Thursday, January 25, 2007

Subjek Khas ??

Bismillah...
Segala puja & puji bagi-Mu... Selawat & salam buat yang tercinta SAW...



Al-Ghafir : 67

67. Dia-lah yang menciptakan kamu dari tanah Kemudian dari setetes mani, sesudah itu dari segumpal darah, Kemudian dilahirkannya kamu sebagai seorang anak, Kemudian (kamu dibiarkan hidup) supaya kamu sampai kepada masa (dewasa), Kemudian (dibiarkan kamu hidup lagi) sampai tua, di antara kamu ada yang diwafatkan sebelum itu. (Kami perbuat demikian) supaya kamu sampai kepada ajal yang ditentukan dan supaya kamu memahami(nya).

Hampir 20 tahun aku bernafas di bumi fana ini. Pelbagai perkara yang telah aku lakukan. Terima kasih Allah kerana masih mengizinkan hamba hina ini untuk terus singgah di transit ini.

Pagi ini aku masih gagah berdiri, bersembang & bergelak ketawa. Mungkin esok, mungkin lusa & mungkin sebentar lagi Izrail akan datang menjemputku.

Meningkatnya umurku, membuktikan waktu yang aku punyai makin kurang. Tapi, masih banyak tanggungjawabku yang belum terlaksana. Aku tidak tahu, mampukah aku melaksanakan tanggungjawabku itu?

Setiap tahun aku belajar, tidak kira tentang apa, tidak kira bagaimana. Namun, fatrah antara 19-20 tahun ku ini merupakan satu tahun yang aku banyak belajar, belajar mengerti apa itu kehidupan. Belajar untuk menghadapi diriku sendiri, belajar untuk menghadapi kegagalan, belajar mengenai realiti kehidupan sebenar. Semua ini tidak akan aku dapat di Jamiah, di dalam muhadharah.

____________________________________________________________

Aku terkaku melihat markah exam Histology ku, exam IKMAL. Terasa seperti hendak pengsan melihat angka tersebut. Kecewa, sedih, malu, bercampur baur semuanya. Tatkala itu, sahabatku merangkul bahuku, memberiku kata semangat. Hari itu, hari pertama di Jamiah, dan aku hanya menghabiskan sisa-sisa masa di Second Year ku hari itu di perpustakaan.

Pada awalnya, aku memang down, tidak tahu apa yang perlu aku lakukan lagi. Bagaimana untuk menghadapi sahabat-sahabat yang lain, tambahan pula aku punyai tanggungjawab yang sememangnya mewajibkan aku untuk berjumpa dengan sahabat-sahabat yang lain.

______________________________________________________________

Gagal, antara 'subjek' yang aku tasjil dengan bayaran yang 'sangat mahal', tidak mampu dibayar oleh pihak penajaku. Orang kata, gagal itu sebahagian dari proses kehidupan, tapi tidak ramai yang mampu untuk mengambil 'subjek' berkenaan, dan tidak ramai yang lulus dengan cemerlang dalam 'subjek' tersebut.

Salah satu artikel dalam Maqalah Tibb's Gazette terbitan Majlis Mahasiswa JUST, artikel yang berada di halaman kedua terakhir, menceritakan tentang seorang murid yang kecewa dengan kegagalannya & pergi berjumpa dengan gurunya meminta nasihat (boleh dirujuk di blog Hanis),
membuatkan aku kembali menyusun langkah.

Aku juga tertarik dengan artikel Abu Saif,

“what happen to you is not as important as what happen in you”.

Ya, memang gagal itu satu perkara yang berat, tetapi bagaimana aku menghadapi kegagalan tersebut lebih penting.

Sesetengah orang berasa kecewa & down setelah gagal, lantas mengabaikan segala-galanya. Lupa akan matlamat sebenar. Namun aku bersyukur kerana dilahirkan sebagai seorang muslim. Aku punyai-Nya untuk mengadu. Ramai yang gagal lupa akan segala kurniaan-Nya yang lain.

Andai aku gagal dalam Histology, aku tetap bernafas, tetap punyai kaki, tetap punyai tangan. Tidak cukupkah dengan itu?

Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?
(Surah Ar-Rahman)

Ada antara mereka yang tidak menerima hakikat ini, lantas mengasingkan diri dari masyarakat, hidup mereka di dalam bilik, solat jemaah di masjid tidak, apatah lagi menghadiri program yang dianjurkan. Malu? Ya, malu... Satu lagi 'subjek' yang aku pelajari.

Aku teringat kalam seorang ustaz yang belajar di sini dahulu,

"Orang yang berjaya, adalah mereka yang mampu untuk berdepan dengan masyarakat."


Segulung, atau se'fail' ijazah & sijil belum tentu dapat memastikan kita mampu meniti kehidupan masyarakat. Abu Saif menulis di dalam artikelnya, tidak mudah untuk kita berhadapan dengan masyarakat ini. Bak kata pepatah Melayu, lain padang, lain belalang. Lain orang, lain pula ragamnya. Itulah hakikat sebenar kehidupan ini.

Pernah dengar cerita katak? Cerita ini turut terselit dalam salah satu keluaran maqalah Tibb's Gazette. Aku suka akan cerita itu, biarpun sudah beberapa kali aku membaca cerita tersebut sejak aku kecil. Biar aku tuliskan cerita ini semula:
_____________________________________________________________

There once was a bunch of tiny frogs, who arranged a running competition.

The goal was to reach the top of a very high tower. A big crowd had gathered around the tower to see the race and cheer the contestants.

The race began...
Honestly, no one in the crowd really believed that the tiny frogs would reach the top of the tower.

You heard statements such as

"Oh WAY too difficult!!!"

"They'll NEVER make it to the top!!!"

"It's too difficult, no one will make it!!"


More tiny frogs got tired & gave up, but ONE continued higher & higher. This ONE wouldn't give up!

At the en, everyone else had given up climbing the tower. Except for the ONE tiny frog, who, after a big effort, was the only one who reached the top.

Then all of the other naturally wanted to know how this one frog managed to do it?

A contestant asked and found out that the winner was DEAF!!!

(thanks to Tibb's Gazette editorial... =D)
__________________________________________________________

Cerita ini merupakan antara yang menjadi petunjuk dan aspirasi untukku. Biarlah apa pun persepsi negatif orang lain terhadapku, yang tidak membina, abaikan saja.

Terlalu banyak yang aku pelajari tentang kehidupan, dan masih banyak yang perlu aku pelajari.

Semalam aku tidur di rumah salah seorang seniorku, aku menonton cerita Jepun bersiri, mengenai masakan. Antara nama watak dalam cerita tersebut ialah Momoe Fujiwara yang bermaksud 'giving kindness' (menurut cerita tersebut) . Aku kembali berfikir, mungkin selama ini aku asyik menerima, dan kini, tiba masanya untuk aku memberi pula.

Semoga 'subjek' gagal & malu ini, dapat aku ajarkan pada sahabat-sahabat yang lain, agar mereka tidak perlu menghadapi 'ujian' yang belum tentu dapat dilepasi oleh semua orang...

Semoga dengan peningkatan umurku ini, membawa manfaat kepada diriku, juga kepada sahabat-sahabatku....

Wallaua'alam...

Ya Allah,
Jadikanlah hamba-Mu ini hamba yang bersyukur...
Terima kasih ya Allah...

Amiin...


-Syphoon-
Irbid, Jordan.
1217, 6 Muharram 1428

Monday, January 22, 2007

Pesananku buatnya...



-Syphoon-
Irbid, Jordan
1020, 3 Muharam 1428

Saturday, January 20, 2007

Sempadan yang tiada bertepi...

Bismillah...
Alhamdulillah...Selawat & salam buat yang tercinta SAW...

(1)

Pada zaman dahulu, terdapat padang ragut untuk binatang ternakan milik Raja dan milik rakyat. Kedua-dua padang ragut terletak bersebelahan. Tiada pagar yang memisahkan kedua padang tersebut.

Mana-mana binatang rakyat atau binatang ternakan mereka yang memasuki padang ragut Diraja akan dihukum.

Namun, 2.5 meter dari sempadan antara kedua padang ragut tersebut terdapat papan tanda "Awas, padang ragut Diraja di hapadan ; 2.5meter" supaya rakyat berhati-hati agar menjaga binatang ternakan mereka supaya tidak melepasi sempadan.

Meskipun tahu yang 2.5 meter tersebut bukan milik raja, tetapi rakyat tetap menjaga binatang ternakan mereka daripada memasuki kawasan 2.5 meter tersebut, bimbang kalau-kalau ada yang terlepas ke seberang, kerana tiada berpagar. Andai dilepaskan, risau tidak dapat mengawal binatang-binatang tersebut daripada melangkah melintasi sempadan.

Begitu juga dalam hal halal, haram & syubhah. Padang ragut rakyat kita ibaratkan sebagai perkara halal, padang ragut Diraja sebagai perkara haram dan kawasan 2.5 meter tersebut sebagai perkara yang syubhah. Binatang-binatang ternakan tersebut boleh dinisbahkan kepada perbuatan, perlakuan atau dalam Bahasa Arab : amal.

Boleh bagi kita untuk melakukan perkara yang syubhah, tapi dikhuatiri akan melampaui sempadan haram. Kita tidak sedar akan perlakuan kita, perbuatan kita yang pada awalnya kita anggap "Tidak mengapa" dan akhirnya melintasi batasan syara'.

Mengapa tidak kita jadi pengembala yang sentiasa menjaga binatang ternakan kita agar tidak mendekati kawasan 2.5 meter dari sempadan itu bimbang kiranya binatang ternakan kita melangkah melintasi sempadan?


Ya Allah,
Jadikanlah hatiku teguh menghadapi tahun 1428,
Terima kasih kerana memberikanku peluang untuk terus hidup di atas muka bumi-Mu...

Amiin...


-Syphoon-
Irbid, Jordan
0310, 1 Muharram 1428

(1) Hadith ke 6, Matan 40 An-Nawawiah

Ditulis kembali daripada perjumpaan MEKAP pertamaku...

Tuesday, January 16, 2007

Antara Pro & Kontra

Bismillah...
Segala puja & puji hanya bagi-Nya, selawat & salam buat junjungan yang tercinta SAW...


Hadith ke-20
Matan 40 An-Nawawiah

Minggu lalu, aku sekali lagi dipertemukan dengan kumpulan MEKAP ku, bawah kelolaan Che Mi.

Aku diberi mandat oleh Che Mi untuk membuat satu pembentangan dan aku memilih untuk memberi serba-sedikit mengenai hadith di atas meskipun hadith ini pernah dibentangkan oleh ahli usrahku satu ketika dahulu.

Pada mulanya, aku agak runsing mencari bahan, tetapi aku cuba kaitkan dengan apa yang dibentangkan pada minggu sebelum itu... Aurat... Ya, aurat.

Malu & segan, 2 perkara yang aku definisikan sebagai sinonim, punyai kebaikan & keburukan. Aku memahami hadith tersebut dengan 2 makna :

1) Perintah dengan makna ancaman & janji buruk

Nada hadith tersebut boleh dibaca dengan begini :

"Buatlah kalo rase tak malu"

Selalu kita dengar ketika kecil, jika ibubapa kita melarang kita sedemikian, contohnya :

"Ha, pegila, pegi...dah kene satgi baru tau..."

2) Perintah dengan makna cerita

Nada bacaan boleh aku katakan sebegini :

"Alah, biasala dia tu, tak malu..tu yang dia buat lagu tu..."

Firman-Nya dalam bahagian akhir ayat 40 Surah Fussilat:

40. ....perbuatlah apa yang kamu kehendaki; Sesungguhnya dia Maha melihat apa yang kamu kerjakan.

______________________________________________________________

Melihat kepada hadith ini, aku menyedari sifat ini merupakan salah satu warisan para anbiya'. Apakah para anbiya' meninggalkan sesuatu yang buruk? Sudah tentu tidak.

Malu merupakan salah satu 'pakaian' yang kian 'tertanggal' & 'terkoyak' daripada generasiku. 'Pakaian' yang cantik dan seiring dengan syara'. Bukan 'pakaian' yang diwarnai oleh nafsu & bisikan musuh manusia.

Bagaimana 'pakaian' ini boleh diwarnai dengan nafsu? Tatkala diriku ini terus meletakkan diriku dalam keadaan JAHIL dek kerana 'malu' untuk bertanya, dek kerana 'malu' untuk membaca, 'malu' untuk mendekati mereka yang ahli & 'malu' untuk menuntu ilmu. Tatkala itulah 'pakaian' tersebut diwarnai oleh nafsu & bisikannya. Hodoh kan 'pakaian' tersebut?

