Bismillah...
Segala puja & puji hanya bagi-Mu, selawat & salam buat yang tercinta SAW...
Meskipun tidurku malam yang lalu tidak mencukupi, namun fikiran ku yang jauh menerawang membuatkan aku tidak dapat menyambung tidurku selepas subuh. Tergerak hatiku untuk menulis daripada aku berdiam diri di bawah hiram tak tentu pasal.
Aku pernah terbaca salah satu artikel di web Abu Saif yang berkaitan dengan Substance & Shape dan aku berminat untuk memikirkan berkenaan idea ini meskipun idea yang disampaikan oleh Abu Saif cukup jelas.
Substance
Jika kita ke pasaraya, kita akan dapati pelbagai bentuk gula. Ada gula dalam bentuk butiran yang biasa, ada gula pasir & ada gula yang berbentuk kiub. Tapi apakah bahan asas bentuk tersebut? Semuanya gula.
Jika berjalan jauh sedikit di pasaraya, kita sampai di bahagian tupperware, kita akan dapati pelbagai bentuk tupperware, ada yang besar, ada yang kecil, ada yang bulat, ada yang segi empat, tetapi semuanya dari plastik.
Shape
Apa pentingnya bentuk kalau sudah semuanya gula? Biasanya kita akan menggunakan gula biasa untuk tujuan memasak, membancuh air dan sebagainya, manakala gula pasir biasanya kita gunakan untuk membuat kek atau kuih. Gula kiub memudahkan kita untuk mengagak sukatan gula yang digunakan, dan selalunya digunakan di hospital mahupun di restoran untuk dihidangkan kepada pelanggan.
Begitu juga tupperware tadi, ada pelbagai bentuk, dan setiap bentuk ada kegunaan tersendiri.
KAITAN ANTARA SHAPE & SUBSTANCE
Substance menghasilkan shape. Aku tidak mempersoalkan substance yang mengisi shape, tapi substance yang menghasilkan shape.
Tupperware, punyai pelbagai bentuk kerana sifat plastik itu mudah dibentuk. Gula boleh dijadikan bentuk kiub kerana sifat gula itu sendiri.
SUBSTANCE & SHAPE BAGI MANUSIA
Manusia juga merupakan satu bentuk (shape). Manusia lebih kompleks, peribadi, personaliti, akhlak, perlakuan, percakapan, semuanya bentuk yang ada pada manusia. Aku fikir, andai semuanya ini adalah shape, maka boleh kita mengubahnya.
Tapi bagaimana?
ISLAM SEBAGAI SUBSTANCE
Ya, dengan menjadikan Islam sebagai substance, maka akhlak, personaliti dan sebagainya dalam diri kita boleh kita bentuk.
Islam merupakan substance yang unggul, tiada cacat cela padanya. Bayangkan jika plastik yang digunakan untuk membuat tupperware tadi tidak berkualiti, alamat baru di depan pintu microwave dah cair.
Seorang muslim yang dibentuk dengan substance Islam yang lengkap, akan punyai akhlak dan personaliti yang mantap. Tidak mudah cair tatkala berdepan dengan ujian, tidak gentar berhadapan dengan musuhnya. Semuanya hasil daripada substance yang unggul tersebut.
Apa untungnya jika semua shape dibuat dari substance yang sama?
Berbalik pada analogi gula tadi. Banyak shape, tapi substance tetap sama, iaitu gula dan punyai peranan yang berbeza.
Ah Chong, Raju & Abu. 3 sekawan dari kaum yang berbeza. Tapi substance mereka sama, iaitu Islam. Mereka keluar bersama-sama ke bandar dan dalam perjalanan mereka terserempak dengan seorang pakcik, muallaf Cina yang tidak tahu berbahasa Melayu atau Hindi. Jadi siapa yang lebih layak untuk berbicara dengan pakcik tersebut? Sudah tentu Ah Chong kan?
(Ah Chong : Ahmad Syafiq ; Raju: Muhammad Rajudin)
Apa yang boleh aku kaitkan dengan analogi substance & shape ini?
MASUK MELAYU, BUKAN MASUK ISLAM
Di Jordan, terdapat pekerja-pekerja yang datang dari Cina, bekerja di kilang-kilang di sini. Ada antara mereka yang Muslim, ada yang tidak. Meskipun orang Arab di sini pada mulanya memandang pelik kepada mereka tatkala Muslim Cina ini hadir ke masjid, mereka akhirnya mengucapkan 'Alhamdulillah' tanda kesyukuran kerana hidayah-Nya itu sampai kepada orang Cina dan tidak pula mereka menyuruh muslim Cina ini memakai pakaian seperti mereka ataupun mengikut perlakuan mereka.
Fenomena 'masuk Melayu' selepas revert kepada Islam merupakan satu igauan buruk yang menghantui golongan non-Muslim di Malaysia. Setelah revert, kena berpakaian seperti orang Melayu, kena mematuhi adat resam orang Melayu, kena itulah seperti orang Melayu, kena inilah seperti orang Melayu. Maklumlah, orang Islam di Malaysia kan orang Melayu... Tapi inilah antara shape yang menjadikan substance tersebut hodoh.
Kita terlalu mementingkan shape, dan mengabaikan substance. Saudara baru kita itu baru mahu bertatih mengenal Islam, kita bebankan mereka dengan adat Melayu, kita bebankan mereka dengan cara hidup Melayu. Apa cara hidup orang Cina 100% bertentangan dengan Islam, dan apakah cara hidup orang Melayu itu 100% selari dengan syara'? Kita mahu dia mengikut cara hidup Melayu atau cara hidup ISLAM? Hasil dari usaha meMelayukan ini yang menjadikan non-Muslim melarikan diri dari Islam.
Aku pernah membaca kisah beberapa orang yang revert kepada Islam. Boleh aku simpulkan, kebanyakan mereka mengenal Islam melalui kajian mereka sendiri. Andai mereka melihat keadaan umat Islam yang ada ketika ini, sudah tentu mereka tidak akan memeluk Islam.
Ayuh, mari kita bentuk kembali substance unggul ini agar punyai shape yang enak dipandang mata dan memukau malah memikat mereka yang melihatnya.
Ya Allah,
Perelokkanlah akhlakku,
Sebagaimana Kau perelokkan kejadianku...
Amiin...
-Syphoon-
Irbid, Jordan
0944, 20 Muharram 1428
No comments:
Post a Comment