Bismillah...
Segala puja & puji hanya bagi-Nya, selawat & salam buat yang tercinta SAW....

At-Taubah : 128
128. Sungguh Telah datang kepadamu seorang Rasul dari kaummu sendiri, berat terasa olehnya penderitaanmu, sangat menginginkan (keimanan dan keselamatan) bagimu, amat belas kasihan lagi Penyayang terhadap orang-orang mukmin.
“Mengapa Rasul SAW menangis?” bermulanya kalam khatib di mimbar Jumaat Masjid Jamiah Yarmouk.
“Mengapa Rasul SAW menangis?” soalnya lagi.
Aku membetulkan kedudukanku menghadapnya.
Rasul SAW, seorang manusia agung. Doanya semua untuk umat. Untuk aku.
“Mengapa Rasul SAW menangis?”
“Adakah kerana dirinya? Tidak.”
“Kerana isterinya? Tidak.”
“Kerana anak-anaknya? Tidak.”
“Kerana apa? Kerana umatnya.”
Pada saat itu, air mataku bergenang di kelopak mataku. Terharu… 1427 tahun yang lalu telah ada orang yang menangis untuk aku pada hari ini.
Rasul SAW sentiasa mengingati kita sebagai umatnya. Tatkala di ambang kematian pun seperti mana kisah yang kita semua maklum, Rasul SAW menyebut “Ummati, ummati, ummati” .
Sirah Nabawiyah melakarkan betapa mulianya baginda SAW, tatkala Jibril Alaihissalam menawarkan untuk menghempapkan bukit ke atas penduduk Thaif, Rasul SAW berdoa kepada-Nya, memohon agar penduduk Thaif kelak memeluk Islam.
Rasul SAW menangis mengingatiku sebagai umatnya. Tetapi aku? Tidak pernah berasa bersyukur atas nikmat Iman & Islam yang aku peroleh ini.
“Mengapa Rasul SAW menangis?” soal khatib menggegarkan sidang Jumaat.
Aku teringat sesi usrahku satu ketika dulu, tatkala seorang sahabatku membentangkan Hadith yang ke-10 dalam Matan 40 An-Nawawiah, salah satu pesanan Ibrahim bin Adham kepada seorang pemuda yang datang berjumpanya. Perkara yang ke-2, iaitu “Kamu mencintai Rasulullah, tapi kamu tidak pernah mengikut sunnahnya”. Masakan Allah SWT akan mengabulkan doa pemuda tersebut?
Air mataku bergenang tatkala menonton 1 Litre of Tears, cerita-cerita yang menyayat hati. Tapi aku tidak menangis tatkala membaca sirah SAW. Aku tidak pernah menangis tatkala membaca hadith-hadith SAW. Sedangkan manusia agung ini telah menangis kerana ku 1427 tahun yang lalu. Bimbang akanku, kelak diazab di Mahsyar & Neraka-Nya…
Semoga bermulanya 1428, menjadikan cintaku kepada-Nya dan kepada yang tercinta SAW semakin membesar di dalam hati yang penuh noda ini…
Ya Allah,
Suburkanlah cintaku kepada-Mu,
Suburkanlah cintaku kepada Rasul-Mu.
Amiin…
-Syphoon-
Irbid, Jordan
0343, 23 Dzul Hijjah
No comments:
Post a Comment