Aku teringat sebuah novel yang aku baca satu ketika dahulu, novel bertajuk 'Maria'. Novel ini mengisahkan keadaan Turki selepas era kejatuhan khilafah Othmaniah. Sewaktu 'Bapa Pemodenan' (Bapa Pemodenan?) Turki bermaharajalela.

Pada ketika itu, sentimen-sentimen pemikiran yang dibawa dari Barat & Eropah di bawa masuk untuk menanggalkan 'pakaian' malu daripada muda-mudi di Turki. Iklan-iklan di dada-dada akhbar menunjukkan cara berpakaian 'moden' ala Barat. Galakan percampuran dalam pergaulan yang kononnya menjadi teras kemajuan negara-negara Barat.

Perkara sebegini dihidangkan hari demi hari, merealisasikan pepatah Melayu "Alah bisa, tegal biasa". Pada awalnya mungkin akan berkata "Eee..teruknya ..." Lama kelamaan, perkara tersebut seakan biasa, seolah-olah diterima adat & masyarakat. Mahukan tidak, aku sewaktu semester pertama di universiti, merungut kerana balik lewat pulang ke rumah, di kala azan maghrib berkumandang. Masuk semester kedua, sudah lali dengan hal ini.

Inilah antara usaha yang diserap masuk, meracuni dan 'mengoyakkan' 'pakaian' malu dari generasiku. Sesudah 'koyak', di kala itulah aurat tidak lagi dijaga, masalah sosial berleluasa, maksiat bermaharajalela. Semuanya menjadi kebiasaan.

Generasiku semakin pelik. Lebih-lebih lagi di IPT. Tidak kira dalam atau luar negara. Isu 'couple' memang perkara yang pelik. Tetapi mereka yang tidak ber'couple' pula yang malu.

"Aku segan ar, orang lain sume dah ade couple, aku je xde lagi", antara dialog yang ku dengari dalam beberapa filem berkisar remaja Melayu Muslim.

Nah, masakan mungkin filem dibuat tanpa adanya realiti? Hinggakan orang yang masih ber'pakaian' pula yang nampak pelik.

Baik lelaki, mahupun perempuan, generasiku kini menjadi semakin pelik, lantaran 'koyak'nya pakaian malu dari diri mereka. Bagi lelaki, mereka menjadi malu sekiranya tidak merokok. Mereka menjadi malu sekiranya tidak pernah memasuki pusat-pusat arcade. Malah mereka bangga membuka pekung di dada, menceritakan bagaimana mereka membuang masa. Tidak kurang dengan perempuan, memperagakan fesyen-fesyen yang dikatakan up-to-date, walhal penuh dengan persoalan tabarruj & aurat.

Malu yang diajar oleh Baginda SAW menjadikan aku berdisiplin. Malu dipandang jahil, maka aku akan berusaha untuk meningkatkan pengetahuan. Malu kerana mendapat markah yang rendah, maka aku mengulangkaji lebih lagi. Malu kepada-Nya, menjauhkan aku dari melakukan perkara-perkara yang mungkar. Malu melakukan dosa membuatkan aku untuk melakukan perkara yang ma'ruf.

Malu kepada-Nya, menjadikan aku sentiasa berwaspada dengan setiap perlakuanku. Malu kepada Rasul SAW menjadikan aku sentiasa mengikuti sunnah baginda. Malu terhadap manusia menjadikan aku sentiasa menjaga lidahku.

Malukah aku ber'pakaian' malu?


Ya Allah...
Jadikanlah malu ini pakaianku,
Dan aku berlindung pada-Mu daripada keburukan & kejahatan,
Yang ada pada pakaian tersebut...

Amiiin...

-Syphoon-
Irbid, Jordan.
1307, 26 Dzul Hijjah 1427

Rujukan :
Syarah Hadith 40 Imam Nawawi (Dr. Mustapha al-Bugha & Muhyiddin Misto, terbitan Persatuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM))

Saturday, January 13, 2007

Tangisanku untuk siapa?

Bismillah...
Segala puja & puji hanya bagi-Nya, selawat & salam buat yang tercinta SAW....


At-Taubah : 128

128. Sungguh Telah datang kepadamu seorang Rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi Penyayang terhadap orang-orang mukmin.


