Segala puja & puji buat-Mu, selawat & salam buat junjungan tercinta SAW...
SATU (1)
Keadaan di jalan raya. Ada lampu isyarat. Kita berhenti apabila lampu merah, dan bergerak apabila lampu hijau.
Bergerak apabila lampu hijau itu betul. Tapi secara tiba-tiba, ada pula mamat rempit ni dia 'bantai' langgar lampu merah waktu turn kita jalan (bayangkan simpang 4, kalau 1 hijau, mesti yang lain merah, kan?). Maka adakah ketika itu tindakan yang bijak untuk kita bergerak?
DUA (2)
Seorang pesakit mempunyai masalah pada giginya, dengan keadaan korona yang telah pecah pada gigi geraham kecilnya. Doktor gigi yang menilai, membuat keputusan yang betul memberikan rawatan salur akar kepada pesakit tersebut.
Tiba-tiba, setelah disemak, pesakit tersebut mengandung dan tidak boleh melalui proses radiografi kerana dikhuatiri boleh mengganggu kandungannya.

Tindakan yang tepat, adalah tidak melakukan rawatan kepadanya, menangguhkan hingga pesakit tersebut bersalin.
TIGA (3)
Seorang sahabat kita baru sahaja kehilangan ahli keluarganya (meninggal dunia). Dia berasa sangat sedih. Kita datang kepadanya dan memujuk, menyatakan bahawa semua itu adalah kuasa Tuhan & ada hikmah di sebalik kejadian.
Tiba-tiba dia datang, membalas, menampar muka kita. Dapat sedas bekas tapak tangan di pipi yang gebu itu.
Adakah kita dapat memahami bagaimana perasaan seseorang yang kehilangan mereka yang sangat-sangat disayangi? Bolehkan mereka diganti?
Betul untuk memujuk, tapi tidak tepat pada waktunya.
KONKLUSI
SATU (1)
Kadang-kala, dalam hidup ini, bukan semua benda yang betul perlu kita muatkan. Hanya yang sangat-sangat sesuai, boleh kita padankan.
Teori, mungkin semudah ABC, tapi pemahaman realiti membentuk segala keputusan kita menjadi tepat lagi teliti.
Betul untuk kita, tak semestinya sesuai dengan masa.
Betul bagi kita, belum tentu tepat bagi mereka.
Belajarlah dengan pengalaman, agar esok lusa tak menjadi orang cetek akal fikiran.
Ilmu penuh di dada, tapi tak pandai berbudi bahasa.
Belajar tinggi menggunung, namun malangnya akhlak entah ke mana tersadung.
Masing-masing dah besar kan... Boleh fikir sendiri, jangan tunggu sampai mati, baru nak sedar diri. Belajar tinggi-tinggi, tak guna kalau tak ada akhlak dalam diri.
DUA (2)
Kita sebagai seniors sering kali kata, 'zaman abang dulu' atau 'kami dulu waktu buat program' berkongsi pengalaman, memberikan tunjuk ajar.
Para juniors yang datang meminta pandangan & pencerahan, pulang dengan kehampaan & penuh kekeliruan. Tidak dapat membayangkan situasi yang digambarkan.
Misalan, zaman PERMAI dengan ahli 220 orang, tidak sama dengan tika ini, ahli yang melebihi 600 orang.
Maka kadang-kala kita memberikan info & pandangan yang betul, tetapi tidak tepat. Tidak dapat dimuatkan dalam kotak masa yang telah mengalami seribu satu evolusi.
Justeru, kongsikan asas, biarkan mereka menanam pengetahuan yang mereka punyai, agak berbuah menjadi pengalaman yang dapat dituai sendiri.
Muhasabah malam hari, tidak lain hanyalah untuk diri sendiri.
Harapnya makin tua, makin berguna.
Wallahua3lam.
-Syphoon-
Irbid, Jordan




1 comment:
Erti hidup pada memberi..
makin tua makin berguna =)
Post a Comment