Friday, February 16, 2007

Sudut dalam pandangan

Bismillah...
Segala puja & puji hanya bagi-Mu, selawat & salam buat yang tercinta SAW...

Dalam kursus Biro Tata Negara (BTN) yang aku lalui sebelum aku ke Jordan, kumpulanku ada membincangkan mengenai pandangan/pendapat dan fakta.

Pandangan/pendapat daripada seseorang itu merupakan aspek bagaimana dia menilai & melihat sesuatu. Misalnya dalam satu isu, si A berpendapat isu itu berpunca dari itu, dan si B berpendapat berpunca dari ini, kedua-dua pendapat mereka bercanggah. Pendapat boleh jadi salah dan boleh juga benar.

Fakta pula merupakan satu hakikat. Misalnya statistik yang dilakukan oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) mengenai bilangan kereta & motosikal yang dipunyai oleh rakyat Malaysia. Angka yang diperoleh merupakan satu fakta.

Kedua-dua perkara ini berbeza, tapi saling berkait rapat. Andaikan si A tadi mengeluarkan pendapat berdasarkan fakta, dan si B pula tidak, siapa yang lebih diyakini? Ataupun situasi lain, kedua-dua pihak menggunakan fakta, namun si A salah dalam mentafsirkan fakta tersebut. Maka terjadilah 2 keadaan yang aku sebutkan di atas, pendapat/pandangan boleh jadi salah, boleh juga benar.

Dewasa ini, aku melihat rakyat Malaysia sudah mula berdiri di atas fakta. Buat ini, mesti persoalkan kenapa. Buat itu, mesti persoalkan kenapa. Mereka mahukan sebab, mahukan fakta yang menjadikan tindakan mereka itu diyakini. Satu perkembangan yang bagus!

Namun, harus kita berhati-hati dengan penggunaan fakta ini. Kalam-Nya & Hadith SAW bukannya satu fakta yang boleh kita kemukakan begitu sahaja. Apa guna ulama' mukhtabar terdahulu mengarang kitab tafsir Al-Quran setebal 7 jilid jika Al-Quran semudah itu untuk difahami? Apa guna para muhaddhithin berjalan berjuta-juta batu demi mencari para perawi yang cukup syaratnya menurut Ilmu Rijal bagi memastikan kesahihan hadith tersebut? Apa guna kitab-kitab syarah hadith ditulis ?

Gerakan tajdid menggunakan Quran & Hadith sebagai fakta mereka. Gerakan liberal juga turut menggunakan fakta yang sama. Tapi, bezanya mereka, bagaimana mereka memproses fakta tersebut.

Mungkin kita sentiasa mahukan rukhsah, kita mahukan kesenangan dalam kita mengamalkan ajaran Islam. Lantas kita pun bersetuju dengan pendapat yang dikeluarkan oleh puak Liberal ini. Wanita yang tidak bertudung, mengucapkan terima kasih kepada "seorang 'alim" kerana mengemukakan fakta kepada mereka yang tudung itu tidak wajib bagi mereka. Relevankah itu? Fakta dari Al-Quran & Hadith dikemukakan, tapi benarkah pendapat "orang" itu?

Seperti di awal tulisan ini, aku mengatakan pendapat/pandangan merupakan bagaimana seseorang itu melihat & menilai sesuatu. Meskipun berfakta, andai dinilai dari sudut yang salah, maka salahlah pendapatnya itu.

Sikap dalam menerima pandangan

Kini, kita punyai banyak pendapat, boleh aku katakan pendapat/pandangan tersebut semuanya diiringi fakta dari Quran & Hadith, tetapi berbalik kepada kita untuk menilai pendapat & fakta tersebut.

Untungnya aku menjadi siswa di Jordan ialah aku diajar untuk menerima pendapat/pandangan & fakta, lalu mencari kesahihan. Tidak kira bagaimana, bertanya pada Haji Google, diskusi sesama rakan mahupun melalui pembacaan sendiri. Dengan cara ini aku boleh mencari 'sudut yang betul' untuk aku 'memandang' isu tersebut. (Teringat aku akan analogi yang dibawa oleh Akh Riyadh...)

