Bismillah...
Segala puja & puji hanya bagi-Mu, selawat & salam buat yang tercinta SAW...
Aku terimbau kenangan ketika di sekolah rendah, pabila cikgu memberikan latihan dan terdapat kesalahan pada latihan tersebut, cikgu akan menyuruh kami untuk membuat pembetulan di bahagian belakang buku tersebut dengan tajuk 'Pembetulan'. Buku itu akan disemak kembali dan dengan cara itu kami boleh merujuk di bahagian belakang buku tersebut agar tidak melakukan kesalahan tersebut buat kali kedua.
Ketika di tingkatan 3, sewaktu aku berada di SMKA Sultan Azlan Shah, Bota, Perak, satu kalam daripada seorang cikguku masih aku ingat sehingga sekarang.
"Kalo dia salah, jangan pangkah, bulatkan pada jawapan yang betul. Tak guna kita salahkan dia, baik kita betulkan dia," ujar Cikgu Khairi, cikgu yang mengajarku Kemahiran Hidup.
Ketika itu aku dan sahabat-sahabatku sedang menyemak kertas soalan & kertas jawapan bagi kelas yang lain.
Kalam ini masih terkesan padaku sehingga kini.
Aplikasi
Entry di web Abu Saif berkenaan proaktif ada mengaitkan dengan falsafah dalam lagu 'Bangau oh Bangau'. Kita semua tahu yang falsafah ini berkaitan dengan kita sendiri. Kalau tidak, masakan lagu ini hanya wujud dalam versi Bahasa Melayu sahaja? (tolong maklumkan kiranya siapa-siapa pernah mendengar lagu ini dalam bahasa lain)
"Dia silap tu, padan muke die".
"Eleh dia tu, suruh org buat baik, tapi x reti cermin diri sendiri".
"Dia tu teruk la, suka buat camtu".
Sedar atau tidak, itulah ungkapan yang kita lafazkan. Tidak kira sesama ahli keluarga kita, rakan serumah kita, jiran tetangga kita ataupun orang yang tidak kita kenali.
Kita menyalahkan seseorang itu kerana perbuatannya itu. Dia itu, dia ini. Tapi apa tindakan kita?
Rasanya kita semua jelas dengan konsep amar maaruf nahi munkar. Bermulanya dengan tangan, lisan dan akhirnya dengan hati. Lisan itu ada, tapi bukan dengan cara ini. Dan tidak boleh sekadar dengan hati, tanpa kita cuba dengan 2 yang awal.
Pernahkah kita terfikir untuk menegur sahabat serumah kita yang lewat bangun untuk solat subuh? Pernahkah kita menegur abang, kakak, atau adik kita kiranya mereka membuat kesilapan? Mungkin ketika kecil pernah, tapi tatkala sudah dewasa ini, bagaimana?
Semuanya berlaku depan mata kita, dan kita pula berkata di belakang. Bukankah itu mengumpat namanya?
Sekadar berkata-kata di belakang tidak akan mengubah kesalahan tersebut. Tegur dengan niat membetulkan, tunjukkan cara yang betul kepada mereka, atau tunjukkan qudwah yang seeloknya kepada mereka.
Organisasi
Sering kita mengkritik orang atasan kita. Misalnya di Irbid, kita mengkritik Presiden PERMAI kerana sifatnya begini & begitu (maaf ya Tuan Presiden, misalan sahaja =P ), tapi pernahkah kita bersemuka dengannya, menyatakan tindakannya itu sebenarnya salah?
Hal ini tidak berlaku antara ahli biasa & pimpinan, hatta dalam barisan kepimpinan tersebut juga terdapat kes-kes seperti ini. Kita mengkritik, kita mengata belakang, andai membina tidak mengapa, tetapi menambah dosa!
Ayuh, kurangkan cakap, mulakan tindakan, perbaik mana yang silap, perbetul mana yang salah, tambahkan yang kurang, sempurnakan yang tidak lengkap.l...
Wallahua'alam...
-Syphoon-
Teluk Intan, Perak
1921, 1 Safar 1428
No comments:
Post a Comment