Israil beriman dan segolongan lain kafir; Maka kami berikan kekuatan kepada orang-orang yang beriman terhadap musuh-musuh mereka, lalu mereka menjadi orang-orang yang menang. - Surah As-Soff : 14

Dan bagi seorang penuntut Ilmu, tanggungjawab kita juga merupakan satu jihad.

Tidak sepatutnya bagi mukminin itu pergi semuanya (ke medan perang). Mengapa tidak pergi dari tiap-tiap golongan di antara mereka beberapa orang untuk memperdalam pengetahuan mereka tentang agama dan untuk memberi peringatan kepada kaumnya apabila mereka Telah kembali kepadanya, supaya mereka itu dapat menjaga dirinya. - Surah At-Taubah : 122

Seorang muslim yang efektif akan bersikap proaktif, memulakan dengan dirinya sendiri. Jihad yang paling dekat tetapi paling susah adalah dengan JIHAD NAFSU. Jauhi dosa & maksiat, perkara-perkara yang sia-sia lagi lagha. Mohonlah keampunan daripada-Nya, di samping doa kemenangan Islam.

Dan peliharalah diri kamu daripada azab yang tidak hanya menimpa diri mereka yang zalim sahaja di kalangan kamu secara khusus, ketahuilah bahawa azab Allah itu amat keras seksaannya.
- Surah Al-Anfaal : 25


Apatah lagi kita yang berada berhampiran dengan Ghaza, Palestin. Bimbang dek kerana onar & dosa yang kita lakukan, menjadi hijab untuk turunnya rahmat & nusrah Allah SWT. Sinar Allah SWT tidak akan memenuhi kegelapan dosa & maksiat.



Mendekati musim final exam ini, banyakkan berdoa kepada-Nya. Gunakan waktu yang ada sebaiknya, jangan kita dikhayalkan dengan dadah hedonisma yang melanda, yang menjauhkan kita daripada agama.






Wallahua3lam. Moga bermanfaat untuk semua.

-Syphoon-
Irbid, Jordan

Wednesday, January 07, 2009

Di manakah....

Bismillah...
Segala puja & puji buat-Mu, selawat & salam buat junjungan tercinta SAW...

Bermula 27 Disember 2008, Rejim Zionis telah memulakan pembedilan terhadap Ghaza. Hari ini 7 Januari 2009, masuk hari yang ke-12 Rejim Jahanam Zionis itu mengenyangkan perut mereka dengan darah umat Islam di Ghaza, Palestin.

Sehingga semalam aku menonton Al-Jazeera, proses 'pembersihan' oleh regim jahanam itu masih terus dilaksanakan, kali ini daripada darat. Aku berkesempatan untuk mengikut perarakan membantah & mengecam tindakan ganas zionis itu di Universiti Yarmouk.

Tampak begitu bersemangat sekali para pemuda-pemudi Arab yang berarak. Satu pusingan mengelilingi kawasan universiti dalam kapasiti hampir 600 orang. Bersorak & melaungkan kata-kata semangat, memberi peringatan kepada semua.

ISU SIAPA?

Namun aku agak terkilan tatkala bersama dengan mereka, walaupun pada awalnya aku anggap ianya adalah soal remeh-temeh.

"Kami pemuda-pemuda Arab Jordan bersama-sama dengan mereka!!!" "Pemuda-pemudi Arab dari pelusuk dunia Arab akan bersama dengan Ghaza!!!"

Mereka memperjuangkan Palestin atas dasar semangat, atas dasar bangsa Arab. Sedangkan
Palestin merupakan isu umat Islam sejagat. Tapi untuk memperjuangkan atas dasar Islam, walaupun ada sekelumit, namun tidaklah sejelas mana.


Meskipun boleh kita nisbahkan yang Arab itu Muslim, namun andai anda sendiri yang berada di situ, anda sendiri yang akan merasakan diri anda tertolak.

Sirah & sejarah telah membuktikan, hanya mereka yang mahukan kepada Islam, bertindak sebagai seorang muslim, bukan atas dasar semangat atau bersandarkan kepada perkara-perkara yang lain sahaja yang mampu menjunjung tanggungjawab memikul perjuangan Islam.

Lihat saja pada peristiwa pembukaan Constantinople oleh Sultan Muhammad Al-Fateh, yang mana Rasulullah SAW bersabda, sebaik-baik pemerintah adalah pemerintahnya, & sebaik-baik tentera adalah tenteranya. Jelas sudah yang pembukaan kota itu bukannya dilakukan oleh bangsa Arab, tetapi oleh satu kaum yang mahukan kepada Islam.

Juga pembukaan kembali Palestine daripada pihak Kristian, yang telah dilakukan oleh Salahuddin Al-Ayubi, juga bukan seorang bangsa Arab.

Benarlah kalam Umar Al-Khattab RA,

"Sesungguhnya kami (kita) adalah satu bangsa yang dimuliakan oleh Allah dengan Islam"


DEBU DALAM SUCI

Satu perkara lain yang menjadikan aku percaya yang Palestine akan dibuka kembali oleh mereka yang mahukan Islam, bukan atas dasar semangat semata-mata.

Sambil melaungkan kata-kata semangat, asap berkepul-kepul keluar dari mulut. Bukan kerana suhu yang sejuk, namun dengan nyalaan rokok di tangan!


Perjuangan Islam tidak boleh dicemari dengan dosa & maksiat. Human is a subject inside-out. Bermula dari diri sendiri, andai tidak berada dalam garisan yang betul, maka keluarga & masyarakat akan turut terkesan sama dengan kehadiran kita.

PENGAJARAN

Hanya mereka yang mahukan Islam sahaja yang akan diberikan kemenangan oleh Allah SWT, bukannya bersandarkan kepada semangat, bangsa atau locality...



Di manakah ketika ini kita berada?

Wallahua3lam.

-Syphoon-
Irbid, Jordan