“Mengapa Rasul SAW menangis?” bermulanya kalam khatib di mimbar Jumaat Masjid Jamiah Yarmouk.

“Mengapa Rasul SAW menangis?” soalnya lagi.

Aku membetulkan kedudukanku menghadapnya.

Rasul SAW, seorang manusia agung. Doanya semua untuk umat. Untuk aku.

“Mengapa Rasul SAW menangis?”

“Adakah kerana dirinya? Tidak.”

“Kerana isterinya? Tidak.”

“Kerana anak-anaknya? Tidak.”

“Kerana apa? Kerana umatnya.”

Pada saat itu, air mataku bergenang di kelopak mataku. Terharu… 1427 tahun yang lalu telah ada orang yang menangis untuk aku pada hari ini.

Rasul SAW sentiasa mengingati kita sebagai umatnya. Tatkala di ambang kematian pun seperti mana kisah yang kita semua maklum, Rasul SAW menyebut “Ummati, ummati, ummati” .

Sirah Nabawiyah melakarkan betapa mulianya baginda SAW, tatkala Jibril Alaihissalam menawarkan untuk menghempapkan bukit ke atas penduduk Thaif, Rasul SAW berdoa kepada-Nya, memohon agar penduduk Thaif kelak memeluk Islam.

Rasul SAW menangis mengingatiku sebagai umatnya. Tetapi aku? Tidak pernah berasa bersyukur atas nikmat Iman & Islam yang aku peroleh ini.

“Mengapa Rasul SAW menangis?” soal khatib menggegarkan sidang Jumaat.

Aku teringat sesi usrahku satu ketika dulu, tatkala seorang sahabatku membentangkan Hadith yang ke-10 dalam Matan 40 An-Nawawiah, salah satu pesanan Ibrahim bin Adham kepada seorang pemuda yang datang berjumpanya. Perkara yang ke-2, iaitu “Kamu mencintai Rasulullah, tapi kamu tidak pernah mengikut sunnahnya”. Masakan Allah SWT akan mengabulkan doa pemuda tersebut?

Air mataku bergenang tatkala menonton 1 Litre of Tears, cerita-cerita yang menyayat hati. Tapi aku tidak menangis tatkala membaca sirah SAW. Aku tidak pernah menangis tatkala membaca hadith-hadith SAW. Sedangkan manusia agung ini telah menangis kerana ku 1427 tahun yang lalu. Bimbang akanku, kelak diazab di Mahsyar & Neraka-Nya…

Semoga bermulanya 1428, menjadikan cintaku kepada-Nya dan kepada yang tercinta SAW semakin membesar di dalam hati yang penuh noda ini…

Ya Allah,
Suburkanlah cintaku kepada-Mu,
Suburkanlah cintaku kepada Rasul-Mu.

Amiin…

-Syphoon-
Irbid, Jordan
0343, 23 Dzul Hijjah

Thursday, January 11, 2007

Syukur Alhamdulillah...



*Gambar tidak berkaitan sekiranya tidak dibaca sehingga habis....




Bismillah...
Segala puja & puji hanya untuk-Mu , selawat & salam untuk baginda SAW...

"Minggu depan kalo boleh hafal surah Al-Ghafir sampai ayat yg kita baca tadi". Begitulah kata salah seorang naqibku dalam satu sesi usrahku yang lalu.

2 hari sebelum usrah diadakan, aku membuka terjemahan Al-Quran, lalu mencari Surah Al-Ghafir.

"Isk, mane pulak surah ni? Ke abg ni salah bg surah ni?" ujar hati kecilku.

Aku semak-semak, surah yang ke-40, jika dalam terjemahan dinamakan sebagai surah Al-Mukmin.

Sesi usrah kami pada hari itu hanya membincangkan ayat 1-20 sahaja, tetapi sudah cukup membuatkan aku terpukul, terpukul dek kerana tidak tahu bersyukur, terpukul kerana tidak tahu menghargai nilai diri sebagai seorang Muslim.

Firman-Nya :

3. Yang mengampuni dosa dan menerima Taubat lagi keras hukuman-Nya. yang mempunyai karunia. tiada Tuhan (yang berhak disembah) selain Dia. Hanya kepada-Nyalah kembali (semua makhluk).

Yang Maha Adil, bersifat lembut kepada mereka yang memohon keampunan dan bersyukur kepada -Nya dan bersifat keras terhadap mereka yang kufur.

Semua ini membuktikan yang Dia itu sayang pada kita selaku hamba-Nya. Maha Mengetahui kelemahan hamba-hamba-Nya.

Analogi mudah, dikala aku masih kecil, ibuku sering memberi galakan padaku.

"Takpe, kalo tak dapat tinggi pun takpe, asalkan dah cuba sungguh-sungguh, mak tak marah pun... Tapi kalo malas belaja, pastu fail, siaplah..."

Lebih kurang sama kan ayat tu?

Firman-Nya lagi,

7. (Malaikat-malaikat) yang memikul 'Arsy dan malaikat yang berada di sekelilingnya bertasbih memuji Tuhannya dan mereka beriman kepada-Nya serta memintakan ampun bagi orang-orang yang beriman (seraya mengucapkan): "Ya Tuhan kami, rahmat dan ilmu Engkau meliputi segala sesuatu, Maka berilah ampunan kepada orang-orang yang bertaubat dan mengikuti jalan Engkau dan peliharalah mereka dari siksaan neraka yang menyala-nyala,

Ayat ini menyebabkan hatiku berasa betapa bersyukurnya aku menjadi seorang Muslim, kerana jutaan malaikat yang ada di langit sentiasa mendoakan keampunan bagiku.

Tidak cukup lagi dengan ini, para malaikat turut berdoa,

8. Ya Tuhan kami, dan masukkanlah mereka ke dalam syurga 'Adn yang Telah Engkau janjikan kepada mereka dan orang-orang yang saleh di antara bapak-bapak mereka, dan isteri-isteri mereka, dan keturunan mereka semua. Sesungguhnya Engkaulah yang Maha Perkasa lagi Maha Bijaksana,

Tidak cukupkah dengan semua ini? Apakah yang lebih besar daripada kedua ini? Sambungan doa mereka,

9. Dan peliharalah mereka dari (balasan) kejahatan. dan orang-orang yang Engkau pelihara dari (pembalasan) kejahatan pada hari itu Maka Sesungguhnya Telah Engkau anugerahkan rahmat kepadanya dan Itulah kemenangan yang besar"

Tidakkah mahu aku beroleh kejayaan yang besar tersebut? Mengapa aku terus menjadi seorang yang engkar? Sesungguhnya Allah berfirman :

4. Tidak ada yang memperdebatkan tentang ayat-ayat Allah, kecuali orang-orang yang kafir. Karena itu janganlah pulang balik mereka dengan bebas dari suatu kota ke kota yang lain memperdayakan kamu.

Tidakkah aku tahu, mereka yang engkar dan sering mempertikaikan-Nya adalah mereka yang kufur?

Sesungguhnya aku tidak mahu di sana kelak aku berada dalam golongan mereka ini, yang meminta pada-Nya,

11. Mereka menjawab: "Ya Tuhan kami Engkau Telah mematikan kami dua kali dan Telah menghidupkan kami dua kali (pula), lalu kami mengakui dosa-dosa kami. Maka Adakah sesuatu jalan (bagi kami) untuk keluar (dari neraka)?"

Biarlah aku menyesal di dunia kerana Dia Maha Pengampun dan Maha Penerima taubat hamba-hamba-Nya...

Benarlah firman-Nya :

20. Dan Allah menghukum dengan keadilan. dan sembahan-sembahan yang mereka sembah selain Allah tiada dapat menghukum dengan sesuatu apapun. Sesungguhnya Allah Dia-lah yang Maha mendengar lagi Maha Melihat.

yang Dia, Maha Adil, memberikan rahmat dan pengampunan bagi hamba-hamba-Nya yang tahu bersyukur dan mahu bertaubat dan sesungguhnya azab-Nya amat pedih di sana kelak...

Tidak cukupkah dengan ini sebagai bukti cinta & kasih sayang-Nya pada aku?



Ya Allah,
Janganlah Engkau tarik nikmat Iman & Islam ini dariku,
Tetapkanlah hatiku di jalan-Mu, di dalam agama-Mu...

Amiiin...


-Syphoon-
Irbid, Jordan
0755, 21 Dzul Hijjah 1427.

Friday, January 05, 2007

Bersyukurkah aku....

Bersyukur hanya pada-Mu
Limpahan nikmat & rahmat-Mu
Kau pancarkan Nur Iman
Kau pancarkan Nur Islam
Menerangiku dari kegelapan....

