Wednesday, November 29, 2006

Air & Batu

Alhamdulillah... Selawat & Salam ke atas junjungan besar Muhammad SAW...

Terimbau aku kenangan semasa di sekolah menengah dahulu...Tika aku berada di tingkatan empat. Jalan antara Warung Wak Kanang & Masjid Sultan Sulaiman, iaitu Jalan Raja Jumaat, boleh dikatakan setiap hari Sabtu aku akan ke sana, menikmati Air Batu Campur (ABC) atau lebih dikenali dengan Ais Kacang.

Rasa Air Batu Campur tersebut masih tidak boleh ku lupakan. Ahh...sungguh lazat... Air batu yang dikisar, dicampur kacang, dilumuri dengan susu & sirap...Semuanya cukup, secukup rasa, dimakan bersama rojak yang pedas...Masih tidak dapat ku lupakan hingga kini...

Dahulu ketika aku kecil, sering bermain di fikiranku, "Air batu campur? ABC? Diorang campur air dengan batu ke?" Begitulah fikiran seorang yang berumur 5 tahun apabila disoal "Adik pernah makan Air Batu Campur tak?"

Sungguh pun perkara itu telah lama berlalu, dan aku kini mengenali apa itu Air Batu Campur, aku masih berfikir akan sesuatu sejak dari umurku 5 tahun itu. "Bagaimana batu boleh jadi lembut kalo letak air?"

Teringat aku sebuah nasyid yang ku dengar di akhir tahun 90-an...

Batu yang keras,
Air yang lembut,
Dua kejadian amat berbeza,
Tiada siapa dapat menyangka,
Air yang mengalir, dingin di kali
Berupaya melembutkan batu,
Kesannya menjadi ilhamku...

Pernah ku saksikan satu dokumentari National Geographic yang menunjukkan batu-batu di sebuah gua, terhakis dek kerana titisan air yang menghempas batu tersebut. "Jadi betullah air ni boleh jadikan batu ni lembut" ujar hati kecilku yang pada ketika itu berumur 13 tahun.

Andaikan, hati manusia ini sekeras batu, jadi apakah yang dapat melembutkan hati? Teringat lagi aku akan rangkap-rangkap dalam nasyid tersebut...

Umpama kejadian hati dan zikir,
Hati bisa jadi sekeras batu,
Zikir sesejuk air mengalir,
Ia bisa melembutkan hati.

Usah disangka selembut zikir, seremeh perkara
Kalimah La Ilaha Illallah, berupaya menggegar hati
Menyadung manusia ke kaki kebenaran,
Menggegar dunia...

Saidina Umar Al-Khattab yang awalnya menentang keras Islam, menjadi antara sahabat yang intima' dengan Islam hanya dengan mendengar ayat-ayat Al-Quran, yang mana telah menggegarkan & melembutkan hatinya.

Teringat aku akan firman-Nya yang mafhumnya :
Seseorang mukmin itu, apabila disebutkan nama Allah / teringatkan Allah, maka bergetarlah hatinya, dan apabila dia mendengar ayat-ayat-Nya / bukti-bukti kekuasaan-Nya, maka bertambahlah keimanannya

Jelas ayat ini menunjukkan yang zikrullah/mengingati-Nya membuatkan hati kita lembut dan meningkatkan keimanan kita terhadap-Nya. Adapun kita sebagai seorang hamba yang memang tiada terlepas daripada kesalahan & dosa, hendaklah kita segera beristighfar, memohon keampunannya...



Ampunkanlah aku Ya Allah...
Sesungguhnya tiada yang dapat mengampuniku melainkan Engkau...

Amiin...

-Syphoon-

1629, 7 ZulKaedah 1427

Nasyid bertajuk Penangan Zikrullah daripada Album Syahdu, Kump. Suara Firdaus. Klik untuk download

Tuesday, November 21, 2006

Mahu & Tahu

Alhamdulillah...selawat & salam ke atas junjungan besar Muhammad SAW...

Hai orang-orang beriman apabila kamu dikatakan kepadamu: "Berlapang-lapanglah dalam majlis", Maka lapangkanlah niscaya Allah akan memberi kelapangan untukmu. dan apabila dikatakan: "Berdirilah kamu", Maka berdirilah, niscaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa derajat. dan Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan. (Al-Quran 58:11)

Tersentuh aku apabila terbaca artikel tulisan Sang Gemala Sakti tempoh hari. Ligat benakku berputar, mencernakan isi yang ditelan mataku dalam kotak mindaku. Satu persoalan yang timbul, MENGAPA HILANGNYA TIANG SERI TERSEBUT?

Ku fikir, apakah mungkin apa yang aku tahu itu tidak mencukupi? Ya, tidak mencukupi. Pernah aku terdengar seorang ustaz yang ku kenali berkata, "Tahu saja tidak cukup untuk kita komited tanpa adanya kemahuan" . Kalam tersebut pada asalnya untuk satu perkara yang lain, tapi aku cuba untuk mengaitkan dengan apa yang sedang aku alami.

