Saturday, February 16, 2008

Antara Rungutan & Kesyukuran

Bismillah...
Segala puja & puji buat-Mu, selawat & salam buat junjungan tercinta SAW...

"Harga barang naik lagi..?"
"Tambang bas naik 10 qirsy dari Mujamma' Amman..."
"Bila la nak naik biasiswa ni..."


Lewat ini, keluhan-keluhan ini keluar dari mulut kita sedar atau tidak. Kenaikan harga minyak secara mendadak di Jordan bermula 7 Februari yang lalu telah menyebabkan kesemua harga barangan runcit & harian meningkat. Hal ini turut meningkatkan lagi kadar inflasi yang berlaku di Jordan.


Mereka yang dibiayai biasiswa mengeluh, apatah lagi sahabat-sahabat yang berada di bawah tanggungan ibubapa secara persendirian. Sudah tentu perkara ini lebih menyulitkan mereka.

Begitu banyak rungutan yang timbul dalam kalangan mahasiswa Malaysia di Irbid ini. Kos hidup yang tinggi, dengan perbelanjaan bagi keperluan akademik lagi & pelbagai keperluan lain perlu ditampung.

Namun, sedarkah kita rungutan kita itu akhirnya akan meluputkan rasa syukur kita kepada-Nya?

Ibrahim : 7


Sungutan & rungutan yang terbit dari mulut kita, menggambarkan seolah-olah tiada rezeki yang diberikan oleh-Nya kepada kita. Hal inilah yang patut kita awasi, supaya tidak berlarutan, yang akhirnya menjadikan kita seorang hamba yang kufur.

Allah SWT berjanji kepada hamba-hamba-Nya, andainya kita bersyukur, maka akan ditambahkan lagi nikmat-Nya kepada kita. Namun AWAS, seandainya kita kufur & melupakan-Nya, sesungguhnya azab atau kemudharatan pula yang akan ditimpakan ke atas kita.

Mungkin ada yang tidak bersetuju dengan kenyataan ini. Aku sendiri sedia maklum, yang elaun sara hidup yang diterima ketika ini sememangnya tidak mencukupi. Aku bersetuju & menyokong sekiranya ada usaha seperti membuat kertas kerja kenaikan elaun & sebagainya. Namun sikap kita dalam menerima musibah ini harus kita ubah.

Kesyukuran kepada Allah SWT itu perlu didahulukan. Bayangkan bagaimana saudara-saudara Muslim kita yang berdekatan dengan kita ketika ini, di Palestin sebagai contoh, ada yang tidak makan berhari-hari, dengan keperluan hidup yang tidak mencukupi, apatah lagi untuk hidup dalam keamanan & keselesaan. Sedangkan kita di sini bersenang lenang tanpa ada memikirkan bagaimana keadaan mereka di sana.

Sikap merungut & bersungut ini perlu dikikis. Kesyukuran tidak kira dari segi amalan zahir ataupun lafaz di hati harus disematkan sentiasa.

Kenaikan biasiswa itu perlu, kerana di sana ada hak kita untuk meminta. Kita pinta apa yang sepatutnya kita perolehi. Sahabat-sahabat di United Kingdom & Ireland atau di Ukraine misalnya, yang menuntut dalam pengajian yang sama, perubatan & pergigian, mereka telah lama menikmati kenaikan elaun sara hidup yang sepadan dengan kos hidup di sana. Sedangkan kita di Jordan telah bertahun lama berjuang, tapi masih dianaktirikan.

Hal ini perlu kita perjuangkan, dengan rasa kesyukuran tersemat di hati. Bukan semata kerana merungut tidak cukup makan pakai, maka kita meminta untuk dinaikkan elaun. Setelah elaun dinaikkan, lantas akan ada yang menukar telefon bimbit, menambah barangan yang kamaliyyat & haajiyyat . Pembaziran, & seperti mana yang kita sedia maklum, tiadalah orang yang membazir itu, melainkan saudara atau ikhwan kepada syaitan, makhluk yang dilaknat oleh Allah SWT.

Usaha bagi memperjuangkan hak bersama ini perlu dipikul sebagai satu pasukan. Bukan oleh pihak-pihak tertentu sahaja.

Yang tajaan MARA, mengharapkan tajaan JPA untuk membuat kertas kerja & perkara yang sebaliknya berlaku.

Bila diminta untuk memberikan maklumat-maklumat berkaitan, tiada yang memberi maklum balas.

Bila diminta untuk memberikan kerjasama supaya menghantar keputusan setiap semester kepada penaja, masing-masing memandang remeh & mengambil sikap sambil lewa.

Yang ada, cuma rungutan & cakap belakang. Lantas menyalahkan & menuding jari antara satu sama lain.

Semua SIKAP yang merugikan kita sendiri. Walhal, perkara yang sebegini senang dapat di atasi dengan mudah. Tiada kesepakatan & penglibatan. Hanya tahu menikmati hasil susah payah orang lain. INILAH SIKAP KITA KETIKA INI.

Tiada yang lebih diharapkan melainkan kerjasama & pertolongan. Perkara-perkara asas hampir kesemuanya telah diambil kira. Cuma pertolongan tambahan diperlukan daripada sahabat-sahabat sekalian, dan pertolongan tersebut tidak lain & tidak bukan adalah kerjasama & komitmen.

Wallahua3lam

-Syphoon-
Irbid, Jordan
0054, 9 Safar 1429

Tuesday, February 12, 2008

Idea & Pemikiran

Bismillah...
Segala puja & puji buat-Mu, selawat & salam buat junjungan tercinta SAW...

Alhamdulillah, cuti semester pertama telah pun selesai. Aku bersyukur kepada Allah SWT, kerana cutiku pada kali ini tidak disia-siakan & berlalu begitu sahaja.

Seinfiniti kesyukuran aku panjatkan kepada Allah SWT kerana diberikan kekuatan & kesihatan untuk menjayakan satu program yang telah lama hilang, meskipun tidak sehebat kali pertama program ini diadakan.

(Kedua-dua logo ini diguna pakai bagi menggambarkan MPPM 07/08)

Persidangan Tahunan Mahasiswa Malaysia Jordan (PERTAMA) kali ke-2 anjuran Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia (MPPM) Jordan sesi 2007/2008


Bertemakan 'Membina Kekuatan Mahasiswa', PERTAMA kali kedua ini bertujuan bagi menghidupkan semula program-program MPPM yang berbentuk membangunkan idea & membina pemikiran seorang mahasiswa.

Mahasiswa Jordan kini semakin lemah daripada segi idea & akademik. Budaya hedonisma yang semakin menular di kalangan mahasiswa juga tidak melepaskan mahasiswa Jordan sebagai mangsanya.

Program-program berbentuk akademik & ilmiah kurang mendapat sambutan. Sebaliknya aktiviti & program yang berbentuk sukan & permainan atau hiburan & 'makan-makan' menjadi pilihan mahasiswa Jordan. Pendek kata, mahasiswa Jordan tidak suka menggerakkan otak, dengan alasan sudah penat memerah otak di dalam kuliah.

Krisis sikap & pemikiran ini menurunkan martabat mahasiswa, meletakkan mereka setaraf dengan pelajar sekolah menengah, mungkin pelajar sekolah rendah lebih bagus daripada mahasiswa di universiti dari sesetengah aspek, disiplin misalnya.

Hal ini menjadikan mahasiswa hari ini tidak lagi dipercayai oleh masyarakat. Bahkan masyarakat memandang rendah kepada kita.

Mahasiswa Jordan menjadi 'bisu' apabila dunia mahasiswa berbicara berkenaan dengan isu-isu semasa yang berlaku di seluruh dunia. Lebih malang apabila mahasiswa Jordan tidak mengambil peduli akan keadaan umat Islam di Palestin, meskipun jarak antara Jordan-Palestin tidak sejauh mana.

Kuiz yang diadakan semasa PERTAMA diadakan membuktikan yang mahasiswa Jordan masih lemah berkenaan isu semasa. Peratusan yang tidak sampai 60% itu pun sudah ditepuk tangan, dibanggakan.

Bukan sahaja berkenaan isu dunia, malahan isu berkenaan Malaysia & juga yang berkaitan dengan Jordan sendiri gagal untuk dijawab oleh sebahagian besar mahasiswa Jordan. Betapa tidak pedulinya mahasiswa Jordan hari ini.

Drama Jepun, Dragonzakura

"If you fail to score 100%, you'll be considered fail."

Dunia kini dikatakan a world of rat race. Sesiapa yang gagal untuk mengejar, akan terus ketinggalan. Lebih malang bagi sesiapa yang masih tidur beralasankan penat & sebagainya, mereka akan terus berada di garisan yang sama, tanpa ada perubahan pada diri, sedangkan dunia luar sudah maju ke hadapan.