Itulah kurniaan yang utama
Hadirnya dengan hidayah-Mu
Bukan seperti nikmat dunia
Yang boleh diusaha mencari

Kadangkala manusia keliru
Bersyukur bila hajat tercapai
Resah & merasa kecewa
Yang diimpi tak terbukti

Bersyukur hanya pada-Mu
Limpahan nikmat & rahmat-Mu
Kau pancarkan Nur Iman
Kau pancarkan Nur Islam
Menerangiku dari kegelapan....

Bersabarlah dengan rintangan yang mendatang
Mungkin itu adalah ujian dari-Nya
Imbangilah ianya dengan zikrullah
Kenangilah segala kurniaan Ilahi

Semoga kita menjadi golongan yang bersyukur....


Ya Allah...
Jadikanlah aku seorang hamba yang bersyukur kepada-Mu...
Kuatkanlah hatiku ini bagi menempuh ujian-Mu...

Amiin...

-Syphoon-
Irbid, Jordan
2143, 15 Dzulhijjah

Thursday, January 04, 2007

Eidul Adha & Tahun Baru 2007

Bismillah...
Alhamdulillah....Selawat & salam khas buat baginda SAW yang tercinta...

Solat Eidul Adha di sini bermula jam 7.00 pagi, 30 Disember tahun lalu. Sejuk, sungguh sejuk. Keluar rumah, asap berkepul-kepul keluar dari mulut. Di sini, Eid Adha lebih meriah berbanding Eid Fitri. Tidak seperti di Malaysia, Eid Fitri disambut lebih meriah berbanding Eid Adha. Aku pun masih tertanya-tanya mengapa.

Sejarah korban aku rasa semua orang sudah tahu. Firman Allah :


As-Shaffat : 100-110

100. Ya Tuhanku, anugrahkanlah kepadaku (seorang anak) yang termasuk orang-orang yang saleh.

101. Maka kami beri dia khabar gembira dengan seorang anak yang amat sabar[1283].

102. Maka tatkala anak itu sampai (pada umur sanggup) berusaha bersama-sama Ibrahim, Ibrahim berkata: "Hai anakku Sesungguhnya Aku melihat dalam mimpi bahwa Aku menyembelihmu. Maka fikirkanlah apa pendapatmu!" ia menjawab: "Hai bapakku, kerjakanlah apa yang diperintahkan kepadamu; insya Allah kamu akan mendapatiku termasuk orang-orang yang sabar".

103. Tatkala keduanya Telah berserah diri dan Ibrahim membaringkan anaknya atas pelipis(nya), (nyatalah kesabaran keduanya ).

104. Dan kami panggillah dia: "Hai Ibrahim,

105. Sesungguhnya kamu Telah membenarkan mimpi itu[1284] Sesungguhnya Demikianlah kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik.

106. Sesungguhnya Ini benar-benar suatu ujian yang nyata.

107. Dan kami tebus anak itu dengan seekor sembelihan yang besar[1285].

108. Kami abadikan untuk Ibrahim itu (pujian yang baik) di kalangan orang-orang yang datang Kemudian,

109. (yaitu)"Kesejahteraan dilimpahkan atas Ibrahim".

110. Demikianlah kami memberi balasan kepada orang-orang yang berbuat baik.


[1283] yang dimaksud ialah nabi Ismail a.s.

[1284] yang dimaksud dengan membenarkan mimpi ialah mempercayai bahwa mimpi itu benar dari Allah s.w.t. dan wajib melaksana- kannya.

[1285] sesudah nyata kesabaran dan ketaatan Ibrahim dan Ismail a.s. Maka Allah melarang menyembelih Ismail dan untuk meneruskan korban, Allah menggantinya dengan seekor sembelihan (kambing). peristiwa Ini menjadi dasar disyariatkannya qurban yang dilakukan pada hari raya haji.


Tahun ini, warga Melayu Irbid mendapat seekor lembu dan 2 ekor kambing bagi tujuan korban dan dilaksanakan pada hari ke-2, 11 Dzulhijjah 1427.

"Wah, mewah kita tahun ni!! Banyak tu.."
ulas seorang sahabatku.

