Friday, May 15, 2009

Dunia Ibarat Penjara

Bismillah...
Segala puja & puji buat-Mu, selawat & salam buat junjungan tercinta SAW...


Dunia ibarat penjara...

Penjara merupakan satu kurungan. Terkandung di dalam kurungan tersebut pelbagai manusia, dengan pelbagai ragam.

Penghuni kurungan ini hidup dalam keadaan ‘didisiplinkan’, punyai peraturan yang perlu dipatuhi. Pengawasan yang ketat, hukuman yang berkadar langsung dengan kesalahan. Semakin berat kesalahan, semakin berat hukuman. Mungkin diletakkan dalam sel yang biasa, atau mungkin diletakkan dalam sel yang tiada sedikit pun cahaya menusuk. Mungkin 10 tahun, mungkin sepanjang hayat.

Mengapa? Kerana penjara punyai tujuan supaya mereka yang menghuninya insaf & sedar kesalahan mereka. Apabila mereka keluar kelak, pasti mereka akan menghargai erti kebebasan yang mereka miliki. Bagaimana? Dengan hidup dengan lebih baik, tidak lagi melanggar peraturan.

Sekiranya dalam kurungan ini lagi peraturan tidak diendahkan, boleh jadi tempoh hukuman dipanjangkan, atau hukuman yang lebih berat dikenakan.

Bagi mereka yang dihukum sepanjang hayat, sentiasa mereka diuji & diperhati. Tak kurang juga diri sendiri mengharap, agar diberikan parole atau pengampunan. Apa jua tugasan, hukuman sanggup mereka lalui, asalkan dapat menghirup kembali kebebasan.

Dunia ibarat penjara...

Dunia, indah di mata namun hakikatnya ia seperti sebuah penjara, melingkungi manusia. Ada peraturan yang dicipta, yang mesti dipatuhi. Ada hukum alam yang mesti dituruti.

Lampu merah tanda berhenti. Bila ada yang berhenti, akan ada yang berjalan atau bergerak. Itu peraturan & hukum alam pada setiap lampu isyarat di jalan raya. Melanggar salah satu, mengundang bencana, menambah azab derita.

Pengawasan setiap detik. Bahkan apa yang difikir jua telah dicatat. Anda tidak dapat merasuah 2 ‘pencatat’ tersebut. Mereka bekerja dengan penuh ketelusan.

Pelbagai jenis manusia, pelbagai ragam. Malangnya, ada yang terkurung tanpa mengetahui. Ada yang tahu, tetapi tidak mampu untuk meloloskan diri, lantas mereka cuba mencipta ‘kebebasan’ dengan ‘mendirikan’ syurga. Syurga di dalam ‘penjara’. Mereka inilah yang akan tetap terkurung & menjalani hukuman meskipun dunia selepas dunia ini bermula.

Dunia ibarat penjara...

Bagi mereka yang mengetahui hakikat kebebasan & kenikmatan yang nun jauh di hujung.

30 , 40 tahun?

Tidak.

Sepanjang hayat.

Mereka sanggup dikenakan apa sahaja ‘hukuman’. Untuk apa?
‘Parole’ dari TUAN YANG MENCIPTA PENJARA.

Mereka tahu, perbuatan mereka seharian, menuruti peraturan & hukuman, belum tentu dapat melepaskan mereka dari seksaan. Doa mesti mengiringi, belas kasihan wajib dipinta.

Dunia ibarat penjara...

Kesalahan yang semakin berat, maka hukuman juga akan semakin berat. Hukuman bukan dalam bentuk kesusahan & kepayahan semata, juga berupa kesenangan, kedudukan & kekayaan.

Firaun dihukum dengan diberikan lagi kekuasaan & kedudukan, menjadikannya bertambah sombong & bongkak.

Qarun dengan kekayaannya, dilimpah-ruahkan lagi dengan harta, membuatkannya kian ego & bakhil.

Tiada parole bagi mereka. Mereka lupa mereka sedang dipenjarakan. Alpa dengan syurga yang terbina.

Dunia ibarat penjara...

Setiap masa kita dibicara. Apakah nasib yang bakal menimpa?

Dunia ibarat penjara...
Bagi mereka yang beriman DAN MAHU beramal soleh...


Wallahua3lam

-Syphoon-
Irbid, Jordan

No comments: