Sunday, March 30, 2008

Satu cerita...

Bismillah...
Segala puja & puji buat-Mu, selawat & salam buat junjungan tercinta SAW...

Sudah lama tidak menulis cerita. Kali ini berminat untuk menulis satu cerita yang ringkas.

___________________________________________________________________


"Assalamualaikum..."

Pintu diketuk.

"Assalamualaikum..."

Dang, dang, dang. Semakin kuat ketukan pintu.

"Assalamualaikum..."


DANG DANG DANG.

Masih tiada jawapan.

Kassim buntu.

"Mana pula peginya Osman ni...." ujarnya dalam hati.

Kassim pergi ke bahagian bilik Osman. Tingkapnya diketuk.

"Osman, ooo Osman. Ada orang tak ni?" laungnya.

Tiada jawapan. Kassim mengelilingi bangunan rumah Osman, ibarat orang tawaf. 7 kali dia berpusing-pusing. Dalam dia berpusing-pusing, dia perasan ada tingkap yang terbuka, di bahagian dapur.

"Osman... ooo Osman..." laungnya lagi melalui bukaan tingkap tersebut.

Masih tiada jawapan.

-Tamat cerita tergantung-
___________________________________________________________________

Apakah objektif cerita ini direka?

وعن أبي موسى الأشعري رضي الله عنه قال: قال رسول الله صَلّى اللهُ عَلَيْهِ وسَلَّم:

« الاستِئْذاُن ثَلاَثٌ، فَإِنْ أُذِنَ لَكَ وَ إلاَّ فَارْجِع ،

متفق عليه

Abu Musa Al-Ash`ari (May Allah be pleased with him) reported: The Messenger of Allah (PBUH) said, "Permission is to be sought thrice. If it is accorded, you may enter; otherwise, go back.''
[Al-Bukhari and Muslim].

Sememangnya kita di Irbid ini tinggal seperti di asrama. Jika di KISAS, ibarat di bilik-bilik pada aras yang sama.

Tapi kini tidak lagi. Kita punyai rumah masing-masing. Umur yang semakin meningkat, pemikiran yang kian matang, seharusnya digandingkan dengan akhlak & peribadi yang luhur.

Firman Allah SWT :

Maka apabila kamu memasuki (suatu rumah dari) rumah- rumah (ini) hendaklah kamu memberi salam kepada (penghuninya yang berarti memberi salam) kepada dirimu sendiri, salam yang ditetapkan dari sisi Allah, yang diberi berkat lagi baik. Demikianlah Allah menjelaskan ayat-ayatnya(Nya) bagimu, agar kamu memahaminya - Surah An-Nur : 61


Seringkali kita terlupa. Dek kerana rumah sahabat kita, lebih-lebih lagi yang sering kita kunjungi, tambahan hanya rumah di bawah kita, maka kita terlupa akan hal yang Rasulullah SAW telah peringatkan kita.

Pesan Nabi SAW lagi :

وعن سهلِ بنِ سعد رضي الله عنه قال : قال رسول الله صَلّى اللهُ عَلَيْهِ وسَلَّم

« إنَّمَا جُعِلَ الاستئذاُن منْ أَجْلِ البَصَر »
متفق عليه .

Sahl bin Sa`d (May Allah be pleased with him) reported: The Messenger of Allah (PBUH) said, "Seeking permission to enter (somebody's house) has been prescribed in order to restrain the eyes (from looking at something we are not supposed to look at).''
[Al-Bukhari and Muslim].
- Hadith ke-871; Riyadh As-Solihin.

Sekali lagi, marilah kita sama-sama bina peribadi mengikut acuan yang Allah SWT & Rasul SAW tunjukkan. Akhlak itu bukan lalang (klik untuk bacaan lanjut), tidak tumbuh sendiri, tapi perlu dilatih & dipraktikkan sentiasa.

InsyaAllah, sekiranya suasana Irbid ini dipenuhi dengan sunnah, maka akan terbentuk satu suasana yang cukup harmoni.

Wallahua3lam.


-Syphoon-
Irbid, Jordan.
2137, 22 Rabi'ul Awwal 1429

Thursday, March 20, 2008

Jawapan dari pihak JPA

Bismillah...
Segala puja & puji buat-Mu, selawat & salam buat junjungan tercinta SAW...

Berikut merupakan jawapan dari pihak JPA berhubung kepada surat-surat yang disiarkan dalam ruangan Surat Pembaca Berita Harian (klik sini untuk pautan terus)

____________________________________________________________________

JPA kaji elaun pelajar Mesir, Jordan

JABATAN Perkhidmatan Awam (JPA) merujuk surat ‘Encik Md Rusli Md Nor, Kuala Lumpur’ dan ‘Penuntut Tajaan KPTM, Amman, Jordan’ serta `Pelajar Tajaan JPA’ yang disiarkan akhbar ini masing-masing pada 10, 13 dan 17 Mac lalu. Ia berkaitan masalah dihadapi pelajar tajaan di Mesir dan Jordan berhubung peningkatan kos sara hidup di negara terbabit.

Jumlah elaun sara hidup yang diterima pelajar tajaan JPA di Mesir pada masa ini sebanyak RM840 dan Jordan RM1,201 sebulan.

Berikutan peningkatan kos sara hidup di negara Asia Barat pada ketika ini, JPA sedang mengkaji kadar baru yang lebih bersesuaian dengan keperluan kos hidup semasa bagi pelajar di kedua-dua negara berkenaan.

