Wednesday, January 02, 2008

Respon : Resolusi Pra-PERTAMA

Bismillah,
Segala puja & puji buat-Mu Ya Allah, selawat & salam buat junjungan tercinta SAW...

Tahniah saya ucapkan kepada Pengarah program pra-PERTAMA, Saudara Nurhalim bin Ahmad yang juga Yang Di-Pertua (YDP) Badan Kebajikan Pelajar Johor Jordan (BKPJJ) & timbalannya, Saudari Nuraziela yang juga merupakan Timbalan YDP Badan Kebajikan Anak Perak Jordan (BKAPJ) atas usaha & komitmen yang telah ditunjukkan dalam menjayakan program ini. Tidak dilupakan kepada seluruh AJK yang terlibat secara langsung atau tidak dalam program ini.

Saya tertarik dengan beberapa perkara dalam resolusi yang disebutkan oleh Saudara Nurhalim dalam pos sebelum ini, juga dalam majlis penutup pada petang 1 Jan 2008 yang lalu.

Saya menyokong perkara-perkara yang disebut dalam resolusi tersebut. Namun, ada beberapa perkara yang bagi saya elok untuk diperincikan supaya tidak disalah fahami oleh mahasiswa-mahasiswa yang ada di Irbid.

1) Berfikiran terbuka


Ya, sebahagian besar mahasiswa di Irbid punyai fikiran yang sempit. Tidak langsung mengambil tahu perkara lain. Bagai katak bawah tempurung. Sekiranya datang satu perkara baru, maka mengambil pendirian mengikut sahaja, tanpa mengkaji akan kebenaran bagi memastikan perkara tersebut sahih atau tidak.

Tetapi dalam beberapa aspek, berfikiran terbuka ini tidak boleh diguna pakai.

Perkara-perkara yang melibatkan hukum qat'ie atau mana-mana perkara yang telah ditetapkan garis panduan perkara tersebut oleh Islam, maka tidak ada ruang untuk 'berfikiran terbuka' melainkan perbincangan secara ilmiah oleh golongan ulama' yang faqih dalam hal tersebut sahaja.

Sikap berfikiran terbuka ini harus punyai batasan, bukan menjadi satu yang tiada sempadan. Had sempadan seperti pada penafsiran Al-Quran & Al-Hadith misalannya, tidak boleh sewenang-wenangnya dibincangkan tanpa mengambil jalan yang telah ditunjukkan oleh ulama' mukhtabar terdahulu. Senang kata, biarlah pemikiran terbuka ini terpandu, dipandu oleh Al-Quran & As-Sunnah serta manhaj Salafussoleh, bukan dengan pemikiran kita sendiri semata-mata.

2) Kredibiliti

Memang benar, seperti mana kalam Saidina Ali Karramallahu Wajhah, 'lihatlah pada apa yang diperkatakan, tapi bukan pada siapa yang berkata'.

Pada pandangan saya, perkara ini hanya valid dalam beberapa aspek sahaja.

Kredit jika kita lihat dari sudut perakaunan adalah wang yang keluar, tidak kira tunai atau hutang. Kredibiliti seseorang adalah sesuatu yang keluar daripada diri seseorang, atau penonjolan atau apa yang dizahirkan oleh seseorang, sama ada dari segi kualiti dan kesanggupan, seperti mana yang dikupas oleh Timbalan Presiden PERMAI, saudara Aizat Amiruddin dalam slot Bicara Siswa, atau akhlak, perilaku. personaliti dan ketrampilan.

Ini yang dinamakan sebagai kredibiliti.

Saya bawakan beberapa contoh di sini untuk kita fikirkan bersama.

Imbau kembali sejarah ulama' & para perawi hadith, yang mana mereka begitu mementingkan kredibiliti guru yang mengajar mereka atau dari siapa hadith yang akan mereka terima. Sehinggakan pada bab menipu binatang sekalipun mereka menganggap satu perkara yang berat, lalu mereka tinggalkan. Ulama' terdahulu tidak sewenang-wenangnya menuntut sesuatu daripada seseorang yang melakukan walau sekecil-kecil kesalahan SECARA SENGAJA.

Aspek kedua, keAHLIan. Sesuatu masalah misalnya masalah ekonomi, semua orang bisa membuat pandangan & memberikan pendapat masing-masing, tetapi orang pasti mempertikaikan, siapakah orang tersebut untuk memberikan pendapatnya? Adakah dia seorang pakar ekonomi yang ahli dalam hal-hal ekonomi?

Itu dari sudut ekonomi. Bagaimana pula dalam hal-ehwal Islam? Yang mana lewat ini kita lihat begitu ramai orang yang bukan ahli, tampil kehadapan dengan memberikan pandangan-pandangan mereka sendiri, sedangkan mereka bukanlah seorang yang faqih dalam bidang tersebut. Lihat sahaja contoh seperti Astora Jabat, yang tulisannya telah menimbulkan kontroversi, salah faham dan lebih buruk lagi menghalalkan yang haram serta menyesatkan lagi pemikiran masyarakat, jauh daripada ajaran Islam yang sebenarnya.

Aspek yang ketiga, KEPIMPINAN. Seseorang yang dari segi kelakuan & akhlaknya tidak bertepatan dengan syara', adakah boleh dikira sebagai seorang yang berkredibiliti untuk dinaikkan sebagai seorang pemimpin? (berita terbaru berkenaan seorang Menteri) Punyai kualiti & kesanggupan, tapi malangnya dari segi penampilan & akhlaknya tidak menggambarkan seorang mahasiswa MUSLIM. Maka di situ salahkah kita mempersoalkan kredibilitinya?

Bagaimana kita mahu membina kekuatan mahasiswa, sedangkan kredibilitinya sendiri dipertikaikan?

Saya sekali lagi meletakkan anda sendiri sebagai neraca dalam memikirkan akan rasional perkara-perkara yang disebutkan di sini. Tepuk kepala, jalankan otak anda. Perah sedikit, agar tidak hanya tepu dengan lambakan informasi dari buku-buku pelajaran, tapi juga dek kerana percambahan idea yang wujud.

Bukakan minda, cambahkan idea.

Sekali lagi, saya mengucapkan jutaan tahniah kepada seluruh AJK Pelaksana program Pra-PERTAMA peringkat PERMAI dan seluruh warga PERMAI yang sama-sama menjayakan program ini, secara langsung mahupun tidak.

Wallahua3lam

MEMBINA KEKUATAN MAHASISWA

Pengarah,
Persidangan Tahunan Mahasiswa Malaysia Jordan (PERTAMA '08)
Majlis Perwakilan Pelajar Malaysia (MPPM) Jordan

Iklan:


PERTAMA '08 akan diadakan pada 6-8 Februari 2008 ( Hari Rabu - Jumaat) di Mafraq.
Info-info susulan akan disiarkan melalui Yahoogroup PERMAI dari masa ke masa.

No comments: