Alhamdulillah...selawat & salam ke atas junjungan besar Muhammad SAW...
Hai orang-orang beriman apabila kamu dikatakan kepadamu: "Berlapang-lapanglah dalam majlis", Maka lapangkanlah niscaya Allah akan memberi kelapangan untukmu. dan apabila dikatakan: "Berdirilah kamu", Maka berdirilah, niscaya Allah akan meninggikan orang-orang yang beriman di antaramu dan orang-orang yang diberi ilmu pengetahuan beberapa derajat. dan Allah Maha mengetahui apa yang kamu kerjakan. (Al-Quran 58:11)
Tersentuh aku apabila terbaca artikel tulisan Sang Gemala Sakti tempoh hari. Ligat benakku berputar, mencernakan isi yang ditelan mataku dalam kotak mindaku. Satu persoalan yang timbul, MENGAPA HILANGNYA TIANG SERI TERSEBUT?
Ku fikir, apakah mungkin apa yang aku tahu itu tidak mencukupi? Ya, tidak mencukupi. Pernah aku terdengar seorang ustaz yang ku kenali berkata, "Tahu saja tidak cukup untuk kita komited tanpa adanya kemahuan" . Kalam tersebut pada asalnya untuk satu perkara yang lain, tapi aku cuba untuk mengaitkan dengan apa yang sedang aku alami.
Dalam ayat 11 surah yang ke 58 di dalam Al-Quran, seperti mana yang kita maklum, Allah meninggikan darjat orang yang beriman, dan meninggikan lagi darjat orang beriman yang berilmu pengetahuan. Jelas ayat ini menunjukkan bahawa hanya orang yang beriman dan orang beriman yang berilmu itu mulia di sisi-Nya, bukan sekadar berilmu tetapi tidak beriman.
Analogi yang mudah dalam konteks diriku sendiri sebagai penuntut ilmu, aku tahu bahawa pergi ke kuliah itu penting untuk membantuku skor dalam peperiksaan, tetapi aku tidak mahu ke kuliah, adakah aku akan lulus? Aku tahu bahawa mengulangkaji pelajaran itu penting untuk aku berjaya, tetapi aku tidak mahu berbuat demikian, adakah aku boleh berjaya?
Begitu juga konsep amar ma'ruf dan nahi munkar. Aku tahu perkara itu baik & besar ganjaran pahala di sisi-Nya, tetapi adakah aku mahu untuk mengajak sahabat-sahabatku yang lain untuk turut serta beramal dengan dengan perkara tersebut? Aku tahu perkara buruk, tetapi adakah aku mahu meninggalkan perkara itu dan menegah sahabat-sahabatku untuk meninggalkan perbuatan tersebut? Adakah cukup dengan sekadar tahu, tanpa ada kemahuan?
Mungkin ada yang berpendapat, pengetahuan melahirkan kesedaran, membuahkan kemahuan. Bagiku, kenyataan ini adakala benar, adakala tidak. Andai kenyataan ini sentiasa benar, masakan orentalis yang mengkaji Islam, bahkan ada antara mereka yang lebih arif daripada kita, tidak mahu mengikut agama fitrah ini? Sirah Nabawi juga ada melakarkan, Abu Jahal, yang hidup sezaman dengan Rasulullah, yang tahu latarbelakang baginda, mengetahui kebenaran risalah yang disampaikan oleh baginda, tetapi adakah dia mahu beriman?
Puas aku berdebat dengan diriku sendiri. Aku berhujah, "Bukan taknak tegur, tapi tak mampu..cukuplah sekadar membenci dengan hati" Ah, satu omongan kosong yang sejak dulu lagi aku gunakan untuk beralasan bagi melahirkan rasa tidak bersalah. Sampai bila aku mahu membenci dengan hati? Sampai kiamat? Apa syarat sebelum membenci dengan hati? Apakah tidak aku mahu meningkatkan tahap itu kepada lisan dan paling atas perbuatan? Cukup dengan hati? Puas hati dengan benci sahaja? (1)
Ketahuilah wahai diriku yang jahil ini bahawasanya amar ma'ruf nahi munkar itu merupakan satu sedekah (2) kepada diriku dan juga kepada sahabat-sahabatku. Apakah aku sanggup melihat sahabat-sahabatku yang lain berada dalam keadaan terkapai-kapai, dan mempersoalkan di hadapan Allah kelak di Mahsyar? Tidakkah aku mahu menyempurnakan imanku (3) dengan amar ma'ruf nahi munkar ini?
Sesungguhnya setiap apa yang aku tunjuk itu membawa kepada kebaikan dan ada yang mengikutinya, maka aku turut mendapat ganjaran... Begitu juga dengan setiap kemunkaran yang ku cegah dan mereka meninggalkan perbuatan tersebut, aku turut mendapat ganjaran. Namun, sekiranya yang berlaku adalah sebaliknya, maka aku turut mendapat saham dosa....(4)
Sememangnya hidayah itu milik Allah SWT. Sesiapa yang diberi hidayah oleh-Nya, maka tiada siapa pun yang dapat menyesatkannya, dan sesiapa yang disesatkan oleh-Nya, makan tiada seorang pun yang dapat memberikan hidayah kepadanya...Tetapi apakah aku tidak boleh menjadi asbab kepada hidayah tersebut? Adakah aku mahu menjadi asbab untuk sahabatku itu terus terpesong dan dipesongkan?
Satu persatu soalan yang muncul dalam fikiranku, memukul kalbuku, membuatkan aku bertanya pada diriku, bagaimana keadaan IMAN ku saban hari...Aku tahu prioriti ku sebagai muslim, menjadikan kalimah Allah itu kembali pada tempat yang sepatut(5).
Ya Allah, jadikanlah aku daripada golongan yang mencintai-Mu, dan golongan yang mendapat cinta-Mu...
Amiiin...
Syphoon
Irbid, Jordan
1736, 30 Syawal 1427
(1) Hadith ke 34 - Matan Arbaien Nawawiah
(2) Hadith ke 25 - Matan Arbaien Nawawiah
(3) Hadith ke 13 - Matan Arbaien Nawawiah
(4) Hadith ke 173 - Riyadh As-Solihin
(5) Surah At-Taubah : 40
2 comments:
syahdu syahdu..sayu sayu...aku tamau jadik asbab kpd org yg terpesong...aku nk mnjadi asbab utk diorg dpt hidayah..huhu,takutnyer,,..besarnye tanggungjawab trhdp islam dan Allah!!
-sabyah-
ade komen plak...
Post a Comment