Bab ini khusus membicarakan perihal mengqadha solat dan hal-hal yang
berkaitan dengannya. Ia bertujuan agar dapat memberikan kefahaman
yang sebenar dari ajaran syari'at al-Qur'an dan as-Sunnah mengenai
apakah itu qadha solat dan atas sebab-sebab apakah seseorang itu
dibolehkan mengqadha solatnya. Bab ini dirasakan penting kerana ada
segelintir yang membuat fatwa peribadi bahawa solat itu boleh
diqadha sahaja jikalau berhadapan dengan sebarang bentuk kesukaran
atau keuzuran tidak kira sekecil mana dua faktor penghalang
tersebut. Lebih mengeruhkan suasana ialah perbuatan menangguhkan
solat fardhu ke waktu yang lain dengan alasan ia boleh diqadha
sahaja semata-mata kerana sibuk di gedung beli-belah atau khusyu' di
stadium bolasepak.
Solat adalah satu perintah agama yang mempunyai pengkhususan tempoh
perlaksanaannya. Ia mempunyai waktu-waktu yang telah sedia diatur
dan ditetapkan oleh Allah Subhanahu waTa'ala, iaitu melalui
firmanNya: Sesungguhnya solat itu adalah satu ketetapan yang
diwajibkan atas orang-orang yang beriman, yang tertentu waktunya.
[Maksud surah an-Nisaa' 4 - 103]. Apabila perintah ibadah solat itu
dilaksanakan dalam waktunya, ia digelar sebagai al-adaa' manakala
apabila solat itu dilaksanakan di luar waktunya ia digelar sebagai
al-qadha. Secara lebih mendalam, qadha didefinasikan sebagai -
Melakukan sesuatu amalan yang diwajibkan selepas dari waktunya atau
melakukan solat selepas dari waktunya yang telah ditetapkan.[ 1]
Sebab-sebab Membolehkan Solat Diqadha.
Al-Qur'an dan as-Sunnah sememangnya ada mengajar kita tentang
perihal menunaikan solat-solat fardhu di luar waktu yang ditetapkan.
Akan tetapi kebolehan ini hanya atas beberapa sebab yang juga telah
dijelaskan secara terperinci oleh kedua sumber syari'at tersebut,
iaitu:
1. Apabila seseorang itu tertidur sehingga luput waktu solatnya.
2. Apabila seseorang itu terlupa sehingga luput waktu solatnya.
3. Apabila tersilap kiraan waktu solat sehingga terluput waktu
yang sebenarnya.
4. Apabila seseorang itu berhadapan dengan situasi darurat
sehingga terluput waktu solatnya.
Demikianlah sahaja empat faktor yang dibolehkan bagi seseorang itu
tidak mendirikan solat-solatnya yang fardhu lalu kemudian
diqadhakannya di lain waktu.[2] Tertidur dan terlupa adalah suasana
yang dimaafkan bagi seseorang yang tidak solat di waktunya lalu
diqadhakan dalam waktu yang lain apabila dia terjaga atau teringat,
berdasarkan sabda Rasulullah sallallahu-alaihi- wasallam:
Barangsiapa lupa untuk solat atau tertidur, hendaklah dia menunaikan
ia apabila teringat. Tidak ada hukuman selain dari itu.[3]
Nabi sallallahu-alaihi- wasallam juga telah bersabda dalam satu
hadith yang lain: Sebenarnya tidak ada kecuaian dalam masa tidur,
kecuaian hanya berlaku dalam masa sedar. Oleh itu sesiapa di antara
kamu yang terlupa solat atau tertidur hendaklah menunaikannya
apabila dia teringat, kerana Allah Ta'ala telah berfirman: "Dan
dirikanlah solat untuk mengingati Aku." [4]
Kedua-dua sebab di atas diberikan kemaafan oleh syari'at kerana ia
adalah bentuk keuzuran manusia yang diluar kemampuannya. Akan tetapi
kemaafan ini tidaklah diberikan kepada mereka yang sengaja lagi
sedar bertujuan berbuat sedemikian. Contohnya orang yang sengaja
tidur di akhir waktu solat padahal dia masih belum solat maka dia
dipandang sebagai berdosa besar kerana sengaja mencari helah untuk
tidak solat. Demikian juga hukum yang sama bagi orang yang sengaja
menyibukkan dirinya dengan sesuatu yang sememangnya akan membawa
kepada kelupaan seperti sengaja mengasyikkan diri dengan permainan
sukan di akhir waktu solat sehingga tertinggal solatnya itu.