Dalam ayat 11 surah yang ke 58 di dalam Al-Quran, seperti mana yang kita maklum, Allah meninggikan darjat orang yang beriman, dan meninggikan lagi darjat orang beriman yang berilmu pengetahuan. Jelas ayat ini menunjukkan bahawa hanya orang yang beriman dan orang beriman yang berilmu itu mulia di sisi-Nya, bukan sekadar berilmu tetapi tidak beriman.

Analogi yang mudah dalam konteks diriku sendiri sebagai penuntut ilmu, aku tahu bahawa pergi ke kuliah itu penting untuk membantuku skor dalam peperiksaan, tetapi aku tidak mahu ke kuliah, adakah aku akan lulus? Aku tahu bahawa mengulangkaji pelajaran itu penting untuk aku berjaya, tetapi aku tidak mahu berbuat demikian, adakah aku boleh berjaya?

Begitu juga konsep amar ma'ruf dan nahi munkar. Aku tahu perkara itu baik & besar ganjaran pahala di sisi-Nya, tetapi adakah aku mahu untuk mengajak sahabat-sahabatku yang lain untuk turut serta beramal dengan dengan perkara tersebut? Aku tahu perkara buruk, tetapi adakah aku mahu meninggalkan perkara itu dan menegah sahabat-sahabatku untuk meninggalkan perbuatan tersebut? Adakah cukup dengan sekadar tahu, tanpa ada kemahuan?

Mungkin ada yang berpendapat, pengetahuan melahirkan kesedaran, membuahkan kemahuan. Bagiku, kenyataan ini adakala benar, adakala tidak. Andai kenyataan ini sentiasa benar, masakan orentalis yang mengkaji Islam, bahkan ada antara mereka yang lebih arif daripada kita, tidak mahu mengikut agama fitrah ini? Sirah Nabawi juga ada melakarkan, Abu Jahal, yang hidup sezaman dengan Rasulullah, yang tahu latarbelakang baginda, mengetahui kebenaran risalah yang disampaikan oleh baginda, tetapi adakah dia mahu beriman?

Puas aku berdebat dengan diriku sendiri. Aku berhujah, "Bukan taknak tegur, tapi tak mampu..cukuplah sekadar membenci dengan hati" Ah, satu omongan kosong yang sejak dulu lagi aku gunakan untuk beralasan bagi melahirkan rasa tidak bersalah. Sampai bila aku mahu membenci dengan hati? Sampai kiamat? Apa syarat sebelum membenci dengan hati? Apakah tidak aku mahu meningkatkan tahap itu kepada lisan dan paling atas perbuatan? Cukup dengan hati? Puas hati dengan benci sahaja? (1)

Ketahuilah wahai diriku yang jahil ini bahawasanya amar ma'ruf nahi munkar itu merupakan satu sedekah (2) kepada diriku dan juga kepada sahabat-sahabatku. Apakah aku sanggup melihat sahabat-sahabatku yang lain berada dalam keadaan terkapai-kapai, dan mempersoalkan di hadapan Allah kelak di Mahsyar? Tidakkah aku mahu menyempurnakan imanku (3) dengan amar ma'ruf nahi munkar ini?

Sesungguhnya setiap apa yang aku tunjuk itu membawa kepada kebaikan dan ada yang mengikutinya, maka aku turut mendapat ganjaran... Begitu juga dengan setiap kemunkaran yang ku cegah dan mereka meninggalkan perbuatan tersebut, aku turut mendapat ganjaran. Namun, sekiranya yang berlaku adalah sebaliknya, maka aku turut mendapat saham dosa....(4)

Sememangnya hidayah itu milik Allah SWT. Sesiapa yang diberi hidayah oleh-Nya, maka tiada siapa pun yang dapat menyesatkannya, dan sesiapa yang disesatkan oleh-Nya, makan tiada seorang pun yang dapat memberikan hidayah kepadanya...Tetapi apakah aku tidak boleh menjadi asbab kepada hidayah tersebut? Adakah aku mahu menjadi asbab untuk sahabatku itu terus terpesong dan dipesongkan?

Satu persatu soalan yang muncul dalam fikiranku, memukul kalbuku, membuatkan aku bertanya pada diriku, bagaimana keadaan IMAN ku saban hari...Aku tahu prioriti ku sebagai muslim, menjadikan kalimah Allah itu kembali pada tempat yang sepatut(5).

Ya Allah, jadikanlah aku daripada golongan yang mencintai-Mu, dan golongan yang mendapat cinta-Mu...

Amiiin...

Syphoon
Irbid, Jordan
1736, 30 Syawal 1427

(1) Hadith ke 34 - Matan Arbaien Nawawiah
(2) Hadith ke 25 - Matan Arbaien Nawawiah
(3) Hadith ke 13 - Matan Arbaien Nawawiah
(4) Hadith ke 173 - Riyadh As-Solihin
(5) Surah At-Taubah : 40