Seperti yang dibangkitkan dalam persidangan kali ini, apakah yang mahu diglobalkan? Adakah MPPM itu sendiri, atau pemikiran ahli MPPM ?

Kemajuan dunia ketika ini bukan sahaja terletak pada kepandaian menggunakan peralatan & teknologi terkini. Bukan diukur dengan ketinggian bangunan & kecanggihan gadget yang dimiliki. Tetapi kemajuan juga dinilai dari segi idea & pemikiran.

V for Vendetta (special thanks to Dr. Saifuddin)

Idea is bulletproof.

Idea & pemikiran adalah satu perkara yang tidak akan luput, meskipun mereka yang membawa & mencetuskan idea & pemikiran ini telah lama mati. Generasi-generasi akan datang akan terus mengingati perkara yang disampaikan melalui idea & pemikiran.

Hal inilah merupakan salah satu kelemahan yang wujud dalam diri mahasiswa Jordan. Tiadanya cetusan idea. Yang ada hanya pemikiran monotype. 'Adat' & kebiasaan tidak boleh dilangkau. Perubahan tidak dilakukan kerana takut bertentangan dengan yang terdahulu.

Tidak kurang bagi yang lama (baca: senior), pemikiran atau 'kalau aku tak buat, kau jangan buat''kalau aku buat begini, kau mesti ikut & tidak boleh lain' juga merupakan satu penyakit yang merencatkan perkembangan idea & pemikiran yang lain.

Idea & pemikiran kita pada hari ini mungkin akan dijadikan bahan ketawa. Namun, tidak mustahil suatu hari nanti akan ada generasi lain yang akan mengkaji semula akan relevannya idea & pemikiran kita ini.

Cetusan-cetusan idea yang baru merupakan kesinambungan daripada idea & pemikiran hari ini. Mungkin asalnya daripada satu idea yang bodoh & mengarut, tapi siapa sangka sekiranya idea tersebut berjaya diketengahkan & direalisasikan.

Kentucky (KFC) sebelum berjaya menjadi satu bentuk real estate yang mendapat pasaran di seluruh dunia (hatta di Makkah sendiri ada KFC), turut melalui proses yang sama. Dengan idea menjual ayam goreng, siapa sangka hari ini terdapat cawangan KFC hampir di serata dunia.

Begitu juga dengan saintis-saintis terkenal, Alexander Grahambell, yang mencipta alat komunikasi yang berkembang pada hari ini.

Idea-idea mereka berkembang pesat. Komunikasi yang dahulu terhad kepada telefon, dimajukan dengan faks, internet & fibre optic. Cetusan idea, berasal daripada telefon.

Kita di Jordan sudah punyai idea yang dicetuskan oleh generasi terdahulu. Namun malangnya, idea sedia ada itu gagal dikembang & ditambah baik. Tiada post-mortem dilakukan bagi setiap tindakan, aktiviti & program. Yang penting, program yang sama harus dilakukan pada masa akan datang, meskipun tanpa apa-apa perubahan.

Budaya malas berfikir ini menjadikan mahasiswa Jordan tidak produktif & inovatif. Malah, menjadikan kita lebih jumud & tertinggal jauh di belakang. Kemudahan-kemudahan yang ada seperti internet disalahgunakan & gagal untuk diambil manfaat daripada sumber yang sedia ada ini.

Inilah kelemahan-kelemahan yang harus kita perbaiki bersama.

Masalah telah kita kenal pasti & apa yang diharapkan adalah adanya tindakan untuk kita merubah diri kita. Actions to solve these problems are needed. Tiada yang dapat merubah, melainkan kita, mahasiswa sendiri.

Ayuh, globalkan pemikiran kita.

Banyakkan pembacaan, tambahkan pengetahuan, mulakan tindakan, janakan idea & pemikiran.

Mari kita sama-sama membina & mengembalikan kekuatan mahasiswa.

p/s :
Bagi peserta & urusetia PERTAMA kali ke-2, insyaAllah Buku Laporan PERTAMA akan menyusul & diedarkan kepada anda semua.

Wallahua3lam...

-Syphoon-
Irbid, Jordan
0331, 5 Safar 1429

Kertas-kertas kerja berkaitan :
Aku tidak pedulisma
Kertas Kerja yang dibentangkan oleh MPPM 06/07 di PERMIT 07
Antara Pemuda & Kepemudaan
Audio : Hijrah & Perubahan