Perbuatan sebegini membawa bebanan dosa yang amat besar ke atas
orang itu dan dia selain wajib mengqadha solat tersebut, dituntut
agar segera bertaubat dan memperbetulkan dirinya.
Termasuk dalam kategori orang yang tertidur, melalui kaedah qiyas,
ialah orang yang pitam atau pengsan. Maka bagi mereka dimaafkan
solat yang tertinggal itu akan tetapi apabila sedar semula wajib
diqadha bilangan solat yang tertinggal. Akan tetapi dimaafkan secara
terus orang yang diserang penyakit gila atau koma, di mana kedua ini
adalah sejenis keuzuran yang berpanjangan dan orang yang menghadapi
suasana ini diangkat darinya sebarang kewajipan agama, seperti
solat, puasa, zakat dan sebagainya. Orang yang menghadapi kondisi
ini tidak perlu mengqadha solat yang tertinggal selama tempoh dia
sedang gila atau koma. Walaubagaimanapun perlu dibezakan antara gila
kerana penyakit atau gila kerana mabuk; di mana gila kerana mabuk
adalah perbuatan sengaja manusia itu sendiri dan dia tetap
diwajibkan mengqadha semula solat yang tertinggal apabila waras
kembali.[5]
Kategori ketiga yang membolehkan solat diqadha ialah apabila
seseorang itu tersilap dalam kiraan waktu solatnya. Contohnya ialah
apabila seseorang yang bermusafir ke negara lain lalu tersilap dalam
menentukan zon waktu negara tersebut, kemudian dengan itu
disangkanya bahawa waktu solat itu masih hadir padahal sudah luput
maka bagi dia tiada kesalahan kecuali tetap menunaikan solat
tersebut secara qadha. Ini berdasarkan firman Allah Subhanahu
waTa'ala: Dan kamu pula tidak dikira berdosa dalam perkara yang kamu
tersilap melakukannya, tetapi (yang dikira berdosa itu ialah
perbuatan) yang disengajakan oleh hati kamu melakukannya. Dan
(ingatlah) Allah Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani. [Maksud
surah al-Ahzab 33 - 05] dan juga sabda Nabi sallallahu-alaihi-
wasallam: Sesungguhnya Allah telah memaafkan kerana aku, kesilapan
dan kelupaan dari umat aku serta apa yang mereka lakukan kerana
dipaksa.[6]
Kategori keempat yang membolehkan solat fardhu ditunda dari waktunya
yang asal ialah dalam suasana darurat. Darurat ialah satu kondisi
yang melibatkan keselamatan nyawa dan anggota seseorang itu atau
orang-orang di bawah amanahnya (Life and Death situation). Dari
sudut syari'ah ianya didefinasikan sebagai - Darurat itu ialah
datangnya keadaan bahaya atau kesulitan yang amat berat kepada diri
manusia, yang membuatkan dirinya kuatir akan terjadinya kerosakan
atau sesuatu yang menyakiti jiwa, anggota badan kehormatan, akal
harta dan yang bertalian dengannya.
Ketika ini boleh atau tidak harus mengerjakan yang diharamkan atau
meninggalkan yang diwajibkan atau menunda waktu perlaksanaan guna
bagi menghindari kemudaratan yang diperkira dapat menimpa dirinya
selama tidak keluar dari syarat-syarat yang ditentukan syara'. [7]
Dalil yang membolehkan suasana darurat sebagai faktor membolehkan
penundaan kewajipan solat dari waktunya ialah peristiwa yang berlaku
di ketika Perang Khandak, di mana Rasulullah sallallahu-alaihi-
wasallam dan para muslimin sekalian sedang berada di kegentingan
peperangan mempertahankan Kota Madinah dari serangan musuh sehingga
tidak berkesempatan untuk mendirikan solat Asar. Maka apabila serang
musuh yang bertubi-tubi itu reda di waktu Maghrib, barulah Nabi
sallallahu-alaihi- wasallam serta orang ramai berkesempatan untuk
menunaikan solat Asar mereka, diikuti dengan solat Maghrib.
Jabir bin Abdillah radiallahu-anhu menceritakan: Di ketika Perang
Khandak Umar al-Khattab menyumpah-marah kaum kafir Quraish di ketika
matahari sudah terbenam lalu berkata: Ya Rasulullah ! Saya tidak
sempat mendirikan solat Asar dan matahari sudahpun turun ! Nabi
sallallahu-alaihi- wasallam berkata: Demi Allah ! Aku juga belum
solat ! Dengan itu kami turun ke Buthan (perigi air - P) dan Nabi
berwudhu' dan kami juga berwudhu' dan kemudian kami mendirikan solat
Asar setelah matahari terbenam diikuti dengan solat Maghrib.[8]
Maka dari hadith dan peristiwa di atas para ahli fiqh bersepakat
menyatakan bahawa kondisi yang membolehkan seseorang itu menundakan
solatnya ke waktu yang lain apabila dia berada dalam keadaan sedar
ialah kondisi darurat sahaja. Diulangi bahawa darurat itu ialah
suasana yang membahayakan nyawa seseorang itu atau mana-mana anggota
tubuh badannya. Adapun keuzuran atau apa-apa halangan lain yang
tidak membahayakan nyawa dan anggota maka ia tidaklah membawa kepada
kelonggaran hukum mengqadhakan solat, sepertimana yang akan
dihuraikan di bawah nanti.
Tertib Mengqadha Solat.
Solat-solat yang terluput dari waktunya wajib didirikan semula
secepat mungkin apabila teringat dan sedar dari kondisi terdahulu
kecuali ada sebab tulen yang menghalang seperti terikat dengan
suasana cuaca buruk, amanah berat dan tanggung-jawab yang tidak
dapat ditangguhkan. Solat yang tertunda juga wajib diqadha secara
berturut dan bergiliran, tidak dengan pilihan yang rambang.
Maksudnya ialah orang yang tertidur sehingga luput solat Asarnya dan
kemudian terjaga di waktu solat Maghrib maka bagi dia ialah
menunaikan solat Asar dahulu kemudian diikuti oleh solat Maghrib.
Demikian juga kaedahnya bagi orang yang tertinggal beberapa solat
sekali-gus, dia wajib mengqadhakan solatnya itu mengikut giliran dan
turutan kemudian barulah mendirikan solatnya yang hadir. Kewajipan
ini didasarkan kepada hadith di atas mengenai peristiwa Perang
Khandak di mana Nabi sallallahu-alaihi- wasallam apabila terhalang
solat Asarnya sehingga masuk waktu Maghrib, beliau mengqadha solat
Asar itu terlebih dahulu kemudian baru diikuti oleh solat Maghrib.
Walaubagaimanapun kewajipan ini, berdasarkan ijtihad para fuqaha
[9], dilonggarkan dalam beberapa suasana, iaitu –
1. Apabila waktu solat yang hadir hampir berakhir maka
diharuskan mendirikan solat yang hadir dahulu kemudian diikuti oleh
solat yang hendak diqadha.
2. Apabila sedang solat lalu tiba-tiba baru teringat akan solat
yang tertinggal maka dibolehkan meneruskan solat itu sehingga akhir
kemudian disusuli dengan solat yang perlu diqadha itu.
3. Apabila solat yang perlu diqadha itu melebihi solat sehari,
iaitu melebih 5 waktu maka dilonggarkan kewajipan mengqadhanya
mengikut turutan akan tetapi tetap wajib diqadhakannya secepat
mungkin.
Disini perlu diperbetulkan perbuatan sesetengah yang memilih-milih
secara rambang tentang bilakah dia akan mengqadha solat yang
tertinggal dan mengikut suka hati solat apa yang hendak diqadhakan
dahulu. Sumber-sumber nas jelas menerangkan bahawa solat adalah
ibadah tunggak seorang muslim dan apabila tertinggal ia wajib
diqadha secepat mungkin menurut turutan dan gilirannya. Adapun
memilih-milih sesuka hati bilakah akan diqadha solat yang tertinggal
dipandang sebagai satu perbuatan meremahkan solat dan mempermainkan
tanggung-jawabnya terhadap Allah Azza waJalla dan orang sebegini
dituntut agar segara bertaubat dan memperbetulkan perbuatannya itu.
Keuzuran yang Menghalang Solat.