Budaya mahukan fakta ini seharusnya disertai dengan budaya mencari kebenaran. Kita kini punyai ribuan jaringan maklumat. Tapi awas, perlu ada penapis. Tanpa penapis, kita sendiri akan terkeliru & tenggelam dalam lautan informasi menggunung ini.

Sikap dalam memberi pandangan

Suka untuk aku sentuh hal ini, kerana kita sering lupa sikap kita dalam memberi pandangan.

Biased, satu istilah yang biasa digunakan dalam isu pendapat/pandangan. Kita bercakap mengenai fakta, tetapi masih biased terhadap pihak-pihak tertentu. Academician yang jujur tidak patut berkelakuan sebegitu. Andai hijau warna daun itu, maka hijaulah dalam reportnya. Tidak boleh ditulis biru mahupun merah. Menyalahi hukum ilmu. Tidak boleh dek kerana takutkan bossnya yang mahu daun itu berwarna biru, maka dia menulis dalam reportnya itu biru. Jika dia tetap melakukan, maka dia telah melakukan kezaliman terhadap ilmu.

Begitu juga kita dalam dunia dakwah. Jika Dia dan Rasul-Nya mengatakan begini & begitu, maka begini & begitu juga yang perlu kita lakukan & sampaikan. Tidak boleh tidak, tanggungjawab itu telah ada di atas kepala kita.

Sikap dalam memandang

Memandang/melihat juga perlu pada sudut yang betul. Salah sudut, pandangan/penglihatan kita akan kabur & kita tidak akan nampak apa yang berlaku. Lantas kita memberi penilaian/pendapat yang salah.

Di Irbid, aku dapati penduduk di sana berduyun-duyun ke masjid. Mereka tidak kisah sekiranya lambat 1 rakaat, 2 rakaat, mahupun bersolat bersama imam kedua/ketiga. Jemaah yang awal tidak pula memandang dari sudut yang salah kepada jemaah yang lewat solat. Malah mereka bersyukur kerana sekurang-kurangnya mereka itu hadir bersolat di masjid berjemaah. Suasana ini menggalakkan lagi untuk solat berjemaah di masjid.

Yang aku hairan, di Malaysia, kita seolah-olah tidak boleh menerima mereka yang masbuk. Kita memandang mereka ini dari sudut mereka ini bersalah kerana lewat. Sedarkah kita sudut pandangan ini salah, malah membawa kepada kesan yang negatif?

Proaktif dalam memberi pandangan

Orang arab sangat proaktif dalam memberi pandangan mahupun jawapan. Mereka tidak takut kiranya mereka salah. Mereka mahu mencambahkan idea, mencari jawapan, mencari kebenaran.

Suasana ini berbeza dengan pengalaman ku dahulu, yang mana dahulu di dalam kelas sewaktu sekolah menengah, kiranya cikgu bertanya, jarang akan ada yang mengangkat tangan, malah terpaksa untuk disebut nama untuk menjawab soalan, macam VIP pula perlu dipanggil-panggil.

Situasi ini aku perhatikan sama seperti Dewan Ulama' yang ada di Malaysia. Tidak kira dewan yang mana. Apabila bersidang, seorang membentang, lain mendengar, dan kata putus adalah "Kami setuju". Pendapat lain? Tidak ada. Tidak proaktif.

Proaktif dalam memandang

Hal ini boleh saja aku directkan link kepada web Abu Saif. Lebih mudah untuk diterjemah. Memandang, pause & berfikir, lalu bertindak. Kesimpulan yang boleh aku buat.


Semua yang aku tulis ini berdasarkan pendapat/pandanganku, boleh jadi betul, boleh jadi salah. Berbalik pada kita sendiri, dari sudut mana kita memandang.

Wallahua'alam.


Ya Allah,
Jelaskanlah pandanganku,
Selarikanlah pandanganku dengan jalan-Mu...

Amiin.


-Syphoon-
Teluk Intan, Perak
1605, 28 Muharram 1428

No comments: