Bismillah...
Alhamdulillah... dikala ini aku masih bernafas, masih dipancarkan oleh-Nya Nur Iman dan Nur Islam. Selawat dan salam untuk junjungan besar Muhammad SAW...
Selasa lalu, pintu rumahku diketuk oleh jiranku, saudara x_mummy, kartunis terkenal Al-Qalam. Mulanya aku tidak mahu membuka pintu selepas aku bertanya "Sape kat luar tu?" dan dibalas dengan "saya". Amat pantang aku sekiranya aku bertanya sedemikian dan dijawab sebegitu rupa. (1)
Kedatangan x-mummy menghulurkan makalah Al-Qalam keluaran terbaru. Tajuk Self-Improvement yang menjadi fokus utama Al-Qalam bulan ini, pada mulanya tidak menarik minatku. Malam itu, aku sekadar mengambil dan meletakkan makalah tersebut di atas meja tulisku.
Malam sebelum itu, saudara waruza atau lebih dikenali dengan Che Mi, menegurku. "Nak bincang ape Khamis ni?" Ligat otakku berputar, mencari idea. "Kita bincang hadith la plak Che Mi.." Dan malam itu aku membuka file Hadith 40 di dalam komputerku, mencari hadith yang ringkas untuk diberi tugasan kepada ahli-ahli MEKAP ku.
Secara spontan, aku memilih hadith di atas. Aku buzz "YM" Che Mi dan menyatakan ideaku itu. Pada awalnya, memang aku tidak berfikir panjang, hanya mencari mana yang sesuai, lantasku "petik" sahaja daripada Matan 40 tersebut.
Hadith yang bermaksud, "Tinggalkanlah apa yang meragukan engkau, kepada apa yang tidak meragukan engkau". Secara zahirnya, hadith ini berkaitan dengan hadith yang menyatakan hal-hal syubhah (2). Ataupun mafhum hadith ini adalah "Tinggalkan apa yang kita ragui, kepada apa yang lebih kita yakini".
Aku cuba mencari sesuatu yang tersirat disebalik hadith ini. Secara tidak langsung, hadith ini menunjukkan pada kita supaya membuat satu improvement pada diri kita. Meninggalkan perkara yang diragui, kepada perkara yang diyakini, merupakan satu improvement.
Mafhum firman Allah : "Sesungguhnya Allah tidak akan mengubah nasib sesuatu kaum itu, melainkan mereka sendiri yang mengubahnya". Salah satu dalil naqli telah ku dengari sejak aku berada di tingkatan 1. Cuba ku kaitkan dengan pembelajaranku yang lain, semuanya berbalik kepada faktor KEMAHUAN. Aku tahu aku harus berubah, namun jika tiada kemahuan, semuanya hanya sekadar angan-angan.
Ya, improvement memerlukan satu kemahuan, apatah lagi kiranya improvement itu SELF-IMPROVEMENT. Takkan aku mahu pepatah Melayu, "Sudah terantuk, baru tengadah"(tolong betulkan kalau pepatah ini silap) ? Atau lebih mudah jika aku katakan dalam ertikata seorang pelajar, TAKKAN DAH FAIL BARU NAK SEDAR?
Saidina Ali R.A pernah berkata, "Beruntunglah mereka yang hari ini lebih baik daripada semalam, dan celakalah mereka yang hari ini lebih buruk daripada semalam" Seorang muslim atau seorang mukmin, tidak akan melakukan kesilapan berulang kali. Pengajaran semalam dijadikan batu loncatan untuk terus berjaya pada hari ini. Tapi, syaratnya, mahu. Mahu belajar daripada kesilapan semalam. Tiada kemahuan, tidak akan memberi keMAMPUan untuk tidak mengulangi kesilapan semalam.
Sistem penilaian di Jordan, berbentuk Multiple Choice Question (MCQ). Penilaian dilakukan sebanyak 3 kali dalam satu semester. Aku boleh katakan seawal aku sampai dahulu, "Alah...MCQ je, takyah baca susah-susah la..." Tapi kini aku mengerti, walaupun MCQ, namun soalan-soalan boleh tahan juga. Aku juga pernah mengeluh, kerana terlalu banyak exam, 3 kali penilaian 1 semester, kalau ada 5 subjek, maknanya 15 penilaian yang aku harus hadapi 1 semester.
Sebenarnya, sekiranya aku bersikap optimis, penilaian 3 kali 1 semester memberikan peluang kepada aku untuk aku improve. Andai exam pertama aku mendapat markah yang rendah, maka untuk exam yang kedua, aku sepatutnya study lebih kuat untuk skor. Begitu juga sekiranya berlaku pada exam yang kedua, aku masih diberi peluang dalam final exam. Alhamdulillah...
Andai aku buka skop ini kepada satu ruang yang lebih besar, dapat aku kaitkan dengan kehidupan harian ku. Boleh aku hitung, "Semalam pegi solat jemaah kat masjid 2 kali je...hari ini mesti pegi 3 kali kalo xde pape aral melintang". Senang sahajakan matematik ini? Atau "Semalam xpegi introspeksi Iman...hari ini, xkan xnak pegi lagi kot?"
Andai untuk exam, ratusan muka surat boleh aku baca, berjam-jam masa boleh ku luangkan, tapi kenapa untuk Allah tidak boleh aku korbankan 15 minit ku untuk sujud menyembah-Nya? Takut dengan 15 minit itu jika aku membuat perkara lain aku akan gagal dalam exam?
Islam tidak pernah mengajarku yang kejayaan yang berfaktor daripada usaha semata-mata. Semuanya berpunca dari Allah. Segala-gala milik-Nya. Andai exam yang susah itu dapat aku improve, daripada 15/30 untuk first exam kepada 25/30 untuk second exam , kenapa tidak dengan amal Islami ku? (3)
Improvement kehidupanku di dunia ini haruslah berkadar langsung dengan kehidupan di akhirat kelak. Tiada guna andai kedua-dua berkadar songsang. Tidak kira aku improve di dunia tapi gagal untuk kehidupan akhirat, ataupun sebaliknya....
Ya Allah,
Selamatkanlah kehidupanku di dunia, dan selamatkanlah juga aku di akhirat kelak, daripada azab api neraka-Mu...
Amiiiin...
Wallahua'alam...
-Syphoon-
Irbid, Jordan.
1405, 19 Zulkaedah 1427
(1) Hadith ke 877 - Riyadhus Solihin
-hadith ini memberikan penjelasan bahawa Rasul SAW tidak menyukai apabila seseorang itu ditanya "Siapa?" dan dijawab dengan "Saya". Hadith yang ke 876 menunjukkan salah seorang ummul mukminin, apabila ditanya oleh Rasul SAW "Siapa?" dan dia menjawabnya dengan menyatakan namanya.
(2) Hadith ke-6 - Hadith 40 susunan Imam Nawawi
(3) Hadith ke-19 - Hadith 40 susunan Imam Nawawi
-Hadith ini menyuruh kita untuk memelihara hak-hak Allah, dan sebagai ganjarannya, Allah akan memelihara hak-hak kita.

No comments:
Post a Comment