Uzur ialah keadaan bukan kebiasaan yang sukar, sempit, sulit dan
susah yang dihadapi oleh seseorang sehingga menyebabkan dia
terhalang daripada dapat menyempurnakan keseluruhan tuntutan
syari'at Islam. Keuzuran itu adalah berat tetapi tidak sehingga ke
tahap mendatangkan kebinasaan jiwa atau anggota. Dalam ertikata lain
uzur ialah kesusahan yang satu tingkat di bawah darurat.[10]
Keuzuran dalam konteks perlaksanaan solat ialah suasana-suasana
sukar, sulit dan susah yang menghalang seseorang itu daripada dapat
mendirikan solatnya secara sempurna lagi tepat. Apabila berhadapan
dengan suasana sebegini, syari'at Islam memberikan beberapa
kelonggaran hukum kepada orang yang dibebani dengan keuzuran itu
tetapi syari'at tidak mengangkat kewajipan solat dari orang
tersebut, lelaki mahupun wanita.
Contohnya orang yang menghadapi kesukaran mencari arah qiblat
dibolehkan bersolat ke arah yang dijangkanya paling tepat, orang
yang sakit dibolehkan solat secara duduk atau baring dan orang yang
solat dalam kenderaan juga dibolehkan solat di atas kerusi duduk
asalnya jikalau bimbangkan keselamatan diri. Kesemua ini tergolong
dalam kelonggaran hukum yang diberikan oleh as-Syari'at tetapi
mereka semua tetap diwajibkan mendirikan solat tersebut dalam
waktunya yang ditetapkan. Apabila seseorang itu benar-benar
menghadapi suasana keuzuran seperti ini dan tiada pilihan lain untuk
dia, maka solat yang didirikannya itu sekalipun tidak sempurna
syarat-syarat dan rukun-rukunnya, ia tetap dikira sah dan tidak
wajib diqadha semula apabila suasana kembali normal. Hanya
sebahagian dari ulama'-ulama' Mazhab Shafie yang menyarankan supaya
solat tersebut diqadha semula atas dasar hati-hati dan mengambil
pilihan yang lebih selamat.
As-Syari'at tidak membenarkan sama sekali umat Islam menangguhkan
solatnya ke waktu lain atas alasan akan mengqadhanya kerana apa-apa
sebab sekalipun kecuali darurat, iaitu satu suasana yang melibatkan
ancaman bahaya ke atas nyawa atau anggota, samada kepada dirinya
atau atas tanggungannya. Contoh orang yang berada dalam suasana
darurat ialah perajurit yang berada di medan peperangan sengit,
seorang bidan yang sedang menguruskan kelahiran anak di waktu yang
sempit seperti di pagi subuh, seorang doktor yang sedang menjalankan
pembedahan genting dan seorang juruterbang pesawat yang menghadapi
suasana kecemasan. Apabila bersemuka dengan kondisi sebegini atau
yang seumpama, seseorang itu dibolehkan untuk menunda solatnya ke
waktu lain dengan cara mengqadhanya.
Akan tetapi, sekalipun berhadapan dengan suasana darurat lagi
membahayakan, seseorang itu dituntut agar mencari alternatif lain
untuk tetap bersolat, seperti mencari bidan lain sebagai pengganti,
bergilir-gilir di medan pertempuran dan sebagainya. Selain itu
suasana bahaya yang dihadapi adalah suasana yang benar-benar
kritikal lagi merbahaya, bukan sekadar takut-takut atau risau-risau.
Ini mengingatkan kepada perbuatan Nabi sallallahu-alaihi- wasallam
dan para sahabatnya yang tetap bersolat apabila berada hampir di
sempadan peperangan. Mereka solat secara berjamaah dengan sekelompok
bersolat manakala sekelompok lagi bersiap sedia menghadapi musuh.[11]
Daripada keterangan-keterang an di atas, ingin dinyalakan perhatian
kepada para pembaca sekalian bahawa solat-solat yang fardhu 5 kali
sehari ialah satu perintah wajib agama yang tidak boleh ditinggalkan
sama-sekali kecuali atas beberapa suasana yang dikecualikan oleh
agama. Suasana itu ialah tertidur, terpitam, terpengsan, terlupa,
tersilap, gila, koma dan suasana darurat. Selain dari suasana-
suasana di atas seseorang itu tetap diwajibkan melaksanakan solat-
solat fardhunya. Sekalipun berhadapan dengan apa jua kesukaran,
kesempitan, kesulitan atau kesusahan, dia tetap wajib melaksanakan
solat-solat fardhunya dalam waktu yang ditetapkan. Tidak boleh
menundanya ke waktu terkemudian atas alasan akan mengqadhanya.
Syari'at Islam tidak pernah memberikan kemaafan untuk tidak bersolat
dalam suasana kesusahan tetapi ia memberikan berbagai kelonggaran
hukum dan kaedah pilihan bagi setiap orang untuk tetap mendirikan
solat, dan hukum yang diperlonggarkan itu adalah selari dengan kadar
kesulitan yang dihadapi oleh setiap individu dalam setiap masa yang
tertentu. Ini semua dilakukan supaya umat tetap berkebolehan untuk
melaksanakan solat-solat fardhunya dalam masa yang ditetapkan.
Oleh itu perlu dijelaskan bahawa perbuatan sebahagian kecil yang
pantas mengambil jalan mudah untuk mengqadha sahaja solat apabila
bersemuka dengan apa-apa kesulitan adalah perbuatan yang menyalahi
ajaran Islam dan roh tuntutan as-solat itu sendiri. Perbuatan
sebegini perlu dihentikan serta-merta dan dijadikan daya keinsafan
agar tetap mendirikan solat dalam waktunya sekalipun berhadapan
dengan apa jua kesukaran. Berbagai kelonggaran hukum telah diberikan
oleh syari'at Islam, oleh itu tuntutlah ilmu agar dapat mengenal
pasti apakah kelonggaran itu dan supaya ia dapat diamal-guna oleh
diri empunya apabila suasana dan kondisi menjemput.
Sebenarnya jikalau kita benar-benar merenungi halangan atau keuzuran
yang melintas dihadapan kita dalam usaha melaksanakan perintah Allah
Azza waJalla, ianya tidaklah sebesar mana atau sesukar mana. Lumrah
manusia ialah apabila sahaja dia berhadapan dengan sesuatu yang lain
dari kebiasaan, berbagai bukit dan gunung tiba-tiba sahaja muncul
merintanginya. Padahal bukit dan gunung itu tidak lain hanyalah
imaginasinya sendiri. Dalam suasana mendirikan ibadah, kita selalu
menghadapi berbagai rintangan yang semuanya hanyalah imaginasi kita
sendiri dan juga bisikan-bisikan syaitan iblis di celah-celah nafsu
diri. Ini semua mudah sahaja ditepis jikalau kita yakin akan
kehadiran Allah Subhanahu waTa'ala yang sentiasa akan menolong kita
dalam apa jua masalah atau kesukaran. Allah Subhanahu waTa'ala
menjanjikan hal ini dengan firmanNya: Oleh itu ingatilah Aku,
(nescaya) Aku akan mengingati kamu. [Maksud surah al-Baqarah 02 -
152]
Allah Subhanahu waTa'ala juga menjanjikan kesenangan dan kemudahan
kepada orang yang bertawakkal kepadaNya dalam rangka tujuan dia
beramal ibadah kepadaNya, dengan firmanNya: Bahkan sesiapa yang
menyerahkan dirinya kepada Allah (mematuhi perintahNya) sedang ia
pula berusaha supaya baik amalannya, maka ia akan beroleh pahalanya
disisi Tuhannya, dan tidaklah ada kebimbangan (dari berlakunya
kejadian yang tidak baik) terhadap mereka, dan mereka pula tidak
akan berdukacita. [Maksud surah al-Baqarah 02 - 112]
Begitu juga kemudahan yang Allah Azza waJalla janjikan kepada orang-
orang yang bertaqwa kepadaNya dan benar-benar berusaha memelihara
ketaqwaannya, melalui firmanNya yang bermaksud: Dengan hukum-hukum
yang tersebut diberi pengingatan dan pengajaran kepada sesiapa yang
beriman kepada Allah dan Hari Akhirat; dan sesiapa yang bertaqwa
kepada Allah (dengan mengerjakan suruhanNya dan meninggalkan
laranganNya) , nescaya Allah akan mengadakan baginya jalan keluar
(dari segala perkara yang menyusahkannya) . [Maksud Surah at-Talaaq:
65 - 02]
Daripada janji-janji Allah Azza waJalla ini berkeyakinanlah bahawa
apa sahaja kesukaran atau keuzuran yang kita hadapi dalam usaha
untuk menunaikan ibadah solat, tentu sahaja akan dipermudahkan oleh
Allah apabila kita benar bersungguh-sungguh untuk melaksanakannya.
Sebaliknya jikalau kita banyak berdalih atau beralasan atau
berkeberatan, maka dengan tersangat pantas akan tibalah syaitan
iblis dan kuncu-kuncunya menolong dan membantu kita agar tidak
bersolat atau dibisikkan sahaja kepada kita untuk menangguhnya ke
waktu yang lain. Oleh itu tetapkanlah pendirian hati bahawa kita
akan bersolat tidak kira apa atau bagaimana rintangannya, nescaya
apa yang kita cita-citakan itu mudah tercapai dengan pertolongan dan
petunjuk Allah Subhanahu waTa'ala.
Solat Hormati Waktu.
Seperkara lain yang perlu ditegakkan di sini ialah berkenaan
pendapat sesetengah di tanah air yang mengharuskan seseorang itu
bersolat dalam suasana kesukaran atau kesulitan dengan cara solat
hormati masa atau solat mengingati waktu ; iaitu seseorang itu
hanyalah dituntut bersolat fardhu secara ala kadar dalam waktunya
yang hadir tetapi solatnya itu hanya akan menjadi sah apabila dia
mengqadhanya kembali di lain masa apabila hilang kesukaran tersebut.
Contohnya bagi seseorang yang tidak dapat menghadap qiblat dalam
pesawat terbang, dia dianjurkan untuk melaksanakan solat secara
hormati waktu kemudian apabila telah tiba di destinasi atau pulang
ke rumah dia dituntut mengqadha kembali solat tersebut. Solat yang
pertama itu hanyalah dikira sebagai sementara manakala solat yang
sebenar ialah apabila dia mengqadhanya di kemudian masa.
Dalam kajian serta analisa penulis, teori ini atau apa jua yang
seumpama tidak ditemui mana-mana dalilnya samada secara langsung
atau tidak langsung (qiyas) daripada sumber-sumber nas samada al-
Qur'an mahupun as-Sunnah atau dari mana-mana kitab fiqh muktabar
dahulu dan sekarang. Ia juga bertentangan dengan keseluruhan
tuntutan syari'at yang mewajibkan seseorang itu tetap mendirikan
solat fardhunya dalam apa jua suasana dan kondisi kecuali darurat
yang melibatkan keselamatan nyawa anggota badan. Memberikan
alternatif mengqadha solat dengan sewenang-wenangnya adalah satu
ajaran yang bercanggah dengan syari'at dan akhirnya hanya akan
menjemput kepada perbuatan meremeh-remehkan agama itu sendiri apatah
lagi ibadah solat yang merupakan tiang utama agama Islam.
Seandainya solat hormati waktu itu wujud sudah tentu baginda Nabi
sallallahu-alaihi- wasallam akan mengajarnya kepada para sahabat di
ketika menghadapi suasana kegentingan peperangan tetapi yang jelas
mereka semua tetap mendirikan solat fardhu selengkap mungkin tanpa
mengqadhanya di lain masa. Apakah bandingannya solat berhadapan
dengan senjata musuh dengan solat di dalam kenderaan yang serba
selesa lagi berhawa dingin ? Sudah tentu tiada bandingan dan sudah
tentu tiada alasan untuk kita mengamalkan teori solat hormati waktu
dan mengqadhanya pula di lain masa. Akhir kata nasihat penulis
kepada para pembaca budiman sekalian ialah tetapkanlah keazaman dan
kesungguhan diri untuk tetap melaksanakan solat fardhu sesempurna
mungkin tidak kira apajua kesukaran yang ditempohi dan janganlah
difikir-fikirkan teori solat hormati waktu itu atau apa jua yang
seumpama.
Kesimpulan
1. Apabila seseorang itu tertinggal solat dari waktunya atas
sebab-sebab yang di luar kawalan atau kesedarannya, maka dia tidak
dihukum apa-apa kecuali wajib mendirikan semula solat tersebut
apabila sahaja teringat. Boleh juga menangguhkan solat sehingga ke
waktu lain apabila seseorang itu menghadapi suasana darurat yang
membahayakan kehidupan. Mendirikan solat di luar waktunya digelar
sebagai mengqadha solat.