NIK NORAINI NIK YA,

Ketua Unit Komunikasi Korporat
Bahagian Perkhidmatan JPA,
Putrajaya.

____________________________________________________________________

Setakat ini, masih tiada sumber rasmi yang menyatakan berapa kadar peratusan telah diluluskan untuk dinaikkan.

Apa yang dinyatakan adalah 'sedang mengkaji'. Elakkan daripada menyebarkan berita yang tidak rasmi & memberikan harapan kosong.

Pengalaman yang lalu telah cukup untuk meletakkan kita supaya tidak menaruh harapan tinggi & terus berjuang untuk apa yang sepatutnya menjadi hak kita. Doakan supaya permohonan diluluskan.

Jangan kerana dengarkan guruh di langit, air di tempayan dicurahkan...

Wallahua3lam.


-Syphoon-
Irbid, Jordan
0209, 12 Rabi'ul Awwal 1429

Sunday, March 16, 2008

Muhasabah

Bismillah...
Segala puja & puji buat-Mu Ya Allah... Selawat & salam buat junjungan tercinta SAW...

Sekian lama telah kita berjuang untuk mendapatkan kenaikan biasiswa daripada pihak yang berkenaan. Bermula daripada generasi pertama di JUST (batch kemasukan 2001) . Pelbagai cara telah kita gunakan, namun sehingga kini masih tiada jawapan yang dapat memuaskan hati kita, sedangkan kos sara hidup semakin meningkat saban hari.

Penarikan subsidi petrol & bahan bakar kenderaan & juga gas memasak, kenaikan tariff elektrik & kenaikan harga barangan yang mendadak sudah tentu sangat membebankan kita.


2001 - 2008; 7 tahun, bukan satu tempoh yang singkat. Sudah pasti pelbagai cara & kabel telah kita gunakan, ratusan helaian borang telah kita penuhkan.

Mengapa sehingga kini kita masih belum dapat merasai kenaikan elaun sara hidup ini sedangkan sahabat-sahabat di negara lain dalam bidang yang sama dengan kita telah pun menikmati perkara ini?

Muhasabah

Kadangkala, kita terlupa kita kini berpijak di dataran Syam. Bumi para anbiya', yang pada daerah ini juga lahirnya penentang Islam. Pilihan kita, mahu menjadi yang mana satu. Di sinilah tumpahnya darah pada syuhada' dari kalangan para sahabat R.A & Bumi Syam ini merupakan tanah yang penuh barakah, disebutkan di dalam Al-Quran berkenaan Isra' & Mi'raj.

Firman Allah SWT :

Jikalau sekiranya penduduk negeri-negeri beriman dan bertakwa, Pastilah kami akan melimpahkan kepada mereka berkah dari langit dan bumi, tetapi mereka mendustakan (ayat-ayat kami) itu, Maka kami siksa mereka disebabkan perbuatannya. - Surah Al-A'araf : 96

Satu muhasabah yang perlu kita lakukan, selain tidak berhenti dari ikhtiar, adalah dengan memikirkan kembali keadaan kita di sini.

Bagaimana keadaan diri kita ketika ini, sahabat-sahabat kita di sekeliling & juga persekitaran kita dalam biah masyarakat Melayu di Irbid ini?

Bagaimana kita mahu meminta daripada Pemilik Agung iaitu Allah SWT sedangkan kita masih berada di luar cakupan iman? Sedang kita meminta, namun perkara-perkara lagha masih kita lakukan, tidak kurang ada antara kita yang melakukan sesuatu yang di luar batasan syariat Allah SWT.

Di mana letaknya nilai iman & taqwa masyarakat kita pada ketika ini, itulah yang wajar kita persoalkan sebelum kita meminta lebih jauh.

Sekiranya telah kita lakukan sesuatu yang di luar batasan, maka kembalilah kepada-Nya.

Firman Allah SWT :

10. Maka Aku katakan kepada mereka: 'Mohonlah ampun kepada Tuhanmu, -sesungguhnya dia adalah Maha Pengampun-,

11. Niscaya dia akan mengirimkan hujan kepadamu dengan lebat,

12. Dan membanyakkan harta dan anak-anakmu, dan mengadakan untukmu kebun-kebun dan mengadakan (pula di dalamnya) untukmu sungai-sungai.


Begitulah janji Allah SWT, supaya kita, sebagai hamba-hamba-Nya ini sentiasa mengingati-Nya. Adapun ujian yang kita hadapi kini tidak lain & tidak bukan hanyalah untuk mengingatkan kita siapa Empunya Agung yang menguasai pintu rezeki.

Jagalah diri kita, supaya dosa & kesalahan yang kita lakukan tidak menjadi sebab sahabat-sahabat kita di azab & doa mereka tidak dimakbulkan.

Jagalah sahabat kita kerana azab & ujian Allah itu tidak akan tertumpu kepada individu tertentu sahaja.

Tinggalkan yang berbentuk maksiat & lagha, hidupkan amar ma'ruf nahi mungkar, tanamkan budaya ilmu di samping kita terus berusaha mendapatkan kenaikan elaun yang menjadi hak kita semua.

Wallahua3lam.


-Syphoon-
Irbid, Jordan
2258. 8 Rabi'ul Awwal 1429

Pautan lain :
Antara Rungutan & Kesyukuran
Forum PERMAI : Kenaikan Biasiswa
Surat 1 (Berita Harian)
Surat 2 (Berita Harian)