Solat qasar ialah mendirikan solat-solat fardhu yang asalnya 4
raka'at secara 2 raka'at apabila sahaja seseorang itu berada dalam
suasana perjalanan atau musafir. Solat-solat Zohor, Asar dan Isyak
didirikan secara 2 raka'at manakala solat Subuh dan Maghrib tetap
didirikan secara 2 dan 3 raka'at masing-masing.
Dalil mensyari'atkan Solat Qasar.
[1] Firman Allah Subhanahu waTa'ala: Dan apabila kamu musafir di
muka bumi, maka kamu tidaklah berdosa "mengqasarkan" (memendekkan)
sembahyang jika kamu takut diserang oleh orang-orang kafir. [Maksud
surah an-Nisaa' 04 - 101].
[2] Ya'laa bin Umayyah berkata: Aku pernah bertanya kepada Umar al-
Khattab radiallahu-anhu berkenaan firman Allah - "maka kamu tidaklah
berdosa mengqasarkan (memendekkan) sembahyang jika kamu takut
diserang oleh orang-orang kafir" ; sedangkan pada masa sekarang
manusia telahpun berada dalam keadaan aman.
Umar menjawab: Aku sendiri pernah merasa hairan juga
seperti kamu oleh itu aku telah bertanya kepada Rasulullah
sallallahu-alaihi- wasallam tentang hal ini lalu beliau bersabda: Itu
adalah sedeqah yang diberikan oleh Allah Azza waJalla kepada kalian
maka terimalah sedekahNya itu. [1]
Dari ayat al-Qur'an dan sabda Nabi sallallahu-alaihi-
wasallam di atas, para ilmuan menetapkan bahawa solat boleh di qasar
apabila sahaja seseorang itu berada dalam perjalanan yang keluar
dari tempat asalnya sehinggalah dia kembali semula ke tempat asalnya
itu. Dua dalil di atas jelas mensyari'atkan kebolehan mengqasar
solat apabila seseorang itu berada dalam perjalanan tanpa sebarang
syarat atau kondisi tambahan.[2]
[3] Anas bin Malik radiallahu-anhu menerangkan: Kami pernah musafir
bersama Rasulullah sallallahu-alaihi- wasallam dari Madinah ke Mekah.
Selama dalam musafir itu beliau melakukan solat secara dua raka'at
(qasar kecuali Maghrib) sehingga kembali ke Madinah. Orang bertanya:
Apakah kalian sempat menginap di Kota Mekah ? Anas menjawab: Kami
menginap di Kota Mekah selama 10 hari. [3]
[4] Jabir bin Abdillah radiallahu-anhu menerangkan: Rasulullah
sallallahu-alaihi- wasallam bermukim di Tabuk selama 20 hari (dan
beliau) mengqasarkan solat. [4]
Dalil-dalil ketiga dan empat menerangkan bahawa Nabi sallallahu-
alaihi-wasallam melaksanakan solat-solatnya secara qasar tanpa
mengira bilangan hari dia berada dalam perjalanan atau duduk di
destinasinya. Hadith ketiga ialah musafir kerana ibadah haji, hadith
keempat ialah musafir kerana perang. Dua suasana berlainan ini
menunjukkan bahawa tiada perbezaan antara qasar kerana perang atau
selain dari perang.
[5] Umar al-Khattab radiallahu-anhu menerangkan: Solat musafir itu
dua raka'at (kecuali Maghrib), solat Juma'at itu dua raka'at dan
solat Id (solat Hari Raya) itu dua raka'at. Ini semua adalah solat
sempurna dan bukan qasar, demikian menurut lisan Muhammad sallallahu-
alaihi-wasallam. [5]
Hadith ini menerangkan bahawa solat-solat yang didirikan secara
qasar adalah dikira dan dipandang sebagai solat yang sempurna di
sisi Islam sebagaimana juga solat Juma'at, solat Aidil Fitri dan
Aidil Adha. Dinyatakan ia sebagai solat sempurna (taman) dan bukan
qasar kerana perkataan qasar menurut kaedah bahasa adalah kurang
atau ringkas. Oleh itu mendirikan solat secara qasar ketika musafir
adalah tetap dipandang sempurna dan ia bukanlah sesuatu yang
mengurangi pahala atau kebaikan.
[6] Abdullah ibnu Umar radiallahu-anhuma menerangkan: Aku pernah
solat bersama Rasulullah sallallahu-alaihi- wasallam dalam musafir
dan beliau bersolat 2 raka'at (qasar kecuali Maghrib), dan aku
pernah bersama Abu Bakar radiallahu-anhu dan beliau bersolat 2
raka'at (qasar kecuali Maghrib) dan aku pernah bersama Umar al-
Khattab radiallahu-anhu dan beliau bersolat 2 raka'at (qasar kecuali
Maghrib). [6]
Hadith ini menerangkan bahawa solat Zohor, Asar dan Isyak secara
qasar adalah sunnah yang dipraktikkan oleh Rasulullah sallallahu-
alaihi-wasallam dan khalifah-khalifah beliau seperti Abu Bakar dan
Umar radiallahu-anhuma. Dalam riwayat lain Uthman ibnu Affan juga
turut mengqasarkan solat-solatnya apabila musafir kecuali beberapa
tahun di akhir hayatnya apabila dia telah berkahwin dengan seseorang
di Mina lalu menetap di sana dan tidak lagi mengqasarkan solat.
Syarat-syarat Solat Qasar
Syarat bagi melakukan solat secara qasar hanya satu,
iaitu apabila sahaja seseorang itu melakukan perjalanan yang di luar
dari batas kebiasaannya. Inilah juga yang didefinasikan sebagai
Musafir. Dalilnya ialah hadith yang diriwayatkan dari Imran bin
Husain radiallahu-anhu di mana beliau menerangkan:
Aku pernah bersama Rasulullah sallallahu-alaihi- wasallam, juga aku
pernah menyaksikan 'Fath-ul-Mekah' . Beliau menginap di Mekah selama
18 malam hanya dengan melakukan solat secara dua raka'at (qasar).
Beliau bersabda: "Wahai penduduk negeri (Mekah) ! Solatlah 4 raka'at
kerana kami orang musafir." [7]
Dari hadith ini dapat diperhatikan bahawa Nabi sallallahu-alaihi-
wasallam membezakan antara orang-orang yang sememangnya penduduk
Kota Mekah dengan orang-orang yang dari luar Kota Mekah, iaitu diri
beliau beserta rombongannya yang dikategorikan sebagai orang
musafir. Penduduk Mekah hendaklah melaksanakan solat secara biasa
iaitu 4 raka'at manakala yang musafir ke Kota Mekah pula 2 raka'at
iaitu solat qasar. Oleh itu jelas bahawa solat qasar hanya
dibolehkan bagi orang yang sedang dalam perjalanan atau musafir,
bukan bagi orang yang berada di perkampungan asalnya.
Walaupun syarat bagi solat qasar ini hanya satu, iaitu
musafir namun kondisi musafir itu mempunyai beberapa syarat yang
perlu dipenuhi terlebih dahulu. Syaratnya ada tiga iaitu [1] jarak
perjalanan, [2] tempoh perjalanan dan [3] jenis perjalanan. Berikut
dihuraikan satu persatu akan syarat-syarat ini –
Pertama - Jarak perjalanan.
Apabila seseorang itu membuat satu perjalanan yang melebihi dari
batas atau lingkungan kebiasaannya maka adalah perjalanan itu dikira
sebagai musafir dan dengan itu dia dibolehkan mengqasarkan solatnya.
Tidak ada jarak minimum atau batas tertentu yang tetap bagi hal ini.
Al-Qur'anul Karim apabila ia mensyari'atkan solat secara qasar hanya
menyatakan suasana berpergian yakni musafir tanpa meletakkan apa-apa
syarat tambahan. Diulangi firman Allah Subhanahu waTa'ala: Dan
apabila kamu musafir di muka bumi, maka kamu tidaklah
berdosa "mengqasarkan" (memendekkan) sembahyang…… Demikian juga Nabi
sallallahu-alaihi- wasallam tidak pernah meletakkan had batasan dalam
hal ini. [8]
Akan tetapi yang pasti adalah apabila sahaja Nabi sallallahu-alaihi-
wasallam bertolak ke luar dari Kota Madinah beliau sentiasa
mengqasarkan solat-solatnya tidak kira dalam perjalanan jauh mahupun
dekat. Imam Ibnu Mundzir berkata: Sungguh saya tidak mengetahui
bahawa Nabi sallallahu-alaihi- wasallam ada mengqasarkan solat dalam
satu perjalanan kecuali setelah keluar dari Madinah.[9] Sebaliknya
apabila beliau berjalan-jalan di dalam Kota Madinah samada kerana
hal pentadbiran atau sekadar melawat sahabat beliau tidak
mengqasarkan solat-solatnya. Abdullah ibnu Umar radiallahu-anhuma
menerangkan: Adalah Rasulullah sallallahu-alaihi- wasallam ketika
keluar dari Kota Madinah, beliau tidak menambah raka'at solat-
solatnya melebihi 2 raka'at (kecuali Maghrib) sehinggalah beliau
kembali semula ke Kota Madinah. [10]
Berpijak dari sunnah beliau ini, seseorang itu apabila dia berada di
kampung atau pekan atau bandar asalnya maka dia tidak boleh
mengqasar solat-solatnya manakala apabila sahaja dia keluar dari
batasan kampung atau pekan atau bandar asalnya menuju ke satu
perjalanan maka dia boleh mengqasarkan solat-solatnya. Setiap orang
mempunyai jarak kebolehan mengqasar yang berbeza selari dengan
tempat dan keadaan tempat tinggalnya.
Bagi seseorang yang tinggal di pendalaman dan perjalanan biasanya
ialah sekadar berulang-alik dari rumah ke kebun sayur atau pekan
berhampiran maka itulah yang dikira sebagai tempat perjalanan
kebiasaannya yang tidak membolehkan dia mengqasarkan solat. Akan
tetapi apabila dia melakukan suatu perjalanan yang di luar
kebiasaannya itu, umpama pergi ke bandar berhampiran maka itu
dikategorikan sebagai musafir bagi dirinya sekalipun bandar tersebut
hanya 10 atau 15 km dari rumahnya. Dalam perjalanan itu dia boleh
mengqasarkan solatnya.
Berbeza pula dengan seorang yang hidup di bandar yang mempunyai
berbagai kemudahan pengangkutan maka dia tidak boleh mengqasar
solatnya selagi dia berada di dalam bandar tersebut. Tetapi apabila
dia berpergian ke satu tempat yang di luar sempadan bandar tersebut
maka dia boleh mengqasar solatnya. Sebagai contoh orang yang tinggal
di Lembah Klang (Kuala Lumpur + Petaling Jaya + Shah Alam) tidak
boleh mengqasar solatnya apabila berulang alik di sekitar kawasan
ini. Tetapi apabila dia pergi ke KLIA (Sepang) yang jaraknya kira-
kira 50 km untuk tujuan tertentu maka dia boleh mengqasarkan
solatnya. Lain pula bagi orang yang tinggal di Lembah Klang tetapi
bekerja di KLIA, dia tidak boleh qasar solat di KLIA kerana ia
termasuk lokasi perjalanan yang biasa bagi dirinya. Apabila dia
pergi ke Bandar Nilai untuk sesuatu tujuan maka dia boleh
mengqasarkan solatnya.
Oleh itu sekali lagi dinyatakan bahawa apabila seseorang itu membuat
satu perjalanan yang melebihi dari batas atau lingkungan
kebiasaannya maka perjalanan itu dikira sebagai musafir dan dengan
itu dia dibolehkan mengqasar solat-solatnya. Batas kebiasaan adalah
relatif kepada setiap individu selari dengan keadaan, lokasi dan
corak kehidupannya. Apabila terdapat keraguan samada perjanan itu
dikira kebiasaan atau tidak maka pilihan terbaik ialah tidak
mengqasarkan solat.
Kedua - Tempoh Perjalanan.[ 11]
Apabila sahaja seseorang itu bermusafir keluar dari kawasan
kebiasaannya maka adalah ia tetap dikira sebagai musafir tidak kira
berapa lama tempohnya. Ini berdasarkan perbuatan Nabi sallallahu-
alaihi-wasallam yang sentiasa mengqasarkan solatnya apabila berada
dalam perjalanan tidak kira berapa lama perjalanan tersebut, samada
1 atau 2 atau 3 atau 10 atau 15 atau 20 hari. Rujuklah kembali
hadith-hadith yang diutarakan di awal bab ini. Malah di dalam satu
ekspedisi Nabi sallallahu-alaihi- wasallam bersama rombongannya
bermukim di Ram al-Harmuz dengan mengqasarkan solat selama sembilan
bulan lamanya.[12] Dalam setiap perjalanan beliau tetap mengqasarkan
solat-solatnya tanpa menerangkan apa-apa syarat atau kondisi
mengenainya.
Sekalipun seseorang itu singgah di satu tempat dan bermukim di sana
selama sekian-sekian hari dia tetap dikira sebagai seorang musafir
dan dibolehkan mengqasar solatnya. Hanya apabila seseorang itu
berniat untuk bermastautin di tempat persinggahannya maka dia tidak
lagi dikira sebagai seorang musafir dan tidak lagi dibolehkan
mengqasar solatnya. Beza antara mukim dan mastautin ialah - mukim
adalah bagi orang yang bermusafir lalu ia berhenti di destinasinya
dan duduk di sana untuk sekian-sekian lama tetapi dia tetap sedar
dan tahu bahawa dia akan kembali semula ke tempat asal apabila
urusannya selesai (mukim ghairu mastautin). Mastautin pula ialah
orang yang bermusafir lalu tiba di destinasinya dan duduk tetap di
sana dengan kesedaran niat bahawa dia akan tinggal di sana untuk
selama-lamanya dan tidak akan kembali lagi (mukim mastautin). [13]
Contoh orang musafir yang bermukim ialah seorang pelancung yang
tinggal di pusat peranginan selama 2 minggu, seorang nelayan laut
dalam yang keluar ke laut selama sebulan, jamaah Tabligh
yang 'keluar' 40 hari, seorang jurutera yang menghadiri kursus
selama 2 bulan, atau seorang pekerja asing yang bertugas dengan
tempoh permit visa 2 tahun atau seorang pelajar yang menuntut ijazah
selama 4 tahun dan sebagainya. Contoh orang yang bermusafir lalu
menetap di satu tempat dengan niat mastautin ialah sebagaimana Nabi
sallallahu-alaihi- wasallam dan rombongannya yang berpindah dari
Mekah ke Madinah lalu dijadikan Madinah sebagai tempat mastautin
yang baru atau orang Malaysia yang berpindah ke Australia dan
menjadikan ia sebagai tempat mastuatin yang baru (permanent
residence) atau orang yang dipindahkan tempat tugasnya ke lokasi
baru oleh majikan secara tetap (permanent transfer) atau seseorang
yang berkahwin lalu berniat untuk tinggal di tempat pasangannya
secara tetap dan sebagainya.
Ketiga - Jenis musafir.
Secara umumnya apabila membicarakan perihal bab musafir,
para fuqaha membahagikannya kepada dua kategori, musafir yang selari
dengan Islam dan musafir yang bertentangan dengan Islam. Musafir
yang bertentangan dengan Islam ialah segala perjalanan yang
diusahakan atas tujuan maksiat, kemungkaran dan kekejian seperti
musafir untuk mencuri, berjudi, ke rumah pelacuran dan yang
seumpama. Jumhur ulama' tidak membenarkan orang yang membuat
perjalanan sebegini dari menerima dan mengamalkan kemudahan-
kemudahan hukum Islam kerana tidak mungkin Islam memberikan
kemudahan kepada umatnya untuk melakukan kemaksiatan terhadap
ajarannya. Manakala segolongan lain membolehkan kemudahan hukum
tetap diamalkan seperti mengqasar solat kerana antara ibadah dan
maksiat adalah dua hal yang berbeza dan setiapnya akan dihitung baik-
buruknya secara berasingan nanti oleh Allah Azza waJalla.