Aku fikir, adakah tujuan korban itu untuk makan? Ataupun sebagai maksud tanda pengabdian kita kepada-Nya? Jika sebagai tanda pengabdian kita kepada-Nya, Alhamdulillah...Kalau bukan?

Seminggu sebelum itu, aku diminta untuk menulis bagi ruangan kalam MT bagi makalah Al-Qalam. Fokus Al-Qalam menyentuh Eid Adha & Tahun Baru 2007. Aku quote salah satu dari ayat-Nya :


Al-Ankabut : 2

2. Apakah manusia itu mengira bahwa mereka dibiarkan (saja) mengatakan: "Kami Telah beriman", sedang mereka tidak diuji lagi?

Ayat ini sungguh bertepatan dengan Principles of Equivalent Trade yang aku dapat daripada Anime : Full Metal Alchemist yang berbunyi "In order to gain something, one must present something equal to it" , salah satu hukum alam ini.

Bolehkan seseorang itu membeli sesuatu tanpa mengeluarkan wang yang sama harganya dengan barang tersebut? Tentu tidak. Bolehkah seorang pelajar itu beroleh keputusan yang cemerlang sekiranya dia malas ke kuliah, malas mengulangkaji pelajaran, malas membuat assignment ? Rajin ke kuliah, rajin menelaah pelajaran, rajin berjumpa lecturer, rajin bertanya, semua ini adalah harga yang perlu 'dibayar' oleh seorang pelajar jika mahu cemerlang dalam exam.

Begitu juga dengan iman. Bolehkah kita mengaku yang kita ini seorang mukmin, sedangkan kita tidak pernah diuji oleh-Nya, tidak pernah menunjukkan rasa 'ubudiah kita pada-Nya, tidak pernah melakukan pengorbanan untuk-Nya? Bak kata pepatah melayu, yang bulat tidak datang bergolek, yang pipih tidak datang melayang.

______________________________________________________________

Aku bersyukur pada-Nya kerana mencampak aku ke sini. Malam 31 Disember, aku berada di rumah, memotong daging korban untuk program Eidul Adha PERMAI. Tambahan , untuk program tersebut, ada pula bahan bacaan untuk dibaca kerana adanya kuiz mengikut kumpulan MEKAP masing-masing sewaktu program tersebut. Bahan bacaan berkenaan Fiqh Adha.

Aku sedih melihat sebahagian sahabat-sahabatku di Malaysia, malam 31 Disember mereka dipenuhi hedonisma yang melampau. Apatah lagi mereka yang berumur sebaya denganku. Pernah aku tonton di Youtube , rencana 'Edisi Siasat' berkenaan sambutan tahun baru di Malaysia oleh muda-mudi generasiku. Tiada yang menarik melainkan dihidangkan dengan hedonisma yang melampau, menggelapkan hati, membekukan minda & menjadikan mereka ini jauh daripada mengingati-Nya.
______________________________________________________________

Bagiku, Eid Adha & Tahun Baru 2007 ku di sini cukup meriah, dimeriahkan dengan kerja-kerja program, gurauan sahabat-sahabat yang datang menolong, riuh-rendah ketika memasak, penambahan ilmu & ukhwah yang erat antara warga Melayu Irbid.

Semua orang punyai 'penjuru-penjuru' mereka sendiri yang dijaga dengan kemas...

Terima kasih kepada semua yang membantu menjayakan program Eid Adha PERMAI, Senior-senior tahun 6, tahun 5 di JUST, senior-senior daripada Universiti Yarmouk, sahabat-sahabat tahun 3, tahun 2 dan tahun 1 ... Semoga ukhuwah ini akan terus berkekalan, dan terus berada di bawah payung rahmat-Nya...

Dan tidak dilupakan juga, lontarkan persoalan ke dalam benak masing-masing, berapa banyakkah 'pengorbanan' yang telah kita lakukan untuk menjadi seorang pelajar yang cemerlang, dan apakah 'pengorbanan' yang telah kita lakukan untuk mendapatkan title mukmin...????



Ya Allah...
Satukanlah kami dibawah kasih sayang-Mu,
Bersatu memikul ketaatan kepada-Mu,
Bersatu memikul beban dakwah-Mu,
Dan berikrar bersama-sama membantu menegakkan syari'at-Mu...

Amin.....

-Syphoon-
Irbid, Jordan
1418, 14 Dzul Hijjah 1427,