2. Solat-solat yang tertinggal hendaklah didirikan semula secara
qadha mengikut tertib dan turutannya.
3. Apabila seseorang itu menghadapi kesulitan atau kesukaran
untuk menyempurnakan solatnya secara lengkap mengikut setiap hukum
dan rukunnya, dia tetap diwajibkan mendirikan solat tersebut pada
waktunya. Syari'at Islam memberi pelbagai kelonggaran hukum bagi kes
seperti ini tetapi ia tidak mengangkat kewajipan solat tersebut
daripada dilaksanakan tetap pada waktunya.
4. Tidak wujud sebarang dalil atau penerangan dari al-Qur'an
atau as-Sunnah mengenai kaedah solat hormati masa atau apa-apa yang
seumpama.
____________ _________ _________ _________ _
[1] Prof. Dr. Wahbah Zuhaili - Fiqh dan Perundangan
Islam, 2/144.
[2] Sesetengah pendapat lain menambah dua lagi kategori
bagi orang yang wajib qadha solat, iaitu orang Islam yang murtad
kemudian kembali semula memeluk Islam dan kedua, orang Islam yang
melalaikan solat lalu kemudian bertaubat di hari tuanya, maka dia
wajib mengqadha semua solat-solat fardhu yang tertinggal sejak akil
baligh sehingga hari dia bertaubat. Kedua-dua pendapat ini tidak
mempunyai dalil kuat untuk menyokongnya dan lemah pula jikalau
dibanding dengan dalil-dalil yang lain.
[3] Maksud hadith dari Anas bin Malik radiallahu-anhu,
riwayat Imam Bukhari dan Muslim, Misykat al-Masabih, 3/181/046.
[4] Maksud hadith dari Qatadah radiallahu-anhu riwayat
Imam Muslim, Misykat al-Masabih, 3/181/047.
[5] Huraian yang lengkap, lihat Prof. Dr. Wahbah
Zuhaili - Fiqh dan Perundangan Islam, 2/145-151 dan Shaikh Abdul
Rahman al-Jaziri - Fiqh 'Alal Madzhibil Arba'ah, 2/248-253.
[6] Maksud hadith dari Abu Dzarr al-Ghaifiri dan
Abdullah ibnu Abbas, diriwayatkan oleh Imam Ibnu Majah, Ibnu Hibban,
al-Hakim, at-Thabrani dan ad-Daruquthni; dinilai sebagai hadith
hasan oleh Imam an-Nawawi sebagaimana dinyatakan oleh Imam as-Suyuti
dalam al-Asybah wa al-Nazha'ir, ms 166.
[7] Prof. Dr. Wahbah Zuhaili - Nazhariyah al-Dlarurah
al-Syari'ah, ms 72
[8] Maksud hadith dari Sahih Bukhari 1/ 570 dan 2/560.
[9] Huraian yang lengkap, lihat Prof. Dr. Wahbah
Zuhaili - Fiqh dan Perundangan Islam, 2/154-159 dan Shaikh Abdul
Rahman al-Jaziri - Fiqh 'Alal Madzhibil Arba'ah, 2/253-256.
[10] Prof. Dr. Wahbah Zuhaili - Nazhariyah al-Dlarurah al-
Syari'ah, ms 268.
[11] Ini digelar Solat Khauf dan ia disyari'atkan dengan
turunnya ayat 102 dari surah an-Nisaa' selepas peristiwa Perang
Khandak. Terdapat perbincangan yang mendalam di kalangan ahli-ahli
ilmuan samada pengsyari'atan solat Khauf ini membatalkan kebolehan
untuk tidak bersolat dalam suasana darurat. Pendapat yang terpilih
ialah pendapat yang dipertengahan iaitu seharusnya bersolat secara
solat Khauf dikala peperangan akan tetapi apabila suasana menjadi
tersangat genting maka dibolehkan menangguh solat itu atas dasar
darurat. Ini lebih mendekati kebenaran memandangkan setiap pasukan
atau individu itu mempunyai tahap keutuhan diri yang berbeza-beza
antara satu sama lain. Lihat dan kaji seterusnya dalam bab ini serta
berbagai kaedah melaksanakan solat Khauf dalam mana-mana kitab fiqh
muktabar.
No comments:
Post a Comment