Sunday, July 19, 2009

Labuhkan tirai 08/09 (siri 1)

Assalamualaikum wbth...

Segala puja & puji buat-Mu, selawat & salam buat junjungan tercinta SAW...


Alhamdulillah, berakhir lagi satu sesi pentadbiran PERMAI. 12 bulan, merupakan satu tempoh yang cukup panjang. Pastinya tanpa sokongan & dorongan serta kerjasama warga PERMAI sekalian, Badan Pentadbir PERMAI sesi 2008/2009 tidak akan dapat bertahan & melaksanakan amal-amal Islami yang dipertanggungjawabkan kepada kami.


Amanah atau taklifan merupakan satu bebanan, bukan kunci untuk memperoleh kemuliaan. Tiadalah kami yang berada di atas ini mempunyai apa-apa keistimewaan untuk membuat keputusan atau melaksanakan apa sahaja yang berlegar di fikiran kami tanpa memikirkan akan warga PERMAI keseluruhan.


Begitu jugalah yang saya harapkan kepada pimpinan yang bakal memegang teraju PERMAI, dapat mengutamakan kepentingan ahli tanpa membeza-bezakan mereka. Juga diharapkan kepada seluruh warga PERMAI, agar dapat memberikan kerjasama kepada pimpinan yang naik kelak, walau sekadar akhlak yang tinggi.


Musnahkan segala tembok yang membeza-bezakan, yang memisah & memecah-belahkan kesatuan warga PERMAI, agar keadaan kembali permai. Cukuplah tahun-tahun sebelum ini yang banyak suka-duka dek kerana adanya golongan yang cemburu melihat kesatuan ini, cuba untuk membawa idea-idea & fikrah yang tidak matang lagi rasional, lantas ‘menceraikan’ sebahagian ahli PERMAI dengan yang kelompok besar.


Nabi Muhammad SAW sendiri tidak pernah membezakan antara manusia, inikan pula kita sebagai umatnya yang kerdil lagi hina. Islam tidak pernah mengajar untuk mendiskriminasi antara satu sama lain. Memilih sebahagian & mengabaikan sebahagian yang lain, bukanlah sifat dai’e yang proaktif & produktif.


Akhir kalam, 3 tahun berada dalam kepimpinan PERMAI, saya memohon maaf andai ada salah & silap, sepanjang saya berperanan. Terima kasih & syabas saya ucapkan kepada seluruh barisan kepimpinan PERMAI sesi 2008/2009, atas kerjasama yang padu sepanjang sesi ini, & juga kerana berjaya mengukuhkan PERMAI di hati ahli dengan cogankata ‘PERMAI DI HATI’.


Terima kasih juga buat warga PERMAI kerana telah memberikan komitmen yang tinggi walaupun dalam kepadatan kehidupan seorang mahasiswa di bumi Anbiya’ ini.


Semoga PERMAI akan terus berjuang, kembali meletakkan kalimah Allah pada tempat yang selayaknya.

Wallahua3lam.


Nursyafiq bin Ali Shibramulisi

Timbalan Presiden,

Persatuan Mahasiswa Malaysia Irbid,

Sesi 2008/2009.


*artikel ini telah diedit oleh Biro Program AJK Pelaksana AGM PERMAI kali ke-7 dan dimuatkan dalam Buku Cenderahati untuk VIP dalam program tersebut.

No comments: