SAMBUTAN NISHFU SYA'BAN BUKAN DARI SUNNAH?
Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus
============ ========= ========= ========= ========= =======
Apabila memperkatakan tentang bulan Sya'ban, maka tentu sekali
tarikh 15 Sya'ban atau juga lebih di kenali sebagai Nishfu Sya'ban
akan bermain-main di fikiran masing-masing. Pada tarikh ini atau
lebih spesifik pada waktu malamnya di anggapmemiliki kemuliaan
khusus sehinggakan rata-rata umat Islam di Malaysia mengkhususkan
amalan-amalan tertentu seperti melakukan solat malam yang khusus,
berpuasa pada siang harinya, membaca surah Yassin sebanyak 3 kali
dan diselang-selikan dengan doa-doa yang khusus di antaranya. Ada
juga yang beranggapan pada malam inilah diangkat segala amalan
kita dan ditentukan segala perkara berhubungan dengan kehidupan
makhluk seperti hidup, mati, rezeki, untung baik, untung jahat dan
lain-lain atau dikenali sebagai al-Qadr. Di dalam risalah yang
ringkas ini penulis akan cuba mengutarakan beberapa perkara yang
sering diperdebatkan tentang Nishfu Sya'ban seperti:
1) Status Hadis Tentang Nishfu Sya'ban
2) Amalan-Amalan Khusus Sempena Nishfu Sya'ban
3) Benarkah al-Qadr Itu Jatuhnya Pada Malam Nishfu Sya'ban
Status Hadis Tentang Nishfu Sya'ban
============ ========= ========= =====
Hadis-hadis yang membicarakan tentang Nishfu Sya'ban kesemuanya
berstatus dha'if (lemah) dan mawdhu' (palsu) kecuali terdapat sebuah
hadis menurut Syaikh Muhammad Nashiruddin al-Albani rahimahullah
adalah sah daripada Nabi shallahu 'alaihi wasallam iaitu riwayat
yang diterima daripada Mu'adz bin Jabal radhiallahu 'anh. Lafaz
hadis tersebut adalah: Daripada Mu'adz bin Jabal daripada Nabi
shallahu 'alaihi wasallam, baginda bersabda:
Allah memerhatikan kepada makhluknya pada malam Nishfu Sya'ban lalu
Dia memberi keampunan kepada semua makhluknya kecuali orang musyrik
dan pendengki. – Hadis riwayat Ibnu Abu `Ashim dalam kitab al-Sunnah,
Ibnu Hibban di dalam Shahihnya, dan al-Hafidz al-Haithami di dalam
Majmu' al-Zawaid
Oleh itu sekiranya kita ingin termasuk di kalangan orang diberi
keampunan oleh Allah Subhanahu wa Ta'ala pada malam Nishfu Sya'ban,
maka hendaklah kita termasuk di kalangan orang yang tidak melakukan
perbuatan syirik serta menghindari sifat pendengki. Namun begitu
seharusnya kita sedari bahawa Allah Subhanahu wa Ta'ala juga turun
ke langit dunia setiap hari pada sepertiga akhir malam dan Dia akan
mengampunkan dosa-dosa bagi mereka yang memohon keampunan dari-Nya.
Sabda Rasulullah shallahu 'alaihi wasallam:
Rabb kita Tabaraka wa Ta'ala turun pada setiap malam ke langit dunia
ketika tersisa sepertiga malam yang akhir. Allah berfirman: "Siapa
yang berdoa kepadaKu, nescaya Aku akan mengabulkannya; siapa yang
meminta kepadaKu, nescaya Aku akan memberinya; siapa yang memohon
ampun kepadaKu, nescaya Aku akan mengampunnya. " - Hadis riwayat Imam
al-Bukhari dalam kitab Shahih al-Bukhari, hadis no: 1145.
Oleh itu sewajarnya kita mempertingkatkan amal ibadah yang sah
daripada Nabi shallahu 'alaihi wasallam sepanjang masa dan tidak
hanya menunggu hari-hari yang tertentu atau malam-malam tertentu
seperti malam Israk Mikraj dan Nishfu Sya'ban melainkan terdapat
dalil yang sahih menunjukkan pada malam tersebut sememangnya
memiliki fadhilat-fadhilat tertentu seperti pada bulan Ramadan dan
malam Lailatul Qadar.
Amalan-Amalan Khusus Sempena Nishfu Sya'ban
============ ========= ========= ========= ======
Sekiranya kita perhatikan hadis yang sahih tentang Nishfu Sya'ban
yang telah penulis ketengahkan di atas maka kita dapati ianya tidak
menganjurkan upacara-upacara tertentu mahupun ibadah-ibadah yang
khusus sempena Nishfu Sya'ban. Oleh itu amalan-amalan khas pada hari
Nishfu Sya'ban seperti berpuasa, solat pada malamnya, membaca surah
yasin sebanyak 3 kali, doa-doa yang khas dan lain-lain bukanlah
amalan yang dianjurkan oleh Nabi shallahu 'alaihi wasallam mahupun
para sahabat radhiallahu 'anhum. Sekiranya amalan-amalan khusus pada
malam tersebut memiliki keutamaan yang tinggi serta memberi manfaat
yang besar kepada umat Islam pasti baginda serta para sahabat
akan mendahului kita dalam mengamalnya. Menurut Dr. Yusuf al-
Qaradawi:
Tidak pernah diriwayatkan daripada Nabi shallahu 'alaihi wasallam
dan para sahabat bahawa mereka berhimpun di masjid untuk
menghidupkan malam Nishfu Sya'ban, membaca doa tertentu dan
mendirikan solat tertentu seperti yang kita lihat di sebahagian
negeri umat Islam.
Bahkan di sebahagian negeri, orang ramai berhimpun pada malam itu
selepas Maghrib di masjid. Mereka membaca surah Yassin dan
mendirikan solat 2 rakaat dengan niat panjang umur, 2 rakaat yang
lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia. Kemudian
mereka membaca doa yang tidak pernah dipetik daripada golongan salaf
(iaitu para sahabat, tabi'in dan tabi'ut tabi'in).
Ia satu doa yang panjang, menyanggahi nas (al-Qur'an dan al-Sunnah)
juga bercanggahan dan bertentangan makna… Perhimpunan (malam Nishfu
Sya'ban) seperti yang kita lihat dan dengar berlaku di sebahagian
negeri orang Islam adalah bid'ah dan direka-reka. Sepatutnya kita
melakukan ibadah sekadar yang dinyatakan dalam nas. Segala kebaikan
ialah dengan mengikuti perbuatan salaf, segala keburukan itu adalah
bid'ah (rekaan) golongan selepas mereka (khalaf). Setiap yang diada-
adakan itu bid'ah dan setiap bid'ah itu membawa kepada kesesatan
serta setiap yang sesat itu menuju ke neraka. – Dr. Yusuf al-
Qaradawi, Fatwa Mu'asarah, jilid 1, ms. 382-383. Di nukil dari buku
Membela Islam Tanggungjawab & Disiplin karya Dr. Mohd. Asri Zainul
Abidin, Karya Bestari, Shah Alam, 2006, ms. 95.
Syaikh Muhammad Abdussalam rahimahullah pula berkata:
Solat 6 rakaat, pada malam Nishfu Sya'ban dengan niat untuk menolak
bala, panjang umur dan untuk kekayaan, dan juga membaca surah Yasin
beserta doanya merupakan hal yang baru dalam agama (bid'ah) dan
bertentangan dengan sunnah Rasul. – Muhammad Abdussalam Khadr al-
Syaqiry, As-Sunan wa al-Mubtada'at (edisi terjemahan bertajuk Bid'ah-
Bid'ah Yang Dianggap Sunnah, Qisthi Press, Jakarta 2004) ms. 155.
Imam al-Nawawi rahimahullah di dalam Majmu' Syarah Muhazzab pula
berpendapat:
Solat yang dikenal dengan solat al-Raghaib iaitu 12 rakaat yang
dilakukan di antara Maghrib dan Isyak pada malam Jumaat pertama dari
bulan Rejab dan solat Nishfu Sya'ban sebanyak 100 rakaat; kedua-dua
solat tersebut adalah bid'ah yang mungkar. Janganlah hendaknya orang
terperdaya kerana kedua-duanya disebutkan dalam kitab Qutub al-Qulub
dan Ihya' Ulumiddin, dan jangan terperdaya dengan hadis yang
disebutkan dalam kedua kitab itu kerana semuanya adalah batil
belaka. – Dinukil dari buku Amalan Bid'ah Pada Bulan Muharram,
Rejab, Sya'ban & Ramadhan karya Dr. Abdul Ghani Azmi bin Hj. Idris,
Al-Hidayah Publisher, Kuala Lumpur 1995, ms. 106.
Setelah menyebut sejumlah ayat dan hadis serta pendapat para ulamak
tentang malam Nishfu Sya'ban, Syaikh Abdul Aziz Abdullah bin Bazz
rahimahullah berkata:
Berdasarkan ayat-ayat, hadis-hadis dan pendapat para ahli ilmu di
atas jelaslah bagi orang yang mencari kebenaran bahawa memperingati
malam Nishfu Sya'ban dengan solat dan sebagainya serta mengkhususukan
siangnya untuk berpuasa adalah bid'ah mungkar menurut kebanyakkan
ahli ilmu dan tidak ada dasarnya dalam syari'at yang murni, tetapi
peringatan malam Nishfu Sya'ban ini terjadi dalam Islam setelah masa
sahabat. Cukuplah bagi para pencari kebenaran mengenai masalah ini
dan masalah lain melihat firman Allah:
Pada hari ini, Aku telah sempurnakan bagi kamu ugama kamu, dan Aku
telah cukupkan nikmat-Ku kepada kamu, dan Aku telah redakan Islam
itu menjadi agama untuk kamu. – al-Maaidah (5) : 3
Kemudian dijelaskan dalam sabda Rasulullah yang semakna dengan ayat
di atas:
Barangsiapa yang melakukan satu amal yang bukan dari suruhan kami
(iaitu di dalam perkara berkaitan agama), maka tertolaklah ia. -
Hadis riwayat Imam Muslim di dalam Shahih Muslim, hadis no: 1718.
Juga dari hadis-hadis lain yang semakna dengannya yang
diriwayatkan dalam Shahih Muslim:
Jangan mengkhususkan malam Jumaat untuk Solat Malam (Qiyam al-Lail)
di antara lain-lain malam, dan jangan mengkhususkan hari Jumaat
dengan puasa di antara lain-lain hari, kecuali puasa wajib. - Hadis
riwayat Imam Muslim di dalam Shahih Muslim, hadis no: 1144.
Seandainya mengkhususkan malam-malam tertentu dengan ibadah itu
boleh tentu malam Jumaat lebih utama untuk dikhususkan dari malam-
malam selainnya, kerana malam Jumaat adalah hari terbaik yang
dijelaskan dalam hadis sahih daripada Rasulullah.
Rasulullah shallahu 'alaihi wasallam bersabda:
Sebaik-baik hari yang terbit di dalamnya matahari adalah hari
Jumaat – Hadis riwayat Imam Ahmad.
Ketika Nabi shallahu 'alaihi wasallam melarang untuk
mengkhususkannya di antara malam-malam lainnya, hal ini menunjukkan
bahawa malam-malam lainnya walaupun dianggap mulia, juga tidak boleh
dikhususkan untuk beribadah kecuali ada dalil sahih yang menunjukkan
pengkhususannya. –Dinukil dari kitab Syaikh Abdullah bin Abdul Azizi
al-Tuwaijiry bertajuk al-Bida' al-Hauliyyah, (edisi terjemahan
bertajuk: Ritual Bid'ah Dalam Setahun, Darul Falah, Jakarta 2003) ms.
319-320.
Oleh itu tidak ada amal ibadah yang perlu dikhususkan sempena Nishfu
Sya'ban kerana tidak ada hadis yang sahih daripada Nabi
shallahu 'alaihi wasallam menganjurkannya. Hadis-hadis yang
dijadikan dalil oleh mereka yang menyatakan terdapat amalan-amalan
tertentu berkaitan Nishfu Sya'ban kesemuanya lemah dan palsu
sehingga tidak boleh dijadikan hujah. Tentang penggunaan hadis-hadis
yang tidak sabit daripada Rasulullah shallahu 'alaihi wasallam Imam
al-Thahawi rahimahullah di dalam kitabnya Musykilul Athar (jilid
1, ms. 176) telah berpesan:
Barangsiapa yang menceritakan (hadis) daripada rasulullah
shallallahu 'alaihi wasallam atas dasar zhan / persangkaan, bererti
dia telah menceritakan (hadis) daripada baginda shallallahu 'alaihi
wasallam dengan tanpa haq (dengan tidak benar). Dan orang yang
menceritakan (hadis) daripada baginda shallallahu 'alaihi wasallam
dengan tanpa haq, bererti dia telah menceritakan (hadis) daripada
baginda shallallahu 'alaihi wasallam dengan cara yang batil. Dan
orang yang telah menceritakan (hadis) daripada baginda
shallallahu 'alaihi wasallam dengan cara yang batil, nescaya dia
menjadi salah seorang pendusta yang masuk ke dalam sabda Nabi
shallallahu 'alaihi wasallam:
Barangsiapa yang sengaja berdusta atas namaku, maka hendaklah dia
mengambil tempat tinggalnya di neraka. (Hadis riwayat Imam al-
Bukhari di dalam Shahih al-Bukhari, hadis no: 107) - Dinukil
daripada kitab al-Masaa-il tulisan Ustaz Abdul Hakim bin Amir Abdat,
jilid 1, ms. 41)
Benarkah al-Qadr Itu Jatuhnya Pada Malam Nishfu Sya'ban
============ ========= ========= ========= ========= =======
Al-Qadr bermaksud penetapan. Oleh itu bagi mereka yang beranggapan
al-Qadr itu berlaku pada malam Nishfu Sya'ban mereka mengandaikan
segala urusan yang bakal berlaku pada tahun berikutnya akan
ditentukan pada malam tersebut. Mereka menduga pada malam inilah
diangkat segala amalan kita dan ditentukan segala perkara
berhubungan dengan kehidupan makhluk seperti hidup, mati, rezeki,
untung baik, untung jahat dan lain-lain. Mereka berhujah dengan
Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:
Sesungguhnya Kami telah menurunkan Al-Quran itu pada malam yang
berkat; (Kami berbuat demikian) kerana sesungguhnya Kami sentiasa
memberi peringatan dan amaran (jangan hamba-hamba Kami ditimpa
azab). (Kami menurunkan Al-Quran pada malam yang tersebut, kerana)
pada malam yang berkat itu, dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap
perkara yang mengandungi hikmat serta tetap berlaku, (tidak berubah
atau bertukar). – al-Dukhaan (44) : 3-4
Menurut tafsiran Ikrimah malam yang diberkati itu dan ditetapkan
segala urusan manusia adalah malam Nishfu Sya'ban. Namun begitu
pendapat ini tertolak kerana nas-nas yang sahih telah menjelaskan
bahawa al-Qur'an diturunkan pada bulan Ramadan dan malam yang
diberkati itu adalah malam Lailatul Qadar iaitu malam yang lebih
baik dari 1000 bulan. Firman Allah Subhanahu wa Ta'ala:
Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam
Lailatul-Qadar, Dan apa jalannya engkau dapat mengetahui apa dia
kebesaran Malam Lailatul Qadar itu? Malam Lailatul Qadar lebih baik
daripada seribu bulan. Pada Malam itu, turun malaikat dan Jibril
dengan izin Tuhan mereka, kerana membawa segala perkara (yang
ditakdirkan berlakunya pada tahun yang berikut); Sejahteralah Malam
(yang berkat) itu hingga terbit
fajar! - al-Qadr (97) : 1-5
Al-Hafidz Ibnu Kathir rahimahullah ketika menafsirkan surah al-
Dukhaan ayat ke 3 dan 4 telah menyatakan:
Allah Subhanahu wa Ta'ala berfirman menjelaskan tentang al-Qur'an al-
Adzim, bahawa al-Qur'an diturunkan pada malam yang penuh berkat,
iaitu malam Lailatul Qadar, seperti yang telah difirmankan oleh
Allah dalam surah al-Qadr:
Sesungguhnya Kami telah menurunkan (Al-Quran) ini pada Malam
Lailatul-Qadar - al-Qadr (97) : 1
Hal itu terjadi pada bulan Ramadan, seperti yang difirmankan oleh
Allah:
(Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan yang
padanya diturunkan Al-Quran, menjadi petunjuk bagi sekalian manusia,
dan menjadi keterangan-keterang an yang menjelaskan petunjuk dan
(menjelaskan) perbezaan antara yang benar dengan yang salah. Oleh
itu, sesiapa dari antara kamu yang menyaksikan anak bulan Ramadan
(atau mengetahuinya) , maka hendaklah ia berpuasa bulan itu; dan
sesiapa yang sakit atau dalam musafir maka (bolehlah ia berbuka,
Kemudian wajiblah ia berpuasa) sebanyak hari yang ditinggalkan itu
pada hari-hari yang lain. (Dengan ketetapan yang demikian itu) Allah
menghendaki kamu beroleh kemudahan, dan Ia tidak menghendaki kamu
menanggung kesukaran. Dan juga supaya kamu cukupkan bilangan puasa
(sebulan Ramadan), dan supaya kamu membesarkan Allah kerana mendapat
petunjukNya, dan supaya kamu bersyukur. – al-Baqarah (2) – 185
… Intinya barangsiapa yang mengatakan bahawa malam yang dimaksudkan
(dalam surah al-Dukhaan itu) adalah malam Nishfu Sya'ban sepeti yang
diriwayatkan daripada Ikrimah, berti dia telah menjauhkan diri dari
pengertian aslinya, kerana nas al-Qur'an menegaskan bahawa yang
dimaksud dengan malam yang penuh berkah itu (iaitu Lailatul Qadar)
ada pada bulan Ramadhan. – Al-Hafidz Ibnu Kathir, Tafseer al-Qur'an
al-`Adzim, jilid 4, ms. 137.
Syaikh Muhammad Abdussalam rahimahullah pula berkata:
Keyakinan bahawa malam Nishfu Sya'ban adalah malam Lalitul Qadar
adalah keyakinan yang salah. Demikian kesepakatan para ahlil hadis
sebagaimana dijelaskan oleh Ibnu Kathir dalam tafsirnya. Ketika
menjelaskan Sunan al-Tirmidzi, Ibnul Arabi ,mengatakan bahawa firman
Allah "Sesungguhnya kami menurunkan al-Qur'an…" (al-Dukhaan (44) :
3) menunjukkan ianya malam Nishfu Sya'ban adalah tidak benar kerana
Allah tidak pernah menurunkan al-Qur'an pada bulan Sya'ban. Tetapi
ayat itu harus difahami secara lengkapnya "Sesungguhnya kami
menurunkan al-Qur'an pada malam Lailatul Qadar" di mana Lalilatul
Qadar itu ada pada bulan Ramadan. Hal ini juga ditegaskan lagi oleh
Allah: (Masa yang diwajibkan kamu berpuasa itu ialah) bulan Ramadan
yang padanya diturunkan Al-Quran… (al-Baqarah (2) : 185). Keyakinan
tersebut (iaitu al-Qadr berlaku pada malam Nishfu Sya'ban) sangat
bertentangan dengan Kitabullah dan sangat mengabaikan isinya. Perlu
kami ingatkan bahawa Allah menegaskan tentang malam itu "(Kami
menurunkan Al-Quran pada malam yang tersebut, kerana) pada malam
yang berkat itu, dijelaskan (kepada malaikat) tiap-tiap perkara yang
mengandungi hikmat serta tetap berlaku, (tidak berubah atau
bertukar)." (al-Dukhaan (44) : 3), pada malam Lailatul Qadarlah
dijelaskan segala hal kepada malaikat, bukan pada malam Nishfu
Sya'ban. - Muhammad Abdussalam Khadr al-Syaqiry, As-Sunan wa al-
Mubtada'at, ms. 156.
Kesimpulan
============
Dari sini dapat kita simpulkan bahawa Rasulullah shallahu 'alaihi
wasallam tidak pernah menetap amalan-amalan tertentu khusus untuk
Nishfu Sya'ban dan penetapan segala urusan manusia (al-Qadr) juda
tidak berlaku pada malam Nishfu Sya'ban. Hanya sahaja pada
malam Nishfu Sy'aban Allah Subhanahu wa Ta'ala akan mengampun dosa-
dosa mereka yang benar-benar mentauhidkan- Nya dan tidak memiliki
sifat pendengki. Oleh itu handaklah kita menanamkan dalam diri
masing-masing ke dua sifat tersebut demi untuk mendapatkan fadhilat
malam Nishfu Sya'ban iaitu diampunkan dosa-dosanya oleh Allah
Subhanahu wa Ta'ala. Program-program sempena Nishfu Sya'ban juga
seharusnya menekankan isu-isu berkaitan perkara-perkata yang
mencemari tauhid yang sedang berleluasa diamalkan di dalam
masyarakat seperti berjumpa bomoh, memakai tangkal, berdoa dengan
perantaraan kubur-kubur yang dianggap keramat, menganggap tokoh-
tokoh agama seakan-akan maksum sehingga pendapatnya wajib dikuti
walaupun bercanggah dengan nas, mempercayai ahli nujum, meyakini
ramalan horoscope dan banyak lagi. Hendaklah kita memperbanyakan
ceramah-ceramah agama yang dapat membersihkan jiwa kita dari sifat-
sifat yang jelek seperti dengki, iri hati, khianat, busuk hati,
sombong, gemar bergaduh dan lain-lain agar dapat kita membentuk
sebuah masyarakat yang bersatu-padu dan harmonis. Walaupun saban
tahun kita kita menyambut kedatangan Nishfu Sya'ban namun pencemaran
tauhid tetap berleluasa dalam masyarakat kita dan perasaan saling
dengki-berdengki tetap menjadi sifat yang sinonim dengan bangsa
Melayu.
No comments:
Post a Comment