Beberapa Catatan Tambahan.
1. Kemudahan hukum semasa dalam perjalanan diberikan oleh Allah
Subhanahu waTa'ala kepada hamba-hambaNya sebagai tanda Rahmat dan
Kasih kepada mereka. Allah tidak meletakkan sebarang syarat tambahan
seperti faktor kesukaran ataupun jenis kenderaan ataupun apa-apa
lain. Asal sahaja seseorang berada dalam perjalanan maka dia boleh
mengqasar solatnya. Dalam rumusannya terhadap perbincangan hukum-
hukum solat qasar, Prof. Dr. Hasbi as-Shiddieqie menerangkan:
Mengenai musafir, Allah Subhanahu waTa'ala menerangkannya dengan
kaedah syara' yang umum. Allah sedia mengetahui bahawa alat-alat
pengangkutan atau kenderaan akan berlain-lainan mengikut
perkembangan masa dari unta, keldai, kuda hinggalah ke kereta motor,
kapal laut dan kapal terbang. Allah tidak mengaitkan hukum-hukum
musafir dengan sesuatu macam medium kenderaan dan demikian juga
Allah tidak mengaitkannya dengan sesuatu jenis musafir dan demikian
juga Allah tidak mengaitkannya dengan jenis musafir yang
menghasilkan kesukaran. Maka oleh kerana itu apabila kita bermusafir
baik berjalan kaki atau menaiki kuda atau menaiki kereta motor atau
menaiki kapal terbang, maka kita diharuskan menjalani dan
melaksanakan hukum-hukum musafir. [14]
2. Seseorang yang kebiasaannya melibatkan perjalanan yang jauh
dari tempat mastautinnya yang asal juga dikategorikan sebagai
seorang musafir asalkan perjalanannya itu adalah rambang dan tidak
tetap ke satu destinasi sahaja. Oleh itu para pemandu bas ekspres,
pemandu lori jarak jauh, kelasi kapal laut, juruterbang,
pramugara/pramugari yang tidak mempunyai destinasi musafir yang
tetap dibolehkan mengqasar solat-solat mereka.[15] Akan tetapi bagi
seseorang yang selalu mempunyai destinasi yang tetap seperti seorang
yang mastautin di Seremban lalu berulang-alik ke Kuala Lumpur
(kerana kerja atau sebagainya) maka dia tidak dikira sebagai orang
musafir kerana perjalanan ulang-alik itu termasuk dalam batas
sempadan kebiasaannya.
3. Seseorang yang menjadikan kenderaannya sebagai rumah yang
tetap seperti seorang kelasi kapal yang memandu kapalnya dan tidak
mempunyai rumah selain kapalnya itu sahaja, yang mana kapal itulah
yang menjadi tempat tinggal keluarganya lagi dilengkapi dapur serta
segala keperluan rumah maka dia tidak boleh mengqasarkan solat-
solatnya sekalipun dalam pelayaran. Demikian menurut Imam Ahmad bin
Hanbal.[16]
4. Apabila memulai atau mengakhiri perjalanan yang menepati
syarat-syarat musafir, seseorang itu dibolehkan mengqasarkan solat-
solatnya apabila sahaja berada di luar batas sempadan
kampung/pekan/ bandar tempat tinggalnya yang asal. Semata-mata
berniat untuk musafir tidak membolehkan seseorang itu mengqasar
solatnya apabila masih berada di dalam sempadan tempat asalnya.
Demikian juga seseorang yang kembali dari musafirnya tidak
dibolehkan qasar solat apabila telah memasuki sempadan tempat
asalnya. Ini adalah kerana qasar itu adalah kemudahan hukum bagi
suasana musafir dan seseorang itu perlu benar-benar berada dalam
kondisi musafir sebelum boleh mempraktikkan kemudahan ini. Demikian
adalah hujah yang disepakati jumhur.[17]
5. Sunnah yang ditunjukkan oleh Nabi sallallahu-alaihi- wasallam
semasa musafir ialah sentiasa mendirikan solat-solat Zohor, Asar dan
Isyaknya secara qasar 2 raka'at dan perbuatan ini diteladani oleh
para Khalifah dan para sahabat beliau sepenuhnya sepanjang hidup
mereka, sebagaimana hadith-hadith yang telah dikemukakan di awal bab
ini. Malah di kalangan para fuqaha ada yang berpendapat solat secara
qasar ketika musafir adalah wajib berdasarkan perbuatan Nabi
sallallahu-alaihi- wasallam yang sentiasa tetap mendirikan solat-
solatnya secara qasar apabila sahaja berada dalam perjalanan.[ 18]
Oleh itu adalah menjadi pilihan yang sebaiknya juga bagi kita umat
Muhammad akhir zaman untuk turut mengikuti sunnah beliau yang mulia
ini iaitu tetap dan berterusan mengqasarkan solat apabila berada
dalam suasana musafir.
Terdapat sebuah riwayat dari A'isyah radiallahu-anha yang
menerangkan: Bahawa Nabi sallallahu-alaihi- wasallam kadang-kala
mengqasarkan solat dan kadang-kala tidak (iaitu solat 4 raka'at);
dan kadang-kala berbuka dan kadang-kala berpuasa apabila dalam
perjalanan. Ketahuilah bahawa riwayat ini adalah daif dan tidak
boleh dijadikan sebagai hujah teladan agama.[19]
6. Seseorang yang musafir boleh solat berimamkan seorang yang
solat penuh dengan syarat dia juga mendirikan solatnya secara penuh.
Contohnya jikalau seseorang yang sedang dalam perjalanan yang
membolehkan dia mengqasar solat lalu di satu tempat dia menjumpai
barisan jamaah penduduk di situ yang bersolat dengan imam mereka
secara penuh maka dia tetap dianjurkan solat berjamaah bersama
kumpulan itu secara penuh juga. Ini sebagaimana hadith berikut:
Abdullah ibnu Abbas radiallahu-anhu telah ditanya orang:
Bagaimanakah keadaan seorang musafir yang bersolat qasar 2 raka'at
apabila bersendirian lalu bersolat penuh 4 raka'at apabila mengikuti
jamaah orang yang bermukim ? Ibnu Abbas menjawab: Itu adalah sunnah.
(yakni cara yang betul-P).[20]
Sebaliknya dibolehkan juga orang yang bermastautin berimamkan jamaah
musafir yang mendirikan solat mereka secara qasar dengan syarat
apabila jamaah tersebut selesai solat mereka yang dua raka'at itu,
jamaah mastautin bangun dan meneruskan lagi dua raka'at
mencukupkannya kepada 4 raka'at. Ini pernah dilakukan sendiri oleh
Nabi sallallahu-alaihi- wasallam apabila beliau dan rombongannya
berada di Kota Mekah lalu bersolat jamaah secara qasar di sana dan
solat mereka diikuti juga oleh para penduduk Kota Mekah. Lalu Nabi
sallallahu-alaihi- wasallam memberitahu para jamaah Kota Mekah bahawa
solat mereka adalah tetap juga 4 raka'at sekalipun berimamkan kepada
orang yang solat qasar 2 raka'at, dengan sabda beliau: Wahai
penduduk negeri (Mekah), Solatlah 4 raka'at kerana kami orang
musafir. [21] / [22]
7. Apabila seseorang itu berada dalam suasana musafir lalu dia
mengqasarkan solat-solatnya, kemudian dia menghadapi kesukaran pula
untuk menyempurnakan solat-solatnya dalam waktu yang disediakan maka
dia boleh menjamakkan solat-solatnya itu secara qasar. Oleh itu
dibolehkan menunaikan solat Zohor dan Asar masing-masing secara
qasar dan kedua-duanya didirikan dalam satu waktu, samada jamak
takdim atau takhir. Walaubagaimanapun perlu diingati bahawa
menjamakkan solat mempunyai beberapa syarat yang perlu dipenuhi
terlebih dahulu, sepertimana yang telah dibentangkan dalam bab ke -
11 yang lalu.
7. Seseorang yang dalam suasana musafir lalu tertinggal sesuatu
solat kerana tertidur atau terlupa sehingga luput waktunya maka dia
wajib mendirikan semula solatnya itu secara qadha apabila sedar dan
ingat kembali. Solat tersebut tetap dianjurkan secara qasar kerana
qasar adalah kaedah solat yang sedia disunnahkan dalam suasana
musafir. Akan tetapi apabila dia sedar atau teringat setelah kembali
ke tempat mastautinnya yang asal maka ia hendaklah diqadha secara
penuh yakni 4 raka'at.[23]
Analisa Pendapat.
Pertama - Sesetengah pendapat menyatakan bahawa jarak minima bagi
membolehkan seseorang itu mengqasarkan solat-solatnya ialah apabila
dia menghadiri satu perjalanan yang destinasinya melebih 89km.
Pendapat ini didasarkan kepada dua riwayat, iaitu –
[1] Abdullah ibnu Abbas radiallahu-anhu berkata, Nabi sallallahu-
alaihi-wasallam diriwayatkan telah bersabda: Hai penduduk Mekah !
Janganlah kamu mengqasarkan solat pada jarak kurang dari 4 barid,
iaitu umpama perjalanan dari Mekah ke Usfan.
( 4 barid = 89 km ). [Hadith riwayat Imam ath-Thabarani, ad-
Daruquthni dan al-Baihaqi]
Hadith ini sebenarnya berstatus maudhu' / palsu. Dalam isnadnya
terdapat seorang perawi bernama Abdul Wahab bin Mujahid bin Jubair.
Kata Imam Sufian at-Thauri - dia adalah pendusta. Kata Imam al-
Hakim - dia meriwayatkan hadith-hadith yang palsu. Kata Imam Ibnu
Jawzi - ijma' ulama' hadith bahawa dia adalah matruk. Kata Imam an-
Nawawi - dia adalah pendusta. Berkata Shaikh Nasiiruddin Albani -
hadith ini adalah maudhu'.[24]
Oleh itu hadith ini tidak boleh digunakan sebagai dalil kerana
kesepakatan para ahli hadith tentang kepalsuannya, sekalipun ia
sering digunakan oleh sesetengah pihak samada secara lisan mahupun
bertulis bagi menghujahkan pendapat mereka.
[2] Abdullah ibnu Abbas radiallahu-anhu pernah ditanya orang: Apakah
boleh saya mengqasar solat untuk pergi ke Arafah ? Ibnu Abbas
menjawab: Tidak boleh tetapi anda boleh mengqasarnya apabila pergi
ke Usfan, Jeddah dan Taif. Tiga destinasi yang disebut ini jaraknya
ialah lebih kurang 4 barid / 89 km jauhnya dari Kota Mekah. Hadith
ini diriwayatkan oleh Imam Shafie dalam kitabnya Musnad Shafie,
1/429 dan disahihkan oleh Imam al-Baihaqi dalam kitabnya Sunan al-
Kubra, 3/137. Kesahihan ini dipersetujui oleh Imam asy-Shaukani
dalam Nail-ul-Authar, 4/481 dan oleh Imam as-Sha'nani dalam Subul-us-
Salam, 2/163 tanpa komentar tambahan.
Walaubagaimanapun riwayat di atas adalah merupakan keterangan
sahabat dan bukannya sabda Nabi sallallahu-alaihi- wasallam. Riwayat
ini sekalipun sahih namun ia adalah pendapat peribadi Abdullah ibnu
Abbas radiallahu-anhu. Ilmu usul fiqh menyatakan bahawa pendapat
atau fatwa seorang sahabat perlu diperiksa terlebih dahulu samada ia
selari dengan dalil-dalil al-Qur'an atau as-Sunnah. Kerana pendapat
seorang sahabat tidaklah terlepas dari sebarang kesilapan atau
ketidak-tepatan kerana mereka adalah manusia biasa yang secara
fitrah tidak akan terlepas dari berbagai kelemahan.[25] Oleh itu
sesuatu pendapat seorang sahabat itu perlu dipastikan ia selari dan
tidak bertentangan dengan dalil-dalil wahyu iaitu al-Qur'an dan as-
Sunnah.
Telahpun dijelaskan di permulaan bahawa di dalam al-Qur'an tidak
terdapat sebarang petunjuk akan jarak minima musafir seseorang itu
yang membolehkan dia mengqasarkan solat-solatnya. Maka kita beralih
pula kepada as-Sunnah - Berapakah jarak perjalanan minima yang
pernah dilakukan oleh Nabi sallallahu-alaihi- wasallam untuk
mengqasarkan solat-solatnya ? Hadith berikut disalin sebagai hujah
penerangan –
Yahya bin Yazid berkata: Saya bertanya kepada Anas bin Malik
radiallahu-anhu tentang solat qasar, iaitu saya keluar dari Basrah
ke Kufah lalu saya solat 2 raka'at - 2 raka'at sehingga saya
kembali. Maka Anas bin Malik berkata: Adalah Rasulullah sallallahu-
alaihi-wasallam manakala beliau keluar dalam perjalanan sejauh 3 mil
atau 3 farsakh, beliau mengqasarkan solatnya. ( 3 farsakh = 25.92
km). Hadith diriwayatkan oleh Imam Ibnu Abi Syaibah dalam al-
Musannaf, 2/108, dan oleh al-Baihaqi dalam Sunan al-Kubra, 2/146,
diutarakan sebagai hujah oleh Imam Ibnu Hajar al-Asqalani dalam Fath-
ul-Bari, 2/467-468 juga oleh Imam asy-Shaukani dalam Nail-ul-Authar
4/480 ; dan disahihkan oleh Shaikh Nasiiruddin Albani dalam Silsilah
Ahadith as-Sahihah, 1/365.
Hadith ini menerangkan bahawa Yahya bin Yazid telah bertanya kepada
Anas bin Malik radiallahu-anhu berkenaan perbuatannya yang
mengqasarkan solat dalam perjalanan yang dekat, iaitu dari Kota
Basrah ke Kufah. Maka Anas membolehkan perbuatan itu dengan
mengaitkan kepada perbuatan Nabi sallallahu-alaihi- wasallam yang
pernah mendirikan solat secara qasar dalam perjalanan yang jarak
destinasinya ialah 26 km.
Sesetengah pihak cuba menafsir keterangan Anas di atas dengan
mengatakan bahawa jarak 26 km hanyalah tempat persinggahan sementara
Nabi padahal destinasi beliau yang sebenar adalah lebih jauh dari
itu. Tafsiran ini tertolak kerana timbulnya jawapan penerangan dari
Anas bin Malik ialah terhadap soalan yang berkaitan dengan jarak
destinasi perjalanan dan bukan jarak tempat persinggahan. Justeru
itu penerangan Anas bin Malik adalah sebagai menjawab jarak
destinasi dan bukan selain dari itu.[26]
Selain hadith di atas kita juga mendapati banyak hadith-hadith
masyhur berkenaan ibadah haji Nabi sallallahu-alaihi- wasallam (Haji
Wada') di mana beliau bersama rombongannya melaksanakan solat-solat
mereka secara qasar semuanya di setiap perhentian manasik haji,
iaitu Mina, Arafah, Mudzalifah, dan kembali ke Mina. Dalam rombongan
tersebut disertai juga oleh para penduduk Kota Mekah padahal jarak
antara Mekah dan Mina hanyalah lebih kurang 8 km manakala
keseluruhan perjalanan manasik haji, iaitu dari Mekah ke Mina, ke
Arafah, ke Mudzalifah, kembali ke Mina dan berakhir di Mekah
hanyalah lebih kurang 30 km. Sekalipun dalam jumlah jarak perjalanan
30 km, Nabi sallallahu-alaihi- wasallam membenarkan para penduduk
Kota Mekah melaksanakan solat-solat fardhu mereka secara qasar,
iaitu 2 rakaat. Harisah bin Wahab radiallahu-anhu menerangkan: Aku
bersolat bersama Rasulullah sallallahu-alaihi- wasallam di Mina dalam
keadaan aman bersama-sama orang ramai dengan dua raka'at (qasar
kecuali Maghrib).[27]
Beberapa penjelasan di atas menunjukkan bahawa dalil dari as-Sunnah
memboleh solat diqasar sekalipun dalam perjalanan yang pendek asal
sahaja perjalanan tersebut melebihi dari batas atau sempadan
kebiasaan tempat mastautin seseorang itu. Walaupun Nabi sallallahu-
alaihi-wasallam pernah solat qasar dalam perjalanan yang jarak
destinasinya 26 km, ia tidak dijadikan batas mutlak kerana beliau
tidak memerintahkan sedemikian. Sunnah beliau yang jelas adalah
apabila seseorang itu menjalani musafir yang melebihi batas atau
sempadan kebiasaannya maka dia sudah boleh mengqasar solat-
solatnyanya. Sempadan ini berbeza dari individu ke individu selari
dengan keadaan hidup, medium pengangkutan dan suasana zaman.
Adapun hadith penerangan Abdullah ibnu Abbas radiallahu-anhu di
atas, kita tidak tahu secara pasti siapakah orang yang bertanya itu
dan apakah jalan serta cara hidupnya. Mungkin sahaja boleh
ditakwilkan bahawa orang yang bertanya kepada Ibnu Abbas dalam
hadith tersebut adalah seorang peniaga yang kebiasaannya beraktiviti
di dalam Kota Mekah dan daerah-daerah sekelilingnya. Lebih dari itu
dia juga mungkin memiliki seekor kuda yang pantas lagi serba
berkebolehan. Maka apabila dia bertanya mengenai solat qasar antara
Mekah ke Arafah, Ibnu Abbas mengatakan tidak boleh kerana beliau
sedia mengetahui akan kebiasaan jalan hidup yang bertanya itu. Maka
Ibnu Abbas mencadangkan agar dia boleh mengqasar solat apabila
menjalani jarak yang lebih jauh dari persekitaran Kota Mekah, iaitu
ke Jeddah, Taif atau Usfan. Hadith Ibnu Abbas ini adalah khusus
dalam satu suasana bagi seorang yang bertanya dan kita tidak boleh
menjadikannya sebagai hujah mutlak bagi setiap umat Islam dalam
setiap zaman dan keadaan.
Kedua - Sesetengah pendapat juga mensyaratkan bahawa tempoh masa
yang membolehkan seseorang mengqasar solat-solatnya apabila singgah
di destinasi ialah 3 hari. Pendapat ini didasarkan kepada sabda Nabi
sallallahu-alaihi- wasallam: Orang-orang muhajirin boleh mendiami
Kota Mekah setelah ibadah hajinya hanya selama 3 hari. Hadith ini
sahih, diriwayatkan oleh Imam Muslim dalam kitabnya Sahih Muslim,
Kitab al-Hajj, hadith no: 1352-B.
Hadith ini diucapkan oleh Nabi sallallahu-alaihi- wasallam
sekembalinya semula ke Kota Mekah diakhir rangka ibadah hajinya.
Beliau menasihati orang ramai yang berasal dari luar Kota Mekah
bahawa mereka hanya boleh duduk di sana selama 3 hari setelah
selesai ibadah haji mereka, kemudian pulanglah ke perkampungan asal
masing-masing. Perawi hadith ini, al-Ala' bin Hadrami radiallahu-
anhu menerangkan bahawa sabda beliau ini seolah-olah melarang mereka
dari tinggal di Mekah melebihi 3 hari.[28] Berdasarkan hadith ini
maka ada yang menukilkan hukum darinya bahawa tempoh seseorang itu
boleh menginap atau bermukim di satu-satu tempat adalah 3 hari.
Sesiapa yang lebih dari itu tidak lagi dikategorikan sebagai seorang
musafir dan dia tidak lagi dibolehkan mengqasar solat-solatnya.
Dalam analisa penulis, nukilan hukum ini amat aneh sekali kerana
beberapa sebab: Pertama - Nabi sallallahu-alaihi- wasallam tidak
mengaitkan langsung larangan 3 hari ini dengan kategori musafir
mahupun syarat-syarat qasar. Yang pasti, tidak mungkin beliau lupa
atau lalai terhadap tanggung-jawabnya. Kedua - Beliau memerintah
larangan 3 hari dengan tujuan yang umum lagi luas terbuka sehingga
boleh difahami dari berbagai sudut dan arah. Ketiga - Jika jelas
qasar itu dilarang bagi orang yang bermukim melebihi 3 hari maka
kenapa beliau sendiri serta para sahabat lainnya melakukan solat
secara qasar melebihi tempoh tersebut ? Keempat - Jikalau hadith ini
hendak dijadikan dalil mutlak dalam menentukan tempoh mukim
seseorang, kenapakah masih terdapat puluhan pendapat lain sepanjang
zaman yang berbeza-beza mengenai tempoh mukim yang membolehkan solat
di qasar ? Justeru itu penukilan hukum mukim atau musafir seseorang
berdasarkan hadith ini perlu dianalisa serta dikaji semula.
Antara fahaman yang boleh kita gali dari larangan 3 hari oleh Nabi
sallallahu-alaihi- wasallam dalam hadith beliau ini ialah kerana di
ketika itu orang ramai dari luar Kota Mekah yang turut menyertai
beliau dalam ibadah hajinya (Haji Wada') tersangatlah besar
jumlahnya sehingga mencapai puluhan ribu jumlahnya. Kiraan ahli
sejarah memberikan jumlah antara 90,000 hingga 114, 000 orang dan
apabila keseluruhan rombongan ini memulakan manasik haji mereka di
Padang Arafah, jumlah mereka meningkat kepada 144,000 orang.[29]
Maka dengan jumlah yang amat besar ini sudah tentu akan menjadikan
Kota Mekah penuh sesak apabila mereka semua kembali ke sana setelah
selesai rangka ibadah haji masing-masing. Justeru Nabi sallallahu-
alaihi-wasallam menasihati mereka supaya kembali ke perkampungan
asal masing-masing setelah 3 hari supaya tidak memberat atau
menyulitkan para penduduk asal Kota Mekah.
Sebenarnya penentuan batas atau tempoh musafir seseorang itu
sememangnya telah membawa para ahli fiqh sepanjang zaman ke dalam
perbincangan yang amat luas. Berbagai-bagai hujah dan dalil di
kemukakan dan berbagai kaedah atau medium kiraan digunakan bagi
menentukan tempoh masa seseorang itu dikira sebagai seorang musafir
yang boleh mengqasarkan solat-solatnya. Antaranya ada yang
berpendapat tidak boleh qasar di saat tiba di destinasi, ada yang
berpendapat setelah sehari semalam, ada yang berpendapat 3 hari, ada
yang berpendapat 4 hari, ada yang mengira hari masuk serta keluar
dan yang tidak mengiranya, ada yang berpendapat 10 hari, ada yang
berpendapat 15 hari, atau 18 hari atau 20 hari dan begitulah
seterusnya. Ada juga yang mengira tempoh mukim dengan bilangan solat
tidak lebih 21 kali. Selain itu ada yang mengatakan bahawa tempoh
musafir seseorang bergantung kepada tujuan perjalanan. Jikalau
kerana perang boleh sehingga bila-bila, jikalau kerana ibadah haji
boleh untuk 10 hari dan jikalau selain itu hanya 3 hari. Ada juga
yang menentukan tempoh musafir dengan tempoh kerja seseorang,
jikalau dia tahu bila kerjanya akan selesai maka tempoh dibolehkan
qasar ialah 3 hari dan jikalau dia tidak tahu bila akan selesai maka
boleh qasar sehingga kerjanya selesai. Banyak lagi pendapat yang
sedia ada dan jikalau hendak diterangkan satu persatu berserta hujah-
hujahnya sudah tentu memakan puluhan mukasurat.
