Thursday, November 06, 2008

Berbalah atau Bercambah?

Bismillah...
Segala puja & puji buat-Mu, selawat & salam buat junjungan tercinta SAW...


Saya pernah membuat 1 jigsaw puzzle yang berjumlah 500 & 1000 keping. Pening! Hampir seminggu digunakan untuk menyelesaikan. Berbekalkan klu gambar pada muka kotak yang menyimpan kepingan puzzle tersebut, juga keadaan asal kepingan puzzle tersebut, barulah dapat selesai dicantumkan kesemuanya.

Jika kita perhatikan, setiap kepingan puzzle punyai bentuk yang tersendiri. Pada muka depan tercetak sebahagian daripada keseluruhan gambar, juga tidak boleh diletakkan sesuka hati di mana-mana. Yang punyai sisi tegak & lurus, harus berada di tepi, tidak boleh berada di tengah, begitu juga yang bersisi tidak sekata, tidak boleh diletakkan di tepi. Itu hint yang diberi.

Cantuman daripada bentuk yang berbeza, menjadikan puzzle tersebut tersusun rapi & kukuh dari aspek puzzle itu sendiri.

MANUSIA

Manusia juga ibarat puzzle. Setiap daripada kita punyai kelainan, keunikan yang tersendiri. Meminjam kata-kata Abu Saif, kita ambil 1 contoh, iaitu pantai.

Seorang eksekutif yang bekerja di syarikat besar, akan nampak pantai sebagai satu tempat merehatkan minda, melarikan diri jauh daripada kesibukan di kota.

Seorang nelayan, melihat pantai sebagai tempatnya mencari rezeki.

Seorang pengusaha pula berpandangan yang pantai itu pula sesuai untuk dijadikan tempat rekreasi.

Seorang pakar geologi yang bekerja dengan syarikat pengusaha minyak mungkin akan memerhatikan pantai tersebut, mungkinkah punyai petroleum atau hasil bumi yang lain.

We get what we see.

Manusia adalah makhluk yang unik. Kita punyai pandangan, pemikiran & perspektif yang berbeza. Setiap daripada kita adalah kepingan puzzle.

KEUNIKAN & PERBEZAAN

1 keping puzzle tidak signifikan. Apa yang dapat ditunjukkan oleh 1 keping puzzle?

Seorang manusia tidak akan menghasilkan banyak perkara. Kita tidak boleh hidup seorang diri di dunia ini. Bayangkan tiada yang menjual ayam, menuai padi, menjadi pemborong atau pemandu lori yang menguruskan logistik, betapa susahnya untuk kita makan nasi berlaukkan ayam!

Firman Allah SWT:

Surah Al-Maidah : 2

Hasil daripada kerjasama, sinergi antara manusia menjadikan kehidupan kita lebih jauh bermakna.

MENGHARGAI KEPELBAGAIAN

Sinergi menurut Stephen Covey dalam bukunya 'The 7 Habits of Highly Effective People' adalah 1+1 bukan sekadar 2, mungkin 3, malah lebih daripada itu, mungkin 4, 6, 10 atau 100.

Seorang lelaki & perempuan yang berkahwin, mendapat 2, 3 atau 4 orang anak, menjadikan jumlah keluarga mereka daripada 2 orang, menjadi lebih daripada itu.

Bagaimana hal ini boleh terjadi? Hasil perkahwinan 2 jantina yang berbeza. Homoseksual tidak akan mendatangkan hasil yang serupa.

Puzzle yang berlainan bentuk, berbeza posisi sekiranya digabung-jalinkan & diletakkan pada tempat yang sepatutnya, akan memberikan satu gambaran baru yang jauh lebih besar, menarik dan jelas.

Dengan menghargai keunikan & perbezaan pada diri setiap manusia, maka sepinggan nasi berlauk ayam dapat dihasilkan.

Untuk mencapai sinergi, kesemua pihak tidak boleh berfikir 'mesti ada yang kalah'. Pemikiran optimis di mana semua pihak mendapat keuntungan harus dijana, kesefahaman harus dibina.

Kita haru datang dengan minda yang terbuka. Seorang eksekutif & nelayan akan nampak pantai secara zahirnya, tetapi secara tersirat mereka memandang dengan persepsi yang berbeza. Adakah salah seorang daripada mereka itu salah?

Apa yang dimaksudkan dengan sinergi adalah saya datang dengan idea & hujah saya, pihak kedua juga sama, dan kami duduk semeja berbincang, BUKAN untuk mempertahankan pemikiran masing-masing, tapi bagi menghasilkan satu INTEGRASI & PERCAMBAHAN idea yang lebih baik daripada itu.

HASIL OPTIMA

Sekiranya kita membersihkan tangan, jika menggunakan sebelah sahaja tidak akan dapat hasil yang memuaskan. Kedua-dua belah tangan kanan & kiri yang bersinergi, bekerjasama saling membasuh membuahkan hasil yang optima dan memuaskan hati.

Eksekutif, nelayan, pengusaha & ahli geologi duduk bersama, berbincang tentang apa yang mereka mahukan & memberikan buah fikiran masing-masing. Hasilnya adalah satu sinergistik yang memuaskan hati semua pihak & pelaksanaannya dapat dijalankan secara optimum.

Andaikan ahli geologi yang pekak badak berbalah dengan nelayan kerana masing-masing mengganggu periuk nasi mereka. Sampai bila pun tidak akan selesai!

Kita cuba meletakkan kepingan puzzle itu pada tempat yang salah, dengan cara paksaan, tidak akan menyelesaikan masalah, malah memberikan gambaran buruk kepada keseluruhannya!

Firman Allah SWT:
Sesungguhnya Allah menyukai mereka yang berjuang pada jalan-Nya, dalam barisan yang seperti 1 binaan yang tersusun rapi.
-Surah As-Saff : 4
-


Fikrah & pemikiran disatukan.

Tenaga dan kemampuan diperhitungkan.

Berjuanglah dalam 1 barisan!



Wallahua3lam.


-Syphoon-
Irbid, Jordan.

Bacaan tambahan:
Ulasan tabiat ke-6 oleh Abu Saif

Perasaan yang membunuh perbahasan
Dilema Perjuangan Islam, Isu Apakah Sebenarnya?

No comments: