Segala puja & puji hanya bagi-Nya, selawat & salam buat junjungan yang tercinta SAW...
Hadith ke-20Matan 40 An-Nawawiah
Minggu lalu, aku sekali lagi dipertemukan dengan kumpulan MEKAP ku, bawah kelolaan Che Mi.
Aku diberi mandat oleh Che Mi untuk membuat satu pembentangan dan aku memilih untuk memberi serba-sedikit mengenai hadith di atas meskipun hadith ini pernah dibentangkan oleh ahli usrahku satu ketika dahulu.
Pada mulanya, aku agak runsing mencari bahan, tetapi aku cuba kaitkan dengan apa yang dibentangkan pada minggu sebelum itu... Aurat... Ya, aurat.
Malu & segan, 2 perkara yang aku definisikan sebagai sinonim, punyai kebaikan & keburukan. Aku memahami hadith tersebut dengan 2 makna :
1) Perintah dengan makna ancaman & janji buruk
Nada hadith tersebut boleh dibaca dengan begini :
"Buatlah kalo rase tak malu"
Selalu kita dengar ketika kecil, jika ibubapa kita melarang kita sedemikian, contohnya :
"Ha, pegila, pegi...dah kene satgi baru tau..."
2) Perintah dengan makna cerita
Nada bacaan boleh aku katakan sebegini :
"Alah, biasala dia tu, tak malu..tu yang dia buat lagu tu..."
______________________________________________________________Melihat kepada hadith ini, aku menyedari sifat ini merupakan salah satu warisan para anbiya'. Apakah para anbiya' meninggalkan sesuatu yang buruk? Sudah tentu tidak.
Malu merupakan salah satu 'pakaian' yang kian 'tertanggal' & 'terkoyak' daripada generasiku. 'Pakaian' yang cantik dan seiring dengan syara'. Bukan 'pakaian' yang diwarnai oleh nafsu & bisikan musuh manusia.
Bagaimana 'pakaian' ini boleh diwarnai dengan nafsu? Tatkala diriku ini terus meletakkan diriku dalam keadaan JAHIL dek kerana 'malu' untuk bertanya, dek kerana 'malu' untuk membaca, 'malu' untuk mendekati mereka yang ahli & 'malu' untuk menuntu ilmu. Tatkala itulah 'pakaian' tersebut diwarnai oleh nafsu & bisikannya. Hodoh kan 'pakaian' tersebut?
Aku teringat sebuah novel yang aku baca satu ketika dahulu, novel bertajuk 'Maria'. Novel ini mengisahkan keadaan Turki selepas era kejatuhan khilafah Othmaniah. Sewaktu 'Bapa Pemodenan' (Bapa Pemodenan?) Turki bermaharajalela.
Pada ketika itu, sentimen-sentimen pemikiran yang dibawa dari Barat & Eropah di bawa masuk untuk menanggalkan 'pakaian' malu daripada muda-mudi di Turki. Iklan-iklan di dada-dada akhbar menunjukkan cara berpakaian 'moden' ala Barat. Galakan percampuran dalam pergaulan yang kononnya menjadi teras kemajuan negara-negara Barat.
Perkara sebegini dihidangkan hari demi hari, merealisasikan pepatah Melayu "Alah bisa, tegal biasa". Pada awalnya mungkin akan berkata "Eee..teruknya ..." Lama kelamaan, perkara tersebut seakan biasa, seolah-olah diterima adat & masyarakat. Mahukan tidak, aku sewaktu semester pertama di universiti, merungut kerana balik lewat pulang ke rumah, di kala azan maghrib berkumandang. Masuk semester kedua, sudah lali dengan hal ini.
Inilah antara usaha yang diserap masuk, meracuni dan 'mengoyakkan' 'pakaian' malu dari generasiku. Sesudah 'koyak', di kala itulah aurat tidak lagi dijaga, masalah sosial berleluasa, maksiat bermaharajalela. Semuanya menjadi kebiasaan.
Generasiku semakin pelik. Lebih-lebih lagi di IPT. Tidak kira dalam atau luar negara. Isu 'couple' memang perkara yang pelik. Tetapi mereka yang tidak ber'couple' pula yang malu.
"Aku segan ar, orang lain sume dah ade couple, aku je xde lagi", antara dialog yang ku dengari dalam beberapa filem berkisar remaja Melayu Muslim.
Nah, masakan mungkin filem dibuat tanpa adanya realiti? Hinggakan orang yang masih ber'pakaian' pula yang nampak pelik.
Baik lelaki, mahupun perempuan, generasiku kini menjadi semakin pelik, lantaran 'koyak'nya pakaian malu dari diri mereka. Bagi lelaki, mereka menjadi malu sekiranya tidak merokok. Mereka menjadi malu sekiranya tidak pernah memasuki pusat-pusat arcade. Malah mereka bangga membuka pekung di dada, menceritakan bagaimana mereka membuang masa. Tidak kurang dengan perempuan, memperagakan fesyen-fesyen yang dikatakan up-to-date, walhal penuh dengan persoalan tabarruj & aurat.
Malu yang diajar oleh Baginda SAW menjadikan aku berdisiplin. Malu dipandang jahil, maka aku akan berusaha untuk meningkatkan pengetahuan. Malu kerana mendapat markah yang rendah, maka aku mengulangkaji lebih lagi. Malu kepada-Nya, menjauhkan aku dari melakukan perkara-perkara yang mungkar. Malu melakukan dosa membuatkan aku untuk melakukan perkara yang ma'ruf.
Malu kepada-Nya, menjadikan aku sentiasa berwaspada dengan setiap perlakuanku. Malu kepada Rasul SAW menjadikan aku sentiasa mengikuti sunnah baginda. Malu terhadap manusia menjadikan aku sentiasa menjaga lidahku.
Malukah aku ber'pakaian' malu?
Ya Allah...
Jadikanlah malu ini pakaianku,
Dan aku berlindung pada-Mu daripada keburukan & kejahatan,
Yang ada pada pakaian tersebut...
Amiiin...
-Syphoon-
Irbid, Jordan.
1307, 26 Dzul Hijjah 1427
Rujukan :
Syarah Hadith 40 Imam Nawawi (Dr. Mustapha al-Bugha & Muhyiddin Misto, terbitan Persatuan Melayu Republik Arab Mesir (PMRAM))

1 comment:
salam,
terima kasih atas ingatan ini.
pada akak, ada dua golong manusia dlm bab malu ni. pertama, hilang 'malu' kerana mereka tidak kenal Allah (tiada asas agama). kedua, HIlang 'malu' bagi mrk yg belajar agama, krn tiada penghayatannya dan terlalai dngn fitnah duniawi.
Post a Comment