Malah Imam Shafie sendiri mempunyai 3 pendapat yang berbeza dalam
hal ini[30], iaitu
1. 3 hari, tidak boleh qasar setelah hari ke 4.
2. 18 hari, tidak boleh qasar setelah hari ke 18.
3. Tiada tempoh tertentu, boleh qasar solat selagi kerjanya
belum selesai atau selagi belum kembali ke tempat asal.
Sebab timbulnya perbezaan yang sekian banyak ialah kerana wujud
berbagai dalil yang berbeza-beza mengenai hal ini, samada dari as-
Sunnah mahupun dari kalangan para sahabat radiallahu-anhu. Lebih
dari itu para ahli fiqh di awal zaman tidak berkesempatan untuk
bertemu dan mengkaji semua dalil-dalil yang sedia ada kerana faktor
kesukaran zaman dan keadaan. Tidak dilupai juga wujudnya hadith-
hadith yang daif dan maudhu' (palsu) yang sukar untuk ditapis pada
awalnya.
Analisa, kajian serta penelitian oleh para ahli ilmuan pertengahan
serta akhir zaman mendapati bahawa sebenarnya tidak ada dalil yang
khusus lagi jelas bagi menentukan batas atau tempoh masa musafir
seseorang itu. Himpunan dari pelbagai dalil serta penerangan para
sahabat mendapati bahawa seseorang itu tetap dikira sebagai seorang
musafir dari saat dia keluar dari perkampungan/ pekan/bandar
mastuatinnya sehinggalah dia kembali semula, sebagaimana yang telah
diterangkan sebelum ini. Dan inilah definasi musafir yang paling
dekat dengan kebenaran, sebagaimana terang Imam Muhammad Ismail as-
Sha'nani:
Sudah jelas tidak ada dalil yang menunjukkan Nabi sallallahu-alaihi-
wasallam tidak mengqasarkan solat selama masa qasar telah melebihi
dari waktu-waktu yang disebut di atas. Apabila tidak ada dalil yang
menunjukkan penentuan batas waktu, maka pendapat yang lebih
mendekati kebenaran ialah boleh sentiasa mengqasar solat selama
dalam perjalanan itu sebagaimana yang pernah dipraktikkan oleh para
sahabat - kerana memang tidak dinamai mukim dalam keadaan ragu-ragu
setiap hari dan juga tidak dinamai mukim bagi orang yang sedang
dalam perjalanan yang hanya singgah di suatu tempat meskipun lama.
[31]
Prof. Dr. Hasbi as-Shiddieqie juga merumuskan: Tegasnya memandang
seseorang menjadi mukim kerana dia berniat tinggal di tempat yang
disinggahi atau didatangi sekian-sekian hari tidak ditunjukkan oleh
nas agama, tidak ditunjukkan oleh bahasa dan tidak pula ditunjukkan
oleh uruf.
Maka oleh kerana itu seseorang musafir yang singgah di satu tempat
untuk menyelesaikan tugasnya lalu kemudian pergi, maka tetaplah dia
mengqasarkan solatnya walaupun dia perlu tinggal ditempat itu lebih
dari 20 hari. Demikian juga walau dikira sejak mula bahawa dia akan
tinggal di tempat itu lebih dari 20 hari asalkan dia masih
berkeadaan pergian dan tidak bermaksud menetap (mastautin) di situ.
[32]
Sementara itu Shaikh Sayid Sabiq memberikan analisa yang lebih
mendalam, dengan mengutip penjelasan Imam Ibnu Qayyim yang
diterjemahkan sebagai berikut: Rasulullah sallallahu-alaihi-
wasallam bermukim di Tabuk selama 20 hari dan beliau terus
mengqasarkan solat dan tidak pernah pula mengatakan kepada umatnya
supaya tidak seorangpun dari mereka mengqasarkan solat bila bermukim
lebih lama dari itu. Hanya secara kebetulan sahaja lama tempoh
bermukim Nabi sallallahu-alaihi- wasallam adalah 20 hari di peristiwa
itu (di Tabuk). Bermukim dalam waktu berpergian tidak dapat dianggap
sudah keluar dari hukum musafir baik lama mahupun sebentar asal
sahaja dia tidak bermaksud hendak menetap di sana sebagai penduduk
(mastautin)
Miswar bin Makhramah berkata - Kami bermukim dengan Sa'ad radiallahu-
anhu di salah satu desa di wilayah Syam selama 40 hari dan selama
itu Sa'ad tetap mengqasarkan solat sementara kami menyempurnakannya.
Berkata Nafi' - Abdullah ibnu Umar radiallahu-anhu bermukim di
Azerbeijan selama 6 bulan dan tetap bersolat 2 raka'at qasar
(kecuali Maghrib) kerana tertahan oleh iklim bersalji ketika
memasuki kota tersebut. Hafash bin Ubaidillah mengatakan - Bahawa
Anas bin Malik radiallahu-anhu bermukim di Syam selama 2 tahun dan
terus bersolat sebagai seorang musafir (yakni mengqasarkan solat)
dan menurut Anas, para sahabat Nabi sallallahu-alaihi- wasallam
pernah bermukim di Ramhurmuz selama 7 bulan dan tetap mengqasar
solat. Sedang menurut Hasan, dia bermukim bersama Abdurrahman bin
Samurah radiallahu-anhu di Kabul selama 2 tahun dan beliau terus
mengqasar solat tanpa menjamak. Kemudian Ibrahim mengatakan bahawa
para sahabat pernah bermukim di Rai selama 1 tahun atau lebih dan di
Sajistan selama 2 tahun (dan mereka tetap mengqasarkan solat.)
Nah - inilah petunjuk yang diberikan oleh Rasulullah sallallahu-
alaihi-wasallam dan dicontohi pula oleh para sahabatnya dan
sememangnya itulah yang benar. Adapun pendapat setengah-setengah
pihak, di antaranya ialah yang dikemukakan oleh Imam Ahmad bin
Hanbal - ialah bahawa jikalau seseorang berniat hendak bermukim
selama 4 hari maka dia harus menyempurnakan solatnya (4 raka'at) dan
jikalau kurang dari 4 hari maka dia boleh mengqasarnya. Berdasarkan
hadith Nabi sallallahu-alaihi- wasallam dan perbuatan para sahabat
itu mereka tafsirkan bahawa baik Nabi mahupun para sahabat tidak
bermaksud akan bermukim tetapi mereka selalu mengatakan - "Hari ini
atau hari esok kita akan pergi." (yakni tidak pasti bila akan
berangkat pulang-P).
Tetapi dalam tafsiran sebegini terdapat satu hal yang harus menjadi
perhatian , iaitu bahawa di ketika Rasulullah sallallahu-alaihi-
wasallam membebaskan Kota Mekah (Fath-ul-Mekah) , suatu kota yang
telah sedia dimaklumi keadaannya - dan beliau bermukim di sana
adalah dengan tujuan hendak mengukuhkan asas-asas keislaman serta
menghancurkan sendi-sendi kemusyrikkan dan mepersiapkan segala
sesuatu bagi umat Arab sekeliling. Pekerjaan seberat itu tentulah
memerlukan tempoh berhari-hari dan tidak cukup hanya sehari-dua.
Demikian juga di ekspedisi Tabuk, untuk menunggu kedatangan musuh -
kerana antara Tabuk dan tempat kediaman musuh jaraknya bermil-mil.
(1 mil=2.88km). Nabi sallallahu-alaihi- wasallam tentu maklum bahawa
untuk dua pekerjaan tersebut, yakni Fath-ul-Mekah dan ekspedisi
Tabuk, tentu tidak cukup tempoh 4 hari sahaja. Demikian juga ketika
Abdullah ibnu Umar radiallahu-anhu bermukim di Azerbeijan selama 6
bulan lalu tetap mengqasarkan solat kerana terperangkap di musim
salji yang berat, pasti diketahui bahawa salji itu tidak akan cair
hingga jalan kembali terbuka di dalam tempoh 4 hari. Demikian juga
bagi Anas bin Malik yang bermukim di Syam selama 2 tahun dan para
sahabat lain yang bermukim di Ramhurmuz selama 7 bulan dengan tetap
mengqasarkan solat, tentulah mereka mengerti bahawa mengepung musuh
dan berperang itu tidak cukup dalam tempoh 4 hari sahaja.
Sahabat-sahabat Imam Ahmad juga mengatakan kalau bermukim untuk
berjihad atau kerana dipenjarakan oleh pihak penguasa atau sebab
sakit, maka dibolehkan mengqasar solat baik bermukim itu menurut
kiraan akan berlaku lama mahupun sebentar. Ini memang satu pendapat
yang benar tetapi anehnya mereka mengemukakan pula suatu syarat yang
sama sekali tidak berasal dari Kitabullah (al-Qur'an), dari as-
Sunnah atau Ijma' dan tidak pula dari perbuatan salah seorang
sahabat sekalipun. Hujah mereka ialah bahawa dalam tafsiran itu
hendaklah ada kemungkinan bahawa urusan itu akan dapat selesai dalam
tempoh yang tidak dapat menghapuskan hukum musafir - yakni dalam
masa yang kurang dari 4 hari.
Sekarang baiklah kita ajukan satu pertanyaan kepada mereka - Dari
manakah tuan-tuan perolehi syarat tersebut padahal Nabi sallallahu-
alaihi-wasallam sendiri ketika beliau bermukim lebih dari 4 hari
lalu tetap mengqasarkan solat, baik di Mekah atau di Tabuk ? Nabi
tidak pernah ada mengatakan suatu syarat apapun dan tidak pula
menerangkan bahwa beliau tidak bermaksud akan bermukim lebih dari 4
hari padahal beliau sedia mengetahui bahawa perbuatannya akan
menjadi contoh dan teladan bagi sekalian umat sepanjang zaman dan
mereka juga akan turut mengqasar di ketika bermukim nanti. Ternyata
tidak sepatah katapun dari sabda beliau yang ada melarang solat
diqasar bila bermukim lebih dari 4 hari padahal penjelasan mengenai
ini amat penting sekali. Begitu juga halnya dengan perbuatan para
sahabat radiallahu-anhu yang mengikuti teladan Nabi sallallahu-
alaihi-wasallam - tidak pula mereka mengatakan suatu syarat apapun
kepada para tabien yang turut mengqasar solat bersama mereka.
Dalam hal ini Imam Ibnu Mundzir mengatakan bahawa berdasarkan
penyelidikannya para ahli telah sepakat bahawa seorang musafir
(yang bermukim) itu tetap dibolehkan mengqasar solat selama dia
tidak bermaksud akan terus menetap/mastautin di sana sekalipun
mukimnya itu berlangsung selama tempoh bertahun-tahun. [33]
Kesimpulan
1. Seseorang yang melakukan satu perjalanan yang melebihi batas
kebiasaannya dibolehkan mengqasarkan solat-solat Zohor, Asar dan
Isyaknya.
2. Solat qasar hanya disyaratkan oleh suasana musafir, tidak
kira samada musafir tersebut melibatkan kesukaran atau tidak.
3. Apabila seseorang singgah di satu tempat atau tiba di
destinasi, dia tetap dibolehkan mengqasar solat-solatnya tanpa had
masa atau tempoh selagi dia tidak bercadang untuk menetap di sana
atau bermastautin.
4. Qasar adalah sunnah Nabi sallallahu-alaihi- wasallam yang
tetap beliau praktikkan apabila sahaja dalam perjalanan. Oleh itu
amat dianjurkan agar kita sebagai umatnya juga turut meneladani
sunnah yang mulia ini.
____________ _________ _________ _________ _
[1] Maksud hadith riwayat Imam Muslim, Tirmizi, Ibnu
Majah dan Abu Daud, Sunan Abu Daud - no: 1156.
[2] Imam Ibnu Taimiyah - Majmoo al-Fatawa, 22/291, Imam
Ibnu Qudamah - al-Mughni, 2/259, Shaikh Muhammad Abduh dan Rashid
Risda - Tafsir al-Manar, surah ke-4, ayat 101, Prof. Hamka - Tafsir
al-Azhar, 2/1389 ; Prof. Dr. Hasbi as-Shiddieqie - Koleksi Hadith-
hadith Hukum, 4/369, Shaikh Sayid Sabiq - Fiqh-us-Sunnah, 2/214.
[3] Maksud atsar sahabat dari Sahih Bukhari - no: 1009.
[4] Maksud atsar sahabat riwayat Imam Ahmad dan Abu
Daud, Sunan Abu Daud - no: 1191.
[5] Maksud atsar sahabat dari Sunan Ibnu Majah - no:
1063.
[6] Maksud atsar sahabat dari Sunan an-Nasai - no: 1413.
[7] Maksud atsar sahabat riwayat Imam Tirmizi dan Abu
Daud, Sunan Abu Daud - no: 1183. Imam Tirmizi mengatakan hadith ini
berstatus hasan sahih manakala menurut Imam Abu Daud hadith ini
adalah lemah. [Sunan Abu Daud, 2/136]. Berkata Imam Ibnu Hajar al-
Asqalani hadith ini sememangnya mempunyai seorang perawi yang daif
tetapi Imam Tirmizi menguatkannya kerana maksud hadith tersebut
selari dengan banyak hadith-hadith yang sejalan tetapi sahih.
Demikian terang Ibnu Hajar yang dipersetujui oleh Imam asy-Shaukani
dalam Nail-ul-Authar, 4/489.
Fath-ul-Mekah ialah ekspedisi umat Islam untuk mengambil-alih semula
Kota Mekah dari tangan kekuasaan kaum kafir Quraish. Perkataan Fath
bermaksud Pembukaan kerana adalah setiap ekspedisi ketenteraan umat
Islam bukan bertujuan menakluk sesebuah negara atau masyarakat
tetapi bertujuan membuka serta membebaskan mereka dari pengaruh
Jahiliyah serta kekafiran.
[8] Imam Ibnu Taimiyah - Majoo al-Fatawa, 22/250 dan
seterusnya, Imam Ibnu Qudamah - al-Mughni, 2/276, Prof. Dr. Abdul
Karim Zaidan - Ensaiklopedia Fiqh, 1/349, Shaikh Sayid Sabiq - Fiqh-
us-Sunnah, 2/214, Prof. Dr. Wahbah Zuhaili - Fiqh dan Perundangan
Islam, 2/344, Imam asy-Shaukani - Nail-ul-Authar, 3/477-482, Imam as-
Sha'nani - Subul-us-Salam, 2/159-163. Bagi analisa perbandingan
lihat: Imam an-Nawawi - Majmu Syarh al-Muhadzzab, 4/190, Shaikh
Muhammad Mahmud Abu Hasan - Hukum dan Persoalan Sembahyang Jamak dan
Qasar, ms 35-45, Prof. Dr. Wahbah Zuhaili - Fiqh dan Perundangan
Islam, 2/341-343.
Sementara itu terdapat sebuah riwayat yang palsu/maudhu' bahawa
kononnya beliau ada bersabda: Hai penduduk Mekah ! Janganlah kamu
mengqasarkan solat pada jarak kurang dari 4 barid, iaitu umpama
perjalanan dari Mekah ke Usfan.( 4 barid = 89 km ). Hadith ini
dinyatakan palsu kerana dalam barisan perawinya terdapat Abdul Wahab
bin Mujahid dan dia dinyatakan sebagai pendusta oleh Imam al-Hakim,
Sufyan at-Tsauri dan Ibnu Jawzi. [ Drs. Abdul Ghani Azmi Idris -
Himpunan Hadith Daif dan Maudhu' - F-49].
[9] Disalin dari Silsalah al-Ahadith as-Sahihah, 1/367
oleh Shaikh Nasiiruddin al-Albani.
[10] Maksud atsar sahabat dari Sunan Ibnu Majah - no:
1067.
[11] Bahan rujukan adalah sama seperti perbincangan Jarak
Perjalanan.
[12] Pengajaran hadith dari Anas bin Malik radiallahu-
anhu diriwayatkan oleh Imam al-Baihaqi - Sunan al-Kubra, 3/152 dan
dinyatakan ia sebagai Sahih.
[13] Selain dari Majoo al-Fatawa Ibnu Taimiyah dan al-
Mughni ibnu Qudamah dalam bab ini; lihat juga - Shaikh Muhammad
Salih al-Othaimeen dan Shaikh Abdullah Abdul Rahman al-Jibreen -
Fatawa on Fasting, Zakat and Traweeh, pg 20, 47 ; Prof. Dr. Hasbi
as-Shiddieqie - Koleksi Hadith-hadith Hukum, 4/379 ; Imam as-
Sha'nani - Subul-us-Salam, 2/169 ; Shaikh Sayid Sabiq - Fiqh-us-
Sunnah, 2/217-220. Bagi analisa perbandingan lihat Imam asy-
Shaukani - Nail-ul-Authar, 4/482-491 ; Imam an-Nawawi - al-Majmoo
Syarh al-Muhadzzab, 4/215-219 ; Prof. Dr. Wahbah Zuhaili - Fiqh dan
Perundangan Islam, 2/358-365 ; Prof. Dr. Abdul Karim Zaidan -
Ensaiklopedia Fiqh, 1/353.
[14] Prof. Dr. Hasbi as-Shiddieqie - Koleksi Hadith-
hadith Hukum, 4/370.
[15] Shaikh Sayid Sabiq - Fiqh-us-Sunnah, 2/216, Shaikh
Ali an-Thantawi - al-Fatawa, ms 258.
[16] Imam Ibnu Qudamah - al-Mughni, 2/265.
[17] Prof. Dr. Wahbah Zuhaili - Fiqh dan Perundangan
Islam, 2/346.
[18] Lihat mana-mana kitab fiqh muktabar bagi menganalisa
dalil, hujah serta pendapat pihak yang menyatakan solat qasar itu
adalah wajib dalam setiap musafir.
[19] Demikian pengkajian hadith oleh Imam Ibnu Qayyim -
Zaad-ul-Ma'ad, 1/399 dan oleh Imam Ibnu Hajar al-Haithami - Majma az-
Zawa'id, 2/157. Hadith ini dirawikan melalui 3 jalur dan semuanya
adalah daif serta bertentangan pula dengan riwayat-riwayat lain yang
sahih, yang menyatakan Nabi sallallahu-alaihi- wasallam sentiasa
mengqasarkan solatnya apabila dalam perjalanan. Telah berkata Imam
Ahmad bahawa hadith ini diingkari dan kesahihannya pula tersangat
jauh (iaitu sangat tidak sahih = sangat daif) [Nail-ul-Authar,
4/474].
Selain itu tertulis pula riwayat lain yang bermaksud:
A'isyah radiallahu-anha berkata - Aku pernah keluar bersama Nabi
sallallahu-alaihi- wasallam dalam umrah pada bulan Ramadhan. Kemudian
(dalam perjalanan) aku berbuka dan kadang-kala berpuasa,mengqasar
dan kadang-kala menyempurnakan. Lalu aku bertanya (kepada Nabi) -
Demi ayah dan ibuku ! Aku berbuka dan kadang berpuasa, aku mengqasar
dan kadang menyempurnakan. Maka beliau berkata - Itu baik wahai
A'isyah. Hadith diriwayatkan oleh Imam ad-Daruquthni dan didaifkan
oleh Imam Ibnu Hibban, Ibnu Hazm, Ibnu Hajar Asqalani, Ibnu an-Nahwy
dan ramai lain. Hadith ini juga diingkari maksudnya kerana A'isyah
tidak pernah berumrah bersama Nabi sallallahu-alaihi- wasallam pada
bulan Ramadhan. Sesetengah kitab fiqh mengutarakan hadith ini
sebagai hujah dengan mengatakan ia disahihkan oleh Imam ad-
Daruquthni tetapi yang benar beliau (Daruquthni) sendiri berbeza
pendapat tentang status kekuatannya. [Nail-ul-Authar, 4/470-472]
[20] Maksud atsar sahabat dari Musnad Ahmad, 1/216.
[21] Maksud hadith riwayat Imam Tirmizi dan Abu Daud,
Sunan Abu Daud - no: 1183.
[22] Prof. Dr. Wahbah Zuhaili - Fiqh dan Perundangan
Islam, 2/356-357, Shaikh Muhammad Mahmud Abu Hasan - Hukum dan
Persoalan Sembahyang Jamak dan Qasar, ms 62-67.
[23] Bagi analisa perbandingan lihat: Prof. Dr. Wahbah
Zuhaili - Fiqh dan Perundangan Islam, 2/369 dan Prof. Dr. Abdul
Karim Zaidan - Ensaiklopedia Fiqh, 1/353.
[24] Imam asy-Shaukani - Nail-ul-Authar, 4/481, Drs.
Abdul Ghani Azmi Idris - Himpunan Hadith Daif dan Maudhu' - F-49.
[25] Lihat mana-mana kitab usul fiqh dalam bab - Mazhab
Sahabii atau Fatwa Sahabii; antara lain ialah Imam asy-Shaukani -
Irsyadul Fuhul, ms 214 ; Prof. Dr. M. Abu Zahrah - Usul Fiqh, ms 328-
336 ; Prof. Dr. M. Hashim Kamal - Principles of Islamic
Jurisprudence, pg 297-309 dan Prof. Dr. Mukhtar Yahya dan
Fatchurrahman - Dasar-dasar pembinaan Hukum Fiqh Islami, ms 116-118.
[26] Imam Shaukani - Nail-ul-Authar, 4/480 dan Shaikh
Nasiiruddin Albani - Silisilah Ahadith as-Sahihah, 1365.
[27] Maksud atsar sahabat riwayat Imam Bukhari dan
Muslim, al-Bayan - hadith no: 0385. Lihat juga hadith-hadith lain
dalam kitab Sahih Bukhari dan Sahih Muslim di bawah tajuk Kitab al-
Hajj.
[28] Atsar sahabat dari Sahih Muslim - hadith no: 1352.
[29] Muhammad Husein Haykal - The Life of Muhammad, pg
483, Dr. Safi-ur-Rahman al-Mubarakpuri - ar-Raheeq al-Makhtum, ms
463.
[30] Imam al-Muzani, seorang anak murid kepada Imam
Shafie sendiri; dalam kitabnya Muhktasar al-Muzani Bihamish al-Umm,
vol 1, ms 120-131. Pendapat ketiga Imam Shafie disahihkan oleh Imam
asy-Shaukani - Nail-ul-Authar, 4/490 dan Imam as-Shanani - Subul-us-
Salam, 2/168.
[31] Imam as-Sha'nani - Subul-us-Salam, 2/169.
[32] Prof. Dr. Hasbi as-Shiddieqie - Koleksi Hadith-
hadith Hukum, 4/379.
[33] Ringkasan dari tulisan Shaikh Sayid Sabiq terhadap
penerangan Imam Ibnu Qayyim dalam Fiqh-us-Sunnah, 2/217-220.
Perhatian - Imam Ibnu Qayyim adalah seorang Imam Mujtahid kurun ke
8H bagi Mazhab Hanbali dan justeru itulah dalam penerangannya ini
beliau banyak menganalisa pendapat serta ajaran Imam Ahmad bin
Hanbal dan tokoh-tokoh Hanbali selainnya. Perbuatan ini bukanlah
sesuatu yang dianggap buruk tetapi sebenarnya inilah metologi yang
patut dipegang oleh setiap orang dalam setiap mazhab ikutan mereka,
yakni menganalisa dan mengkaji serta meralat apa-apa ajaran atau
pendapat mazhab yang tidak selari dengan nas al-Qur'an dan as-
Sunnah.
No comments